“Resah” Jika Tinggal Di Rumah.” Nenek 18 Cucu Berjaya Genggam Ijazah Sarjana Usia 82 Tahun. Sangat Berinspirasi!

Share

Pendidikan tidak ada had umur dan tiada apa yang boleh menggantikan kerja keras. Demikian pesanan nenek  yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga cucunya.

Lebih manis lagi, nenek kepada Adam Zainal ini baru sahaja berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana.

 

Dua tahun bekerja keras menumpukan perhatian dalam blajar, Siti Hendon ditauliahkan sebagai pemegang ijazah Sarjana oleh UNITAR  dalam satu Majlis konvokesyen yang berlangsung pada 30 November lalu.

Lebih manis lagi, nenek yang berusia 82 tahun ini membuktikan, usia bukan penghalang untuk mengejar cita-cita. Tatkala wanita lain seusianya lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama cucu namun dia masih kuat dan  cergas  menguruskan sebuah tadika.

Ibu kepada 4 orang anak, 18 orang cucu, dan 2 cicit ini memang luar biasa orangnya!

Walaupun telah berusia, Siti Hendon itu tidak pernah menganggap usia itu sebagai penghalang untuk berjaya. Menurutnya lagi, tidak ada alasan untuk seseorang tidak mencapai kejayaan selagi dia benar-benar mahukannya.

“Memandangkan sebelum ini saya lebih fokus dan sibuk mengendalikan sekolah dan pelajar, sudah tiba masanya saya beralih ke bidang pengajian yang lebih mencabar biarpun umur semakin meningkat,” kata Siti Hendon

“Saya memegang prinsip jika saya percaya dengan apa yang saya inginkan, saya boleh lakukannya dengan mudah dan lancar.” ujarnya yang bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD pula kerana dia berasa “resah” jika tinggal di rumah.

Siti Hendon berazam untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) jika masih diberi kudrat bagi membuktikan sesiapa saja mampu mencapai taraf pendidikan tertinggi selagi ada kemahuan.

“Saya sudah cuba duduk di rumah seperti ibu dan nenek lain. Namun saya resah dan hanya mahu membuka buku dan belajar sesuatu.

Tahniah nenek! Anda adalah inspirasi buat ramai orang di luar sana. Semoga terus sukses.

Sumber: Says Seismik & Twitter  Adam Zainal