Relaks Mak-Mak! Fikir Yang Baik-Baik. Segala Keputusan Exam Anak Sudah Diatur Nya. Deep Perkongsian Ini

Share

Jangan risau mak-mak, bila anak nak peperiksaan kita pula yang risau lebih kan. Suami pula rilekas je. Memang setiap ibu bapa inginkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Sebab itu apabila tiba peperiksaan, ibu yang akan stres dulu. Anak yang stres lagi akan bertambah stres.

Perkongsian oleh Saudara Ammar Kamilin boleh menjadi panduan bersama terutama anak yang hendak menghadapi peperiksaan.


.

Lama dah menerima mesej seorang rakan yang mengadu anaknya ‘blur’ ketika menjalani peperiksaan.

Entah macam mana, akibat kesibukan, terlepas memberi respon kepada pertanyaan si ibu. Sampailah dia sendiri lalu di kubikal sambil mengintai dan ‘mengusik’, “Tak sudi ke nak jawab soalan saya.”

Aduhai. Maaf ya kawan.

Baik, saya tulis isu ini untuk umum, supaya lebih ramai mendapat manfaat.

Banyak sebenarnya kajian telah dilakukan mengenai kesan peperiksaan kepada anak-anak kita. Terutama pada anak-anak di sekolah menengah dan universiti.

Tetapi, akhir-akhir ini, kesan yang seakan serupa mula menjangkiti anak-anak di sekolah rendah.

Peperiksaan awam (standard exam) dalam banyak kajian dikatakan menyebabkan ‘stress’ melampau kepada anak-anak.

Mungkin kerana aktiviti ‘membanding’ sudah lebih mudah diaktifkan di media sosial.

Anak-anak bukan saja dibandingkan keputusan dengan sepupu sepapat di kampung, tetapi kawan-kawan facebook yang jumpa pun tak pernah! (kenal sebab sama-sama masuk group memasak)

Keinginan sendiri dan kehendak ibu bapa untuk mendapatkan keputusan terbaik nyata memburukkan keadaan bagi sesetengah pelajar.

‘Stress’ itu sendiri memang diperlukan untuk menolak seseorang melakukan usaha lebih daripada biasa bagi mencapai keputusan diinginkan.

Tetapi perlu ada ‘balance’ antara ‘stress’ dan ‘rest’.

Belakang tengkuk mula tegang, mata mulai kabur, tapak tangan mudah berpeluh, itu adalah tanda fizikal, ‘test anxiety’.

Dari segi emosi, anak tiba-tiba mahu menangis, di saat akhir, dia berhenti belajar dan termenung, jadi mudah marah-marah.

Kognitif (fikiran), juga mula kacau, tiba-tiba lupa apa yang dibaca, hilang fokus pada guru yang mengajar dan khayal dalam kelas.

Semua yang disebut, adalah simptom ‘risau nak periksa’.

Ibu bapa, kena ‘alert’ keadaan ini pada anak-anak.

Pada masa sama, kita sendiri, mungkin alami perkara yang sama, jadi langkah seterusnya ini adalah untuk anak-anak dan kita sendiri lakukan.
(selepas ini, apabila saya tulis ‘kita’, bermaksud anak-anak dan diri kita sebagai ibu bapa)

1. Fikir dan Cakap-Cakap Positif

Memang, semakin hampir hari peperiksaan, semakin tak cukup nafas rasanya. Macam ikan, tak dapat oksigen.

Mulalah otak fikir segala macam benda negatif. Banyak lagi tak cover. Banyak lagi belum buat. Tak cukup tuisyen lagi. Macam-macam.

Lepas tu, mulalah terbayang slip peperiksaan anak ada C, ada D dan paling gigil tahap tahan kencing, ada F!

Fuh, ngilu.

Relaks mak-mak!
(ayah tak payah sebut, dari darjah 1 memang relaks manjang. Heh, marahlah tu!)

Fikir yang baik-baik. Cakap dengan anak yang baik-baik.

Mereka dah usaha sehabis baik. Segala kerja rumah dah buat. Segala kelas tambahan hadir. Segala tuisyen pergi. Semua tip dalam tangan. Tidur beralas nota. So, apa lagi nak risau?

Keputusan tak bagus?

Belum penamat lagi. Peperiksaan hanya mengukur satu cabang pengetahuan yang mereka perlu tahu. Mungkin ada banyak lagi perkara yang mereka lebih tahu.

