Resepi Air Pelarian Syria Mengundang Sebak. Penuh Iktibar Perkongsian Dr Ini

Share

Tersentuh hati membaca perkongsian jurulatih keibubapaan, Dr Taufik Razif yang berkongsi cerita pengalamanya berada di Syria kini.

Beliau dengan beberapa ahli Serantau Muslim telah ke Jordan dan Beirut minggu lepas untuk misi kemanusiaan, melahirkan rasa hiba melihat keperitan hidup rakyat di sana.

Benar kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika kita leka dengan segala ‘kemewahan’  makanan yang enak di bazar ramandan atau dimasak isteri tersayang pelbagai hidangan serta minuman pelbagai rasa untuk berbuka puasa, masyarakat di sini sebaliknya.

Salah satu perkongsian yang dipaparkan oleh Dr Taufik ini mengundang sebak bahawa ada antara mereka mempunyai ikhtiar untuk mendapatkan minuman sejuk untuk berbuka puasa. Sungguh mereka begitu tabah dan redha dengan situasi negara.


Alang alang nak buka puasa kejap lagi ni saya nak kongsi sikit la pada korang resepi air sedap di kem Pelarian Syria yang saya baru dapat daripada keluarga Syria Pakcik Abdullah semalam

Resepi Air Pelarian Syria
———————————–

1. Cari baju anda yang paling menyerap peluh & lembapan

2. Gunting dan lubangkan beberapa bahagian baju tersebut

3. Tuangkan air dingin waktu subuh ke dalam botol plastik

4. Ikat dan lilit baju yang sudah digunting dan dilubangkan tadi pada botol tersebut

5. Simpan air tersebut di tingkap kemah yang berdebu sehingga waktu berbuka puasa

Siap! InsyaAllah kesejukan air itu akan bertahan sehingga waktu berbuka puasa. Inilah alternatif keluarga Pakcik Abdullah untuk mendapatkan sedikit nikmat air yang dingin untuk berbuka puasa kerana di kem pelarian sini mereka tak mampu beli ais apatah lagi peti ais.

Tolong kongsikan resepi ni pada semua orang jika anda merasa lebih beruntung daripada nasib Pakcik Abdullah sekeluarga.

Dalam pada itu, Dr  Taufik ini juga berkongsi kedaifan kanak-kanak di sini yang penuh tersirat. Sesungguhnya anak-anak kita di Malaysia penuh ‘kemewahan’ .

7 benda yang anak kita akan alami kalau dia tinggal di kem pelarian Syria

1. Anak kita akan merayau rayau dan bermain dengan batu dan pasir setiap hari kerana mereka tak ada Toys R Us dan kedai mainan seperti di Malaysia

2. Anak kita akan mudah kering dan merekah bibirnya kerana musim panas di sini terlampau panas. Saya duduk kat sini 3 hari je pun dah terbelah bibir saya. Udaranya kering dan suhunya boleh cecah sampai 40c°

3. Wajah anak kita akan penuh debu dan rambut anak kita akan jadi serabai kerana air kat sini limited. Ada yang saya tanya budak kat sini katanya dah 7 hari dah tak mandi dan bila saya sapu pipinya umpama menyapu papan hitam yang penuh kapur waktu di sekolah rendah dulu. Melekat debunya di tangan saya!

4. Baju anak kita akan seperti orang gila di tepi jalan yang bajunya tak pernah dicuci. Bukan mereka taknak cuci tapi bagi mereka lebih baik jimatkan air itu untuk membasahkan tekak yang kering dan kehausan daripada membersihkan bajunya sendiri

5. Anak kita juga akan jadi ketinggalan pelajarannya dan gelap masa depannya kerana kat sini, sebijak mana pun mereka, mereka akan berakhir menjadi peladang ataupun kuli. Sepanjang beberapa hari saya kat sini tak pernah sekalipun saya nampak anak anak kat sini pegang pensel atau buku. Memang mereka tak mampu pun nak membelinya!

6. Anak kita juga akan tinggal di dalam khemah bertahun tahun bersama adik beradiknya tanpa tirai tanpa bilik. Semuanya tidur dalam satu tempat yang busuk dan berdebu tanpa boleh mengeluh

7. Anak kita juga akan kelaparan dan menunggu bantuan NGO membawakan makanan setiap hari. Kalau tiba-tiba NGO seperti Serantau Muslim ni semua terputus duit atau kurang orang menyumbang apa mereka nak makan?

Saya tanya sendiri ketua NGO kat sini, Omar Jannoun namanya. Dia mengaku ada je anak anak yang tak makan beberapa hari kat sini. Mereka tak mampu nak cover semuanya tanpa sumbangan dan bantuan daripada kita!

Taufiq Razif, sedang sebak
Kem Pelarian Awda, Lebanon
19 Mei 2019

Moga kisah ini menjadi pedoman untuk kita muhasabah diri.