Rasuah Busters Perkenal Gabungan (Coalition Of The Willing), Lancar Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah

Share

Pasukan Rasuah Busters menyasarkan pelbagai sudut potensi kerjasama dengan mengangkat #NilaiMoralKarakterBangsa sebagai objektif kecemerlangan di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Coalition of the Willing RasuahBusters berkongsi misi dan gerak kerja dalam usaha pembasmian budaya rasuah.

Menurutnya, pasukan Rasuah Busters menyasarkan pelbagai sudut potensi kerjasama selagi ia membawa pensejajaran misi membawa Sinar Untuk Malaysia dengan mengangkat #NilaiMoralKarakterBangsa sebagai objektif kecemerlangan di negara ini.

“Rakan strategik kami boleh melaksanakan apa jua bentuk program dan aktiviti di peringkat organisasi masing-masing dan berkongsi maklumat untuk disebar luas kepada para sukarelawan serta masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Pengumuman Gabungan #RasuahBusters (Coalition of the Willing) dan Pelancaran Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Checkpoint Spot Sdn Bhd, Benjamin Yeow di Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Hussamuddin berkata, sejak pembentukan gerakan Rasuah Busters, pihaknya menerima penyataan kebersamaan daripada banyak pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai aspirasi sama dan ingin bekerjasama untuk menjayakan Rasuah Busters.

“Sebenarnya, sebilangan NGO ini sudah bergerak sejak dua bulan lalu dan menjalankan kempen berskala besar di rangkaian dan gabungan mereka sendiri.

“Dengan terbentuknya Coalition of the Willing hari ini, kami berharap gerakan Rasuah Busters akan lebih tersusun dan teratur. Kami mengalu-alukan NGO dan organisasi lain yang berminat untuk menyertai kami bagi bersama-sama menjayakan gerakan Rasuah Busters,” katanya.

Mengulas mengenai ‘Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah’, Hussamuddin berkata, ia adalah program untuk menanamkan kesedaran di kalangan semua rakyat Malaysia mengenai keruntuhan moral yang disebabkan oleh rasuah.

Katanya, dalam program ini, setiap rakyat Malaysia diberi kuasa untuk mengatakan tidak terhadap rasuah dan ini adalah pemerkasaan yang dapat melibatkan seluruh keluarga setiap rakyat Malaysia.

“Semangat kebersamaan dalam program ini akan menjadi pencetus untuk mendorong perubahan yang sangat kurang di Malaysia. Ini akhirnya akan membawa kepada perubahan dalam #NilaiMoralKarakterBangsa,” katanya.

Ia merupakan acara yang pertama seumpama itu di Malaysia dan dunia serta objektifnya adalah untuk memberi kesedaran di peringkat awal mengenai anti-rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Program maya ini, yang akan berlangsung dari 13 April hingga 30 Jun 2021 mensasarkan 10,000 rakyat Malaysia dari semua peringkat umur untuk bergabung. Pendaftaran adalah percuma dan peserta dapat mengesan langkah harian mereka selama 30 hari dan mengikrar jumlah langkah mereka untuk tujuan memerangi rasuah.

Bagi yang menyertai program ini, anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik dalam Cabutan Bertuah dan apabila anda merujuk rakan untuk menyertai acara tersebut.