Untuk buat anak-anak suka makan dan tidak memilih, kita perlu rajin memperkenalkan pelbagai jenis makanan pada mereka. Bila dah biasa mencuba, nak akan okay dan lebih ‘open’ untuk makan apa saja yang diberikan pada mereka. Salah satu tip untuk buat anak suka makan, elakkan beri jajan atau makanan proses.
Kalau tengok Rina makan, rasa seronok sebab dia sangat berselera. Anak kepada Ryzal Ibrahim dan Maryam ni juga tak kekok makan sendiri. Kalau tengok hidangan yang disediakan Maryam, macam orang dewasa yang nak makan. Lengkap dengan karbohidrat, protein dan serat dan dihidangkan tanpa perlu ‘sembunyi’.
Sesetengah kanak-kanak kita perlu campurkan sayur dalam masakan tapi Rina boleh makan salad timun macam tu saja. Dahulu, Maryam pernah kongsikan bersama Pa&Ma salah satu tip untuk buat anak suka makan, jangan marah mereka. Beri saja anak cuba pelbagai jenis makanan, tapi kalau anak tak suka jangan marah.
Satu video yang dikongsikan oleh Maryam ketika makan mencuri perhatian ramai. Maryam sediakan nasi, sup bebola, kek ketam dan salad timun beserta epal untuk anaknya itu. Seperti biasa, Rina sangat teruja setiap kali waktu makan dan sangat menghargai masakan omma.
Selesai membaca doa makan, Rina menikmati hidangan tersebut dengan berselera sekali. Dia makan salad timun dan kek ketam kemudian nasi dimasukkan ke dalam sup. Dari cara Rina makan, memang nampak dia seorang pemakan tetapi sangat tertib.
Tengok video ini;
Untuk kanak-kanak berumur lebih kurang dua tahun seperti Rina, cara dia makan sangat kemas dan sopan. Lebih bagus lagi, dia sangat menghargai makanan serta bersyukur dengan rezeki yang ada.
Bukan saja ajarkan anak untuk tidak memilih makanan, tetapi pujian harus diberikan kepada Ryzal serta Maryam kerana turut mendidik Rina menjadi anak yang beradab. Tengok Rina makan, kita pun jadi terliur!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Syamsul Yusof Fail Permohonan Nusyuz Ke Atas Puteri Sarah
Pengarah sensasi, Syamsul Yusof mendedahkan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana mempunyai hubungan bersama bekas kekasihnya yang juga merupakan suami orang.
Ia ekoran Syamsul yang telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya atas sebab tersebut dan dakwaan mengabaikan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Selasa.
Syamsul yang juga merupakan seorang pelakon itu turut meluahkan rasa kesal serta mengakui tidak dapat menerima isteri tercintanya berhubung dengan bekas kekasih.
“Saya tahu berkenaan Sarah berhubung dengan bekas kekasih. Dia bukan seorang pelakon, hanya orang biasa jadi jangan salah faham. Bekas kekasih dia sewaktu di kolej lagi.
“Siapa yang boleh terima kalau mengetahui isteri kita ada berhubungan dengan suami orang? Lillahitaala, perkara ini bukan ditimbulkan kerana saya sekarang perlukan sesuatu untuk membantai Sarah, tidak sama sekali,” dakwanya.
Mengulas lebih lanjut, Syamsul berkata dia tidak mahu mengeruhkan keadaan namun tidak dapat berdiam diri setelah Puteri Sarah melemparkan pelbagai fitnah terhadap dirinya.
“Saya tidak mahu berkongsi mengenai perkara ini kepada umum, tapi malangnya mungkin salah saya selama ini saya berdiam keadaan menjadi sangat keruh.
“Saya yakin, melihat keadaan Sarah yang melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan tak bagi nafkah, fitnah saya memukul dan sebagainya.
“Pada minggu lepas, saya terkejut bila di mahkamah dia tuduh saya pukul dia. Saya tahu dia marah dan benci saya tapi adakah sampai ke tahap memfitnah saya.
“Saya masih berfikir adakah perkara terbaik untuk saya membuka mulut? Saya tetap berdiam… Saya tak mahu memburukkan Sarah atau membuka aibnya.
“Saya memilih untuk berdiam diri sehingga kedua orang tua saya sendiri pun tidak tahu menahu mengenai konflik rumah tangga saya. Seperti yang semua tahu, ibu bapa saya juga menghentam saya.
“Ini bukan caranya. Hanya kerana saya tak mahu menceraikannya dia mahu malukan saya. Berkali-kali saya menghubunginya untuk berbincang, tapi saya rasa Sarah mungkin suka dengan drama ini semua.
“Saya bukan nak melawan Sarah. Pada akhirnya, dia tetap isteri saya,” akhirnya.
Selain alasan curang, difitnah abai nafkah dan memukul, peguam Azmi Mohd Rias mewakili Syamsul berkata permohonan nusyuz tersebut juga disebabkan oleh Puteri Sarah yang meninggalkan rumah mereka sejak Oktober 2020 lalu tanpa meminta keizinan.
