





Rupanya Kerap Bersin Tanda Anak Ada Alahan. Doktor Ini Kongsi Sebab Dan Cara Atasi.

Isi Kandungan
ToggleHakikatnya, mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, tahukah anda bahawa lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai keluarga dengan sejarah alahan. Maknanya, jika anda sendiri ada masalah alahan, anak anda juga turut sama berisiko untuk mendapat masalah yang sama. Melalui perkongsian oleh DR, EZAIRY M.SALLIH, Pegawai Perubatan Sarjana, Pembedahan telinga, hidung, tekak, kepala & leher (Otorhinolaryngology, Head & Neck Surgery), Pusat Perubatan Universiti Malaya kepada MAJALAH KELUARGA.
Saya faham adalah amat sukar untuk ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka daripada terdedah kepada segala punca alahan sama ada datangnya daripada persekitaran, makanan dan sebagainya. Oleh itu, saya sering menasihatkan ibu bapa yang berjumpa saya agar lebih menumpukan perhatian kepada pemantauan gejala alahan anak-anak mereka. Pastikan bahawa semua simptom yang dialami tidak mengganggu kehidupan seharian anak-anak. Dan apa yang lebih penting, ia tidak mengganggu perkembangan IQ, EQ dan persekolahan anak-anak kita!
Sebenarnya, ada banyak punca-punca alahan yang boleh dialami oleh anak-anak. Kebiasaan pesakit yang saya temui mengadu mengalami gejala alahan apabila mengambil sesetengah makanan seperti makanan berasaskan kacang, telur, udang, ketam, kerang, ayam dan sebagainya. Perlu diingatkan juga bahawa setiap anak-anak ini tidak sama punca alahan yang dialami. Anda tidak boleh menganggap jika anak sulung anda alergik kepada udang, maka semua anak-anak yang lain turut mengalami alahan kepada jenis makanan yang sama. Punca tidak sama.
PUNCA ALAHAN
Saya senaraikan beberapa punca alahan yang boleh berlaku kepada anak-anak kita. Semoga ia boleh menjadi panduan kepada anda yang masih belum berjaya mengenalpasti apa punca alahan anak-anak anda.
1. Persekitaran luar: Ia boleh disebabkan oleh debunga pokok, tumbuh-tumbuhan dan habuk serta asap yang ada di luar rumah.
2. Persekitaran dalam rumah sendiri: Ia mungkin daripada bulu binatang peliharaan kita seperti kucing contohnya. Boleh juga disebabkan hama atau habuk yang terperangkap pada sarung bantal, tilam, langsir, permaidani atau mungkin juga pada penghawa dingin kita!
3. Makanan: Ada beberapa jenis makanan yang agak biasa dikaitkan dengan punca-punca alahan seperti kacang tanah, telur, makanan laut, coklat dan susu.
4. Lain-lain: Selain itu, ada juga pesakit yang mudah untuk mengalami alahan apabila terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan di luar rumah, minyak wangi dan sebagainya.
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar di sini. Anda perlu memantau segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak anda. Ianya termasuklah gejala seperti kerap-kerap bersin, hidung berair, kegatalan pada mata, masalah pada kulit dan ini semua biasanya berlaku kepada anak-anak yang sememangnya ada alahan terhadap sesuatu ‘allergen’ yang mereka sepatutnya tahu lebih awal lagi.
SIMPTOM
Saya sering menerima beberapa soalan daripada ibu bapa tentang bagaimana untuk kita kenalpasti bahawa anak kita ini sebenarnya sedang mempunyai gejala-gejala alahan terhadap sesuatu makanan? Oleh itu, saya senaraikan beberapa simptom yang amat biasa ditemui di kalangan anak-anak kita apabila mereka sedang mengalami gejala alahan terhadap sesuatu keadaan atau makanan.
1. Ruam kemerah-merahan pada kulit: Ini biasa berlaku kepada anak-anak kita jika mereka lebih sensitif kepada sesuatu keadaan terhadap kulitnya. Jika ini berlaku kepada anak-anak anda secara berulang kali, maka anda perlu kenalpasti apa puncanya seberapa segera yang mungkin.
2. Gejala pada hidung: Anak-anak yang mempunyai masalah alahan juga akan mengalami simptom-simptom alahan pada hidung. Anda akan dapati anak anda kerap alami gatal-gatal pada hidung, mudah bersin-bersin dan hidung berair. Keadaan ini biasanya berlaku apabila mereka terdedah kepada ‘allergen’ yang menyebabkan masalah ini berlaku. Seboleh-bolehnya, cuba kenalpasti apa punca yang menyebabkan ia berlaku supaya masalah ini tidak terus berlarutan tanpa pemantauan rapi oleh anda.
