Remaja lemas dalam tali air, “Bapa naikkan jasad anak perempuan sambil menangis.” Itu yang diceritakan oleh Ahmad Azizi Azeman, 24, abang kepada Ainul Mardiah, 14, yang lemas selepas motosikal ditungganginya terjatuh ke dalam tali air di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
“Ayah menyentuh sesuatu di bawah motosikal dan ia tubuh Mardiah yang tertindih dan sudah tidak sedarkan diri. Ayah menaikkan jasad adik sambil menangis,” kata Ahmad Azizi Azeman.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Ainul Mardiah ditemukan dalam keadaan tertindih dengan motosikal Yamaha Ego yang ditungganginya.
Ahmad Azizi berkata, sebelum itu, adiknya keluar dari rumah jam 4.40 petang untuk ke kedai runcit tidak jauh dari rumah.
“Setengah jam selepas itu ayah menerima panggilan dari orang kampung mengatakan ternampak motosikal kami dalam air kira-kira 500 meter dari rumah dalam keadaan lampu terpasang serta enjin masih hidup.
“Sebelum itu penduduk cuba mengangkat motosikal terbabit tapi gagal sebelum ayah sendiri ke lokasi dan turun ke dalam tali air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Ahmad Azizi berkata, Ainul Mardiah segera dibawa ke Klinik Kesihatan Peringat sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia selepas dijalankan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Menurutnya, jenazah adiknya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
“Dalam masa yang sama, ibu juga dimasukkan ke wad di hospital sama sejak malam tadi kerana pengsan disebabkan terlalu tertekan dengan kejadian yang menimpa ini.
“Ini kali ketiga kami diberi ujian kematian apabila dua beradik saya juga dijemput Ilahi akibat kemalangan jalan raya serta lemas di paya,” katanya.
Jenazah Ainul Mardiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Pisang, selepas selesai proses bedah siasat. Mangsa anak ke sembilan daripada orang 10 adik beradik.
Sementara itu, sepupu mangsa, Najwa Adina Abdul Ghani, 14, berkata, beberapa hari kebelakangan ini, Ainul Mardiah dilihat banyak termenung dan pendiam berbanding sikap sebenarnya yang agak aktif.
“Kami belajar di sekolah serta kelas yang sama dan tak sangka perubahan itu adalah petunjuk dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Dua Beradik Lemas Jatuh Parit
Anak Luah Hasrat Nak Mati Syahid, Tak Sangka Jadi Kenyataan Selamatkan Sepupu Lemas
Niat Memancing Bertukar Tragedi! Ayah Lemas Ketika Ingin Menyelamatkan Anak Yang Di Bawa Arus
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my