Resipi Kuih Lompang Labu, Rasa Lemak-lemak Manis Buat Ralit Makan
Kuih lompang biasanya dibuat menggunakan gula merah atau gula melaka. Kalau anda nak buat perisa lain pun boleh antaranya menggunakan labu. Warna kuning pada kuih lompang mampu menarik perhatian terutamanya anak-anak untuk makan.
Sama ada untuk sarapan pagi mahupun minum petang, kuih lompang labu ini antara alternatif menu yang sesuai dinikmati seisi keluarga. Dengan tekstur lembut ‘gedik-gedik’ serta bau labu yang lemak-lemak manis pasti menjadi ‘rebutan.’
Biasanya labu kita jadikan cekodok, apam, kuih lapis atau dimasak bersama sayur. Rupanya boleh juga diadun dalam adunan lompang ni. Sangat mudah. Jom cuba resipi perkongsian Mak Frida @ fridajoincoffee ini. Pasti puas hati.
BAHAN-BAHAN:
250gm labu – kukus
125gm tepung beras
1 sudu makan tepung jagung
150gm gula
125ml air
Kelapa parut secukupnya
Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Kisar halus labu yang dikukus tadi hingga menjadi puri.
2. Satukan puri labu, tepung beras, tepung jagung dan gula pasir. Adun sebati sambil dimasukkan air. Pastikan sebati dan tidak berketul.
3. Ambil acuan lompang dan oleskan sedikit minyak. Panaskan juga periuk kukusan sehingga mendidih dan naik wap.
4. Tuang adunan lompang ke dalam acuan hingga penuh. Kukus selama 15 minit atau sehingga masak.
5. Keluarkan kuih lompang dari acuan dan letakkan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam dengan secukupnya. Hidangkan.
Buah-buahan dan sayur-sayuran terdapat dalam pelbagai warna. Setiap warna mempunyai keunikan tersendiri dalam melindungi penyakit. Bahan ini dikenali sebagai fitokimia. Fitokimia inilah yang memberikan warna yang menyerlah pada buah-buahan dan sayur-sayuran
APAKAH FUNGSI FITOKIMIA?
Selain daripada membekalkan warna yang menarik pada buah dan sayur, fitokimia juga berfungsi sebagai antioksida semula jadi yang berupaya untuk mencegah penyakit tertentu seperti kanser dan penyakit jantung serta meningkatkan sistem pertahanan badan.
Fitokimia yang terdapat di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan adalah seperti:
*Lycopene
*Anthocyanins
*Beta-karotin
APA ADA DALAM WARNA?
Kuning/Jingga
Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning-jingga kaya dengan karotenoid yang dikenali sebagai beta-karotin. Beta-karotin akan ditukar menjadi vitamin A.
Beta-karotin yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna kuning-jingga seperti keledek, lobak merah dan labu membantu dalam peningkatan sistem pertahanan tubuh dan kesihatan mata.
KHASIAT LABU:
Kredit resipi & foto: Mak Frida @ fridajoincoffee Kementerian Kesihatan Malaysia dan myhealth.gov.my