Dapat keputusan bagus, kita positif. Galakkan anak terus belajar.

Dapat keputusan kurang bagus, positif juga. Cakap pada anak, kita akan teroka bidang baharu yang sesuai dengan diri dia.

Pendek kata, jangan diratib, ‘kalau gagal, kalau teruk, kalau dapat F, dan semua kalau-kalau itu, hentikan. Permainan syaitan semua tu.

Apa saja keputusan, di sisi Tuhan, baik semuanya. Sudah disusun aturannya. Kita saja belum nampak.

Yakin saja, anak kita akan ambil peperiksaan sebaiknya. Tak perlu risau keputusan akhirnya.

Keputusan peperiksaan itu penting, tetapi tak mungkin satu peperiksaan boleh memusnahkan hidup mereka. Ada pilihan lain. Insya-Allah.

2. Bercakap dengan cikgu.

Anak kita tidak semestinya lemah semua subjek. Mungkin subjek tertentu saja. Jadi, banyakkan komunikasi dengan guru subjek itu. Pantau perkembangan anak dari semasa ke semasa.

Jika makin baik, Alhamdulillah.

Jika tak berubah, sudah sampai masa kita terima hakikat, anak kita perlu masa lebih daripada orang lain untuk memahami subjek itu. Mungkin bukan sekarang. Akan datang.

Kerap berkomunikasi dengan guru boleh mengurangkan tekanan ibu bapa, kerana apa yang terpendam diluahkan pada orang yang tepat.

3. Turunkan Palang Jangkaan

Syukur anak kita diberikan kelebihan lain oleh Allah.

Dia ada kesihatan yang baik.
Dia ada bakat bersukan mungkin. Dia banyak menghasilkan lukisan.
Dia banyak menulis puisi yang puitis dan mendalam.
Dia suka membantu kita tanpa disuruh.
Dia datang memicit kepala kita apabila pening balik bekerja.

Anak kita ada kelebihan lain. Bukan akademik semata-mata.
Akademik penting, tetapi kemahiran dan sikap juga sama penting.

Jika kita dapat mengawal ‘expectation’ kita pada anak-anak, mereka juga akan lebih tenang.

Tanpa kita sedar, pengharapan terlalu tinggi itu yang menekan anak-anak. Kita sendiri mengalami ‘test anxiety’.

Apabila tak sampai apa yang diidam, kita mula tegang dan marah-marah. Kita mahu perubahan keputusan yang cepat pada anak-anak. Kita tak dapat sabar menunggu.

Akhirnya, anak-anak belajar dalam ‘pace’ yang berterabur. Tiada rentak yang menyeronokkan. Semuanya bercelaru.

Hasilnya, bukan lebih baik. Malah merudum dan menakutkan.

Belajar seharusnya menyeronokkan dan meraikan ‘daya inkuiri’ anak-anak. Tidak terarah pada keputusan akhir semata-mata.

Parents,
Kawal kerisauan kita. Bagaimana?
Sentiasa syukur apa yang sudah kita miliki dan rasai.
Redha dengan apa saja yang akan dihadapi.
Yang berlaku, pasti susunan terbaik Allah.

Risau kita boleh berjangkit pada anak-anak. Kasihan mereka.

Percayalah, apa pun keputusan yang keluar nanti, anak kita masih anak yang pandai. Pandai dalam pengetahuan yang Allah tetapkan untuk dia.

Dia mungkin bukan jurutera yang membina pencakar langit megah, tetapi dia seorang chef yang masakannya sanggup orang beratur melimpah-limpah.

Dua-dua membanggakan, kan.

4. Asah Kemahiran Menjawab

Peperiksaan memang ada ‘trick’. Tak semestinya pandai konten subjek baru boleh skor.

Ada anak yang dapat keputusan baik kerana punyai kemahiran menjawab yang bagus.

Soalan karangan, dia pandai membuat rangka.

Soalan objektif, dia pandai menyisih jawapan sehingga tinggal 2 pilihan untuk ditembak.

Soalan subjektif, dia tahu memetik isi.

Teknik menjawab sama penting dengan pengetahuan tentang subjek.

Minit akhir ni, tak perlu tekan pada konten. Asah teknik menjawab. Biar anak betul-betul mahir ‘helah’ peperiksaan.

Insya-Allah, boleh elakkan ‘blur’ dalam peperiksaan.