3. Simptom pada tekak: Pesakit biasanya akan lebih kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak. Sebab itu ada ramai juga pesakit yang mengadu mengalami masalah tidak selesa dan sakit pada kawasan tekak.
4. Simptom pada mata: Anak-anak anda bukan sahaja ada masalah pada kulit dan hidung, bahkan mereka juga boleh alami masalah gatal-gatal pada mata, mata kerap rasa kering atau kadang berair, dan ianya lebih biasa berlaku apabila mereka terdedah kepada punca alahan.
5. Sesak nafas: Jangan dibuat main tentang masalah alahan ini. Jika ianya tidak ditangani dan dikenalpasti lebih awal, anda mungkin sengaja membiarkan anak anda terus menjalani kehidupan dengan terdedah kepada punca-punca alahan yang sebenarnya yang boleh membahayakan mereka! Ada sesetengah kes dimana jika ia gagal ditangani dengan baik oleh ibu bapa, ia boleh mengakibatkan sesak nafas yang teruk. Ada kes sehingga boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam wad hospital!
6. Masalah pada sistem pencernaan: Ada juga keadaan di mana anak anda mungkin mengalami gejala alahan dalam bentuk seperti cirit-birit dan sakit perut. Walaupun agak tidak kerap ditemui berbanding gejala-gejala lain, namun simptom ini juga perlu diketahui oleh ibu bapa agar mereka tahu apa permasalahan yang sedang dialami oleh anak-anak mereka.
Kita perlu sedar bahawa pesakit ‘allergic rhinitis’ atau alahan resdung ini jika tidak mendapatkan rawatan yang sesuai, cecair berlendir di dalam ruang sinus akan terus berkumpul dalam ruang sinus hidung pesakit.
Jika jangkitan berlaku, menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih buruk seperti berat pada kawasan muka, pening kepala, dan ada kes yang memerlukan ubat antibiotik.
TINDAKAN IBU BAPA
Ada ibu bapa yang bertanya kepada saya, bagaimana mahu memastikan bahawa gejala serta masalah ini tidak berulang?
Untuk langkah awal, kami di klinik telinga, hidung dan tekak akan menasihatkan pesakit untuk menjalani ujian ‘allergy skin test’. Melalui ujian ini, doktor akan melakukan ujian kepada pesakit. Ada lebih 40 ‘allergen’ akan disuntik ke kulit pesakit bagi mengenalpasti punca alahan pesakit tersebut.
Setelah lebih dua puluh minit, doktor akan membaca keputusan berdasarkan tindak balas yang berlaku pada kulit pesakit. Melalui ujian ini biasanya pesakit akan mengetahui apakah punca-punca alahan yang mereka sedang alami. Pastinya, mereka akan berjaya mengelakkan semua punca-punca tersebut selepas itu dan masalah alahan yang dialami selama ini akan berjaya dikawal dengan lebih baik.
Selain menjalani ujian yang saya sebutkan tadi, kami juga akan melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Bagaimana struktur dalam hidung tekak, mulut, telinga, mata dan kulit pesakit.
Jika masalah alahan pada hidung yang dialami amat mengganggu pesakit, mereka boleh dibantu dengan ubat ‘intranasal steroid’ yang bertujuan untuk mengurangkan tindak balas inflamasi pada dalam hidung dan seterusnya boleh membantu pesakit mengawal masalah yang dialami.
Pembedahan kecil juga akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinet).
Masalah seperti gatal-gatal pada hidung dan mata boleh juga dibantu dengan memberi ubatan seperti ‘oral antihistamine’. Ubat-ubat ini perlulah diambil dengan pemantauan dan selepas pesakit mendapat pemeriksaan daripada doktor di klinik atau hospital terdekat. Sebagai pesanan terakhir daripada saya, sayangilah anak-anak kita. Jangan biarkan masalah kesihatan yang dialami mereka berterusan tanpa pemantauan ibu bapa.
Sumber: Majalah Keluarga 2019
“Sakitnya Tangan Kena Cengkam. Rupanya “Contraction” Isteri Dah Mula.” Pesan Suami Ni, Jangan Lupa Buat 6 Perkara Ini Waktu Teman Isteri Tengah ‘Struggle’ Di Labour Room

Saat mahu melahirkan anak, hanya Tuhan yang tahu akan keperitan dan kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh sang ibu. Menahan sakit selama 9 bulan dan kini apabila tiba masa melahirkan umpama nyawa dihujung tanduk.
Jika kelahiran itu berjalan lancar maka tidak akan mengambil masa yang lama, namun jika ia mengalami komplikasi, nyawa ibu dan anak jadi taruhan. Kerana itu, suami harus menghargai jasa dan pengorbanan isteri yang bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat anda.
