“Rasa Hati Makin Dirawat & Bahagia Dengan Baca Al Quran”. Wanita Ni Kongsi Pengalaman Hidup!

Share

Perkongsian tentang kisah hidup yang dilalui daripada wanita ini wajar dijadikan panduan.

Semoga niat baiknya berkongsi, dapat memperingatkan yang lain untuk terus amalkan membaca al quran dan bukan hanya di musim PKP dan bulan Ramadan ini bahkan hendaklah dijadikan rutin harian.

Ayuh kita ikuti perkongsian daripada Azlia Ajid ini.


Sekarang saya sedar baca Al-Quran setiap hari dengan niat mengenal Allah, sayang Allah dan agama, hidup pasti tenang dan bahagia. Apa jua cabaran dan ketakutan hidup hingga walau takde gaji suami isteri pun masa #PKP ni, hati tetap gembira.

Saya bukan dari keluarga yang berlatar belakang ustaz ustazah, tapi Alhamdulilah ibu bapa saya cuba bagi didikan agama sebaiknya. Hantar sekolah agama Tahfiz Abim masa sekolah rendah. Selalu suruh solat sampai bersungguh marah jika saya culas. Bawa saya ke ceramah agama dan sehingga hari ini setiap kali saya diuji, pesanan mereka sama.

“Bangun tahajjud. Baca Al-Quran. Banyakkan berdoa. Allah ada. Solat Dhuha. Sembahyang awal. Al kahfi hari Jumaat. Sedekah. Sembahyang hajat. Apa-apa minta dengan Allah.”

Tak kiralah masalah kerja, bisnes, keluarga, atau kesihatan. Kalau sakit suruh jumpa doktor, tapi pesanan ingat Allah tu mesti ada. Ada masalah kerja, nasihat berbincang dengan majikan, tapi mesti minta selesaikan dengan berdoa pada Allah. Saya akui, ia sangat berkesan.

Sebelum berkahwin, boleh kata hampir setiap hari saya mengaji. Kalau tak boleh solat, saya dengar nasyid, zikir. Alhamdulillah bertahun hidup walau cabaran banyak, saya bersemangat dan hati tenang.

Satu masa, bila anak sulung berusia dalam 2 tahun, saya jadi leka. Sibuk kejar pangkat, jaga anak dan mengumpul harta. Saya mula bisnes kecilan juga sebab nak lagi kaya. Sembahyang wajib saya jaga, tapi ketika itu kesilapan besar saya adalah Al-Quran dah jarang saya pegang.

Dari baca hari-hari jadi seminggu sekali. Kemudian, makin jarang sehingga saya rasa mungkin sebulan sekali sahaja baca atau lebih lama.

Tanpa saya sedar, zaman “gelap” hidup saya bermula. Cabaran hidup makin besar. Kerjaya huru hara. Rumah tangga pun rasa kosong walau kami jarang bergaduh suami isteri. Semua aspek hiduplah ada masalah.

Bertahun juga saya “hilang” rasa bahagia luar biasa yang pernah dikecapi. Apa pun tak pernah puas. Ada sahaja benda tak kena. Orang nampak macam okay, tapi hakikatnya hati saya tak bahagia dan derita.

Hinggalah satu hari. Saya ditegur lagi oleh ibu saya. Baca Al-Quran selalu. Ingat Allah. Masa tu, saya dah rasa ditahap paling bawah kehidupan saya, jadi saya ikut sahaja.

Saya cuba mula konsisten walau bukan setiap hari. Saya tambah dengan amalan baca maksud ayat suci Al-Quran. Bila baca terjemahan, pasti berjujuran air mata. Banyak teguran saya dapat dari hanya dari membaca.

Betapa lekanya saya dengan dunia selama ini. Saya lupa kelebihan mengingati Allah dengan ayat Al-Quran sangat lama. Ampunkan aku ya Allah.

Suami juga makin lama mula buat perkara sama. Kami sama-sama perbaiki hubungan dengan Allah. Kami usaha bercinta dijalanNya.

Allahuakbar walaupun perlahan proses dirasai dan ujian semakin mencabar, sungguh saya rasa hati makin dirawat. Ketenangan mula menjelma. Bahagia mula terasa.

Rumah tangga juga makin bahagia. Perasaan saling sayang dan kadang kala macam rasa baru jatuh cinta satu sama lain. Mekarnya hidup dalam berkeluarga.

Bayangkan masa saya berhenti kerja dan jadi suri rumah, kami hilang 2/3 dari pendapatan keluarga. Kalau ikutkan, banyak hutang pada gaji. Namun Alhamdulillah Allah tetap cukupkan dengan pelbagai cara. Hutang semua terbayar dengan mudah. Subhanallah.

Sungguh ia satu rasa yang luar biasa. Duduk rumah bahagia. Dimana-mana sahaja bahagia. Segala kesulitan Allah izin temui jalan satu persatu. Ya, ujian tidak berhenti dan ada sebahagiannya makin hebat, namun kami mampu tabah, sabar dan gembira melaluinya.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 57:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya :” Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dadamu dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”

Sungguh bila #dudukrumah masa #PKP ini. Bonus boleh utamakan waktu untuk beribadah. Alhamdulillah, lebih banyak kami lihat besarnya makna hidup bila bersungguh cari Allah dalam kehidupan dunia yang penuh tipu daya.

Kawan-kawan. Jika rasa berat sangat ujian hari ni, carilah Tuhan yang Esa untuk mengubati. Seperti pesan mama, bacalah Alquran setiap hari. Solat Tahajjud. Sembahyang Hajat. Minta dengan Allah. Doa banyak-banyak.

Sungguh tiada yang mampu memberi bahagia selain Dia. “Aku ada Allah, aku ada segalanya”.

sumber : Azlia Ajid