5. Elakkan Makanan Berat.

Pagi peperiksaan, elok ambil makanan yang cepat dicerna. Roti, kurma, buah-buahan.

Kalau makan nasi lemak pun, ambil suku pinggan saja. Elakkan sambal.

Bukan boikot nasi lemak.

Kita tak mahu oksigen yang diperlukan untuk ke otak berlumba-lumba dengan proses pencernaan nasi lemak. Sambal pula, tak mahu tiba-tiba sakit perut disebabkan tak tahan pedas.

Kesihatan penting. Bukan saja kita nak anak fit badannya (tak demam) untuk hadap peperiksaan, kita juga nak perut mereka nyaman.

6. Berpakaian selesa dan bersiap selengkapnya.

Pakaian yang selesa sangat membantu kesediaan anak dalam dewan peperiksaan. Kita tak mahu semasa beratur masuk dewan, seluar anak terlucut disebabkan tali pinggang terputus! Jika mampu, berikan mereka pakaian baru. Biar sampai kawan sebelah bisik, “Psst, bau kedai!”

Segala pensil, pemadam, pembaris, sediakan juga yang baru dan lengkap. Tanda sokongan penuh kita pada anak. Pembaris gigi-gigi yang dah boleh buat sikat tak perlu bawa!

7. Abaikan Provokasi

Pesan pada anak, jangan tengok kiri kanan dalam dewan peperiksaan. Fokus pada diri sendiri.

Masa exam ni memang banyak kelakuan provokasi.

Orang sebelah kanan, baru tulis 30 minit, dah hantar kertas.

Dia mula goyang!

Padahal budak tu memang tak boleh jawab dah. Bendera putih terus. Anak kita yang panik.

Jeling kiri, budak tu dah tulis 10 muka surat, yang anak kita baru 2 muka surat, panik lagi!

Abaikan! Budak tu mungkin tulis novel lepaskan geram sebab bengang dengan soalan spot yang cikgu bagi tak keluar.

Paling best, kawan tidur berdengkur. Siap sedut leleh.

Ini lagilah kena abaikan.

Sah tidur lewat, study last minute. Penyudahnya waktu exam, barai!

8. Ambil masa tenang dan rehat.

Jangan takut untuk berhenti sebentar. Menulis terus menerus akan memenatkan. Tunjuk anak cara urutan sekeliling mata dan picitan tengkuk. Ajar regangan jari, tangan dan bahu, supaya mereka sedikit tenang dan segar untuk menulis semula.

Secara tak langsung, tekanan dapat diredakan.

9. Senyum dan Ceria

Setiap pagi peperiksaan, pastikan mood seluruh ahli keluarga dalam keadaan ceria. Semua digalakkan untuk senyum dan elak dari bercerita masalah-masalah atau mengumpat orang lain.

Parents,
Sepanjang tempoh ini. Elak pergaduhan suami isteri dan bermasam muka.

Sediakan ‘positive vibes’.

Sebaiknya guru di sekolah juga ‘happy’ untuk sokong anak-anak mengambil peperiksaan. Tiada lagi unsur menakut-nakutkan mereka dengan kegagalan. Masa motivasi ‘takut’ sudah tamat.

Ajak pelajar berdoa supaya Allah lancarkan urusan, alirkan ilham jawapan dan tenang seperti kapal besar di lautan.

***

10. Doa

Doa sepatutnya langkah yang pertama, tetapi diletak sebagai pengakhiran supaya kuat melekat di ingatan.

Saya percaya, ibu bapa sudah berdoa untuk kebaikan anak-anak sejak mereka dalam perut lagi. Hingga hari ini, kita tak berhenti mendoakan anak-anak.

Teruskan berdoa.

Percayalah ibu, bapa, apa saja keputusannya nanti, ada hikmah yang kita belum nampak.

Apa yang kita impi, Allah telah susun laluannya untuk sampai. Tetapi jalannya mungkin tidak terjangkau akal kita.

Gred yang diperoleh tidak membayangkan harga diri mereka. Anak-anak lebih bernilai dari keputusan itu.

Anak itu yang kita mundar-mandir menunggu kelahirannya dan menangis ketika mengazankannya.

Anak yang sama.

Tidak harus berbeza kasihnya, walau apa keputusannya. Dia tetap anugerah paling bernilai untuk kita.

*****

Selamat bertenang dan ‘enjoy’ menjawab peperiksaan!

-Ammar Kamilin-
Bapa calon UPSR 2019.
#ParentThinkStory