Bila mendengar seorang isteri berkorban menjaga suami yang sakit terlantar hingga sanggup berhenti kerja, itu biasa. Siapa lagi yang ingin diharapkan untuk menguruskan segala hal penjagaan diri jika bukan pasangan hidup.
Namun mungkin kisah seorang kakak ipar yang sanggup berkorban menjaga dan mengurus adik iparnya yang terlantar, jarang-jarang kita lihat.
Kemurnian hati Puan Raja Aniatikah Raja Ahmad Terjudin menjaga Muhammad Hairril Ashraff Mohd Hairry,18 wajar diteladani. Ini sebagaimana memetik berita di akhbar tempatan, Raja Aniatikah atau mesra disapa Nia, 26, sanggup berhenti kerja bagi menjaga dan menguruskan adik iparnya yang kini terlantar selepas terbabit dalam kemalangan pada 28 Jun lalu.
Difahamkan Muhammad Hairill Ashraff parah di kepala dan tangan akibat kemalangan ketika pemuda itu dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ambil keputusan berhenti kerja
Dua minggu Muhammad Hairill Ashraf koma di wad dan tiada apa dapat dilakukannya selepas pulang dari hospital melainkan terbaring di katil, malah lehernya terpaksa ditebuk untuk pernafasan manakala minum susu pula melalui tiub pada hidung.
Berkongsi pengalaman menjaga adik iparnya itu, Nia berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu suami, Muhammad Hairril Asren Mohd Hairry, 25.
Bagaimanapun, Nia yang tiada pengalaman menjaga ahli keluarga sakit, pada mulanya agak kekok untuk membiasakan diri.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai kerani namun ambil keputusan berhenti untuk bantu suami menjaga adik.
“Kini, 24 jam saya di rumah dengan adik di samping memasak dan menguruskan kerja rumah.
“Ikutkan tiada pengalaman malah apabila doktor minta sedut kahak (adik) agak terduduk juga tetapi saya cuba dan Alhamdulillah dapat lakukannya cuma tetap perlukan bantuan suami kerana tidak larat untuk uruskan sendiri, ” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Desa Damai, Sungai Merab, di sini, hari ini.
Rezeki Tak Pernah Putus
Menurut Nia, dia ada berkongsi kisah adik iparnya itu di TikTok dan bersyukur kerana ramai yang mendoakan walaupun tidak mengenalinya.
Lebih membuatkan Nia terharu apabila jiran sekeliling turut prihatin malah ramai menyumbang barangan keperluan termasuk susu formula dan lampin pakai buang.
“Alhamdulillah, rezeki adik tidak pernah putus sejak awal dia sakit hingga kini.
“Mungkin juga kerana dia orang yang baik malah sebelum terlantar, adik sangat menjaga solat lima waktu selain lakukan solat sunat.
“Terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan mendoakan cuma ada juga netizen di TikTok mengatakan saya gunakan adik sebagai modal meraih simpati ,hakikatnya saya juga suami tidak suka meminta-minta cuma ramai mahu menyumbang ,” katanya.
hanya Dua Beradik
Sementara itu, Muhammad Hairril Asren berkata, dia bekerja sebagai penjaga stor dan mengambil cuti tanpa gaji sejak lebih dua bulan lalu demi menjaga Muhammad Hairril Ashraff iaitu satu-satunya adik beradik kandungnya.
Katanya, selain wang simpanan, dia bersyukur kerana mendapat bantuan keluarga dan jiran sekeliling yang prihatin dengan nasib menimpa adiknya.
“Sejak hari kejadian hingga sekarang saya tidak bekerja namun majikan ada beri gaji pada awalnya selain sumbangan duit rawatan buat adik.
“Saya perlu ambil tanggungjawab jaga adik kerana emak dan ayah sudah meninggal dunia jadi kami tiada siapa melainkan satu sama lain kerana saudara mara jauh.
“Rutin harian saya adalah menguruskannya termasuk memberinya minum susu formula dan setiap bulan, perlu memerlukan 14 tin susu yang setiap satunya berharga RM98.
“Menurut doktor, adik memang boleh sembuh dan tiada risiko lumpuh jadi itu beri harapan kepada saya. Disebabkan itu, saya ikhtiar dengan memanggil jurufisioterapi datang ke rumah selain berborak dengannya untuk bantu pulihkan ingatannya.
“Sebagai abang, saya tentunya nak dia (adik) sembuh macam dulu dan berdikari, cukup dengan boleh pergi tandas, makan serta urus diri sendiri,” katanya yang sudah memohon bantuan zakat untuk adiknya dan sedang menunggu kelulusan.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan menghubunginya di talian 017-340 1639 atau isterinya, Nia di talian 011-2302 0814.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang memuji pengorbanan dan kemurnian hati seorang kakak ipar yang sanggup berhenti kerja bagi menguruskan adik iparnya yang terlantar. Malah tidak kurang juga ramai yang mendoakan agar segera sembuh dan dipermudahkan urusan untuk keluarga ini.
Sumber : myMetro
ARTIKEL MENARIK : Adunan Tak Naik? Wanita Ni Kongsikan Sebabnya Pada Yis!
Baca Ini Juga :Hidup Mewah, Rupanya Datuk Lee Chong Wei Buat Macam-macam. Bukan Main Badminton Je Dulu!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club