Terung goreng berlada antara menu yang menjadi hidangan pembuka selera. Memang ramai gemar dengan hidangan ringkas ini. Paling ‘best’ bila dapat makan terung goreng berlada yang dimasak pedas.
Hidangan ini memang mudah sahaja untuk membuatnya tapi ada juga yang belum mahir memasaknya. Bagi anda yang suka lauk ini dan nak masak sendiri boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Arieza Rieza.
Bahan-bahan:
Terung – dipotong dan dibelah
Cili padi
cili besar
Bawang merah
Bawang putih
IKan bilis halus
(Kuantiti bahan ikut cita rasa)
Cara membuat:
1. Tumbuk atau kisar kasar bahan-bahan di atas kecuali ikan bilis.
2. Terung yang dibelah tadi digoreng terlebih dahulu. Tip untuk pastikan warna kulit terung kekal pastikan bahagian kulit di atas dan bahagian isi saja yang kena minyak. Goreng seketika saja. Angkat dan ketepikan.
3. Guna lebih minyak tadi untuk goreng ikan bilis hingga garing.
4. Kemudian masukkan bahan tumbuk, tumis seketika dan masukkan garam, gula dan serbuk perasa.
5. Kacau seketika. Bila bahan tumis sudah masak, masukkan terung tadi. Gaul hingga rata kemudian bolehlah diangkat dan hidangkan.