Jika berpeluang, temani isteri di labour room untuk sama-sama memberi sokongan dan menyaksikan sendiri kepayahan yang terpaksa ditempuhi oleh isteri anda. Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan peranan suami. Jom baca perkongsian dari saudara Akhtar Syamir .
“Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room”.
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang – tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial – kial nak isi buku pelawat. Tiba – tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain – lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala – ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. “Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit”, kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.
“Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang”, kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada.
Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal – awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. “Boleh, jangan bimbang” katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.
“Puan nak makan ubat tahan sakit tak?”, soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. Kami pun macam terpinga – pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
Sambil berbual – bual, saya urut – urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar – sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.
Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya “contraction” isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa – apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila “contraction” itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katenye. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
“Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?”. Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba – tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.
Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
1. Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2. Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3. Jangan teran sikit – sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4. Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama – lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut – sangkut.
5. Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6. Set masa bila nak buat “final push”. Masa ni ialah masa untuk teran habis – habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya “nak potong apa? Jangan !”. Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam – dalam dan bersama dengan saya, kami sama – sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde ape – ape, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali – kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah – muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit.
Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad. Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga – bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..
Posted by Akhtar Syamir on Monday, 26 November 2018
Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
1. Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
2. Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
3. Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam – jam menunggu.
4. Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
5. Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
6. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara nie.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.
Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.
Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.
Jika anda rasa penulisan ini bermanfaat, silakan SHARE.
Jemput follow saya ? Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.
Zahirah Kongsi Gelagat Comel Anaknya, Peminat Terhibur!

Baru-baru ini, pelakon terkenal Zahirah MacWilson berkongsi satu video gelagat anaknya yang mencuit hati ramai.
Muat naik terkini daripada pelakon kesayangan ramai, Zahirah MacWilson, sekali lagi mencuri perhatian para peminatnya di media sosial.
Zahirah berkongsi beberapa foto dan video anak-anaknya disertai dengan kapsyen ringkas tetapi penuh makna
“Terlalu banyak video yang cute dalam simpanan album saya.”
Rata-rata peminat mendoakan agar Zahirah dan keluarganya sentiasa dilimpahi kebahagiaan. Video dan beberapa keping foto telah mendapat ratus ribuan ‘likes’, sekali gus menunjukkan betapa anak kecilnya sudah pun mempunyai peminat tersendiri.
Perkongsian ini mengundang pelbagai reaksi positif daripada peminat yang teruja melihat momen-momen indah bersama anak-anaknya.
MasyaAllah My Cucu!
Di sebalik ramai yang memberi komen melihat gelagat yang cute, komen bapa kepada Zahirah yang juga pelakon iaitu Zainal Macwilson turut mencuri perhatian apabila mendoakan cucunya.
“Ma’shaa Allah! MY cucu 😍 semoga MY Mr Dimples akan menjadi insan Allah yg baik, yg mulia, yg di segani, yg di sayangi, seorg yg penyayang & yg lebih penting, taat kepd Allah s.w.t amin, amin, amin yrabl.”
Dalam perkongsian itu, anak kecilnya dilihat begitu aktif dan ceria, membuatkan ramai peminat tidak dapat menahan diri daripada memberikan komen positif.
Zahirah, yang sering berkongsi momen kehidupan bersama keluarga, kali ini memuat naik video anaknya yang sedang bermain sambil mengeluarkan ekspresi comel dan kelakar. Reaksi spontan anaknya berjaya mencuri perhatian ramai, hingga ruangan komen Zahirah dibanjiri dengan ucapan “comel sangat!”, “geram tengok baby ni!” dan pelbagai reaksi lain yang penuh dengan kasih sayang.
Bukan sahaja peminat biasa, rakan-rakan selebriti turut tidak ketinggalan memberikan komen. Ada yang berkongsi pengalaman serupa dengan anak masing-masing, sambil memuji cara Zahirah yang santai dalam menjaga anaknya. “Seronok tengok bonding you dengan anak!” kata salah seorang rakan artis.
Perkongsian seperti ini bukan sahaja mendekatkan Zahirah dengan peminat, malah memberikan inspirasi kepada ibu-ibu muda yang mungkin berdepan cabaran dalam menguruskan anak-anak mereka.
Gelagat si kecil ini juga memberi kegembiraan kepada para pengikutnya, yang terhibur dengan keletah anak Zahirah yang penuh keceriaan.
Tak dinafikan, Zahirah sering mendapat pujian kerana menjadi ibu yang penyayang dan penuh dedikasi.
Momen-momen indah bersama anaknya ini bukan sahaja menghiburkan, malah memperlihatkan sisi keluarga Zahirah yang lebih personal dan mesra di mata para peminat.
Betul lah kata orang, anak-anak ni memang jadi penghibur hati dan jelas sekali, anak Zahirah tak terkecuali!
Sumber: IG zahirahmacwilson