Dalam pada itu, Puteri Sarah mengatakan dia tidak tahu-menahu mengenai tuntutan nusyuz yang dibuat oleh pengarah filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
“Saya pun tak tahu apa-apa. Tunggu sahajalah apa tindakan dan dakwaan dia petang nanti,”ujarnya.
Pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia berlapang dada dan sedia berjuang nasibnya sebagai seorang isteri.
“Nak kata saya isteri derhaka apa semua, saya tak boleh komen panjang. Kita tunggu apa dia nak buat selepas ini sebab sekarang saya sedang sibuk bekerja (shooting) cari duit sendiri,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, walau apa-apa pun yang berlaku, dia tetap akan mempertahankan nasibnya dan akan memberi keterangan lebih selepas mendapat tahu situasi sebenar.
“Selepas apa yang berlaku petang ini, baru saya akan buka mulut. Buat masa sekarang, kita tengok sahaja apa permainan dia.
Dikesempatan itu, ibu kepada dua cahaya mata itu meminta doa orang ramai agar urusunnya dipermudahkan dan keadilan berpihak kepada mereka yang benar.
Terdahulu, Syamsul Yusof enggan menceraikan isteri pertamanya ketika prosiding sebutan kes mereka, baru-baru ini.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Sumber: TikTok mStar, Kosmo! Online
Bila Kucing Suka Sangat ‘Membuang’ Di Kawasan Laman, Ibu Segera Ambil Petua Ni!
Menjadi tabiat kucing akan membuang ‘hajat’ di tempat yang sama dan sekiranya tempat itu adalah di kawasan laman tempat kita selalu bercucuk tanam, pasti tumbuhan sukar untuk hidup subur.
Melalui perkongsian Puan Rose Eima diharap dapat membantu untuk ibu-ibu yang berhadapan dengan masalah ini.
Ikuti perkongsiannya ini
PETUA TAK BG KUCING BERAK TEMPAT BERCUCUK TANAM
Hari tu sy ade terbaca seorang hamba Allah tu ade masaalah kucing liar suka membuang ditanah tempat dia bercucuk tanam masaalah nya dah mcm2 cr dia buat sekali dia dpt petua ni…sy pun cuba sbb sy pun punya masaalah yg sama… alhamdulillah nampaknya petua tu banyak membantu atasi masaalah kucing yg suka berak ditanah tempat sy bercucuk tanam….
Limau kasturi diperah airnya tapis dan masuk kan dlm bekas spray..then spray tempat kucing asyik duk membuang tu..inshaallah lps ni selesai masaalah tu
Bahan-bahan: Limau nipis, penapis, botol spray
Cara penyediaan :
- Limau Kasturi diperah untuk mendapatkan jusnya.
2. Tapis untuk asingkan bijinya.
3. Masukkan jus perahan limau nipis tadi di dalam bekas.
Cara Penggunaan :
Semburkan ramuan ini di tempat yang kucing selalu membuang najis.
sumber : Rose Eima via Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri
Keluarga Ini Miliki 30 Jenis Koleksi Haiwan Eksotik Sehingga Ruang Tamu Jadi Penempatan Haiwan. Sungguh Inspirasi!
Memiliki haiwan comel sebagai binatang peliharaan di rumah pastinya menggembirakan. Terutama apabila melihat telatah manja yang ditonjolkan haiwan tersebut ketika dibelai. Setiap orang memiliki haiwan peliharaan yang berbeza-beza. Kebiasaan gemar menjadikan haiwan peliharaan seperti kucing untuk dimanja. Namun, ada juga golongan yang ekstrem yang mengemari haiwan lainnya seperti ular, kura-kura dan sebagainya untuk dipelihara sebagaimana keluarga Puan Maizura Eliana ini.
Sememangnya beliau tidak menyangka akan mempunyai haiwan peliharaan eksotik. Namun, anak sulungnya Mirza yang menjadi pencetus yang membuatkan keluarga ini memiliki lebih 30 koleksi haiwan eksotik. Lebih istimewa kesemua haiwan peliharannya itu, diletakkan di ruang tamu rumahnya.
Ibu kepada Mirza Mohd Zaini, 11 tahun dan Misha Mohd Zaini, 8 tahun beranggapan cara sebegini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan secara sihat, sekali gus dapat mengelak anak-anaknya daripada terdedah kepada permainan gajet.
“Apabila ada haiwan peliharaan ini, memang mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia bukanlah aktiviti seorang sahaja seperti main permainan video atau gajet dan internet.
“Ia melibatkan kerjasama semua ahli keluarga dan tolong menolong dan ada sahaja cerita mengenai keletah haiwan tersebut yang akan dikongsi bersama setiap hari. Apabila ibu bapa menyokong hobi anak, pastinya anak-anak rasa dihargai dan dipedulikan, sedikit sebanyak mengubah sikap anak-anak menjadi lebih penyayang kepada ibu bapa,” jelasnya.
Minat haiwan eksotik
Bercerita lanjut bagaimana timