“Reda Allah Pinjamkan Sekejap Sahaja.” Kanak-Kanak Meninggal Dunia, Empat Jam Ditinggalkan Dalam Kereta. Allahu!

Share

Keluarga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi yang meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika di Taman Ria, Sungai Petani, dekat sini pada Selasa reda dengan kejadian berkenaan.

Ibunya, Nor Azira Abdul Halim, 36, mengakui terkejut menerima berita kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu daripada gurunya kira-kira jam 12.25 tengah hari. Dia diminta datang ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

“Saya tahu ALLAH SWT lebih menyayanginya dan meminjamkannya hanya sekejap untuk kami sekeluarga.

“Pada mulanya, saya ingat anak terlibat dalam kemalangan kerana tadika berkenaan terletak berdekatan dengan jalan raya sebelum dimaklumkan Muhammad Harraz tidak sedarkan diri.

Dia kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suami, Mohd Hafizi Husin, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Tentera Sungai Petani supaya bergegas melihat keadaan anak mereka dengan segera.

Katanya, dia berdoa tanpa henti supaya anak bongsunya itu selamat dan tidak berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan pulang.

Bagaimanapun menurutnya dia menerima panggilan suaminya yang memaklumkan supaya terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk melihat keadaan anak mereka.

“Bila saya sampai, suami hanya telefon kata pergi hospital terus. Saya pun bergegas balik. Bila saya balik, suami kata pergi terus ke hospital. Mereka tak beritahu apa-apa dekat saya.

“Saya sampai hospital, saya tak tahu apa-apa. Cuma saya hairan kenapa ramai yang bagi laluan suruh saya masuk, sampailah saya nampak arwah atas katil Unit Forensik dah kena balut.

“Masa itu baru saya tahu anak saya dah tak ada. Wajah dia macam tidur, tapi naluri ibu, saya dapat rasa yang dia sakit sampai dia mati. Saya dapat rasa air muka dia tu sebab bibir dia gelap,” kata Nor Azirah.

Nor Azirah ditemui ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurut Nor Azira, anaknya telah mengikuti pembelajaran di tadika berkenaan sejak tahun lalu dan dijemput kakitangan tadika di rumah yang terletak berdekatan pada jam 7.45 pagi hari kejadian.

Katanya, tiada sebarang reaksi perubahan ditunjukkan, malah sebelum keluar bekerja lepas subuh semalam, Nor Azirah melihat anaknya masih tidur dan meninggalkan anaknya disiapkan nenek untuk ke tadika.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, sebelum ini, petugas tadika menjemput anaknya setiap pagi. Tetapi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka hanya menjemput anaknya pada Selasa dan Rabu sahaja. Selebihnya, dia sendiri akan menghantar anaknya kerana bekerja pada hari tertentu sahaja.

 

Menurut Nor Azira, anak bongsunya itu seorang yang ceria di rumah, namun agak pendiam apabila berada di sekolah. Dia dalam pada itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sekiranya berlaku kecuaian atau unsur jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil maklumat awal, mangsa dan seorang kanak-kanak lain telah diambil oleh pengetua tadika pada jam 7.45 pagi.

Menurutnya, mangsa diletakkan di tempat duduk penumpang belakang manakala seorang kanak-kanak lima tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa ketika itu dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang bahagian kiri.Apabila sampai di tadika, seorang petugas lain telah mengambil kanak-kanak lima tahun bagi memulakan sesi pembelajaran.

“Pengetua terus parkir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,”katanya.
Menurut Adzli, mangsa berada dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan antara jam 8 hingga 12.15 tengah hari.

“Ketika pengetua mahu hantar semula mangsa ke rumah, dapati mangsa tiada dalam kelas dan guru kelas memberitahu kepada pengetua yang mangsa tidak hadir ke sekolah.

“Pengetua terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan tadika dan dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri. Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulan dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia semasa sampai di hospital dan tiada kesan kecederaan luaran,”katanya.

Sumber: Astro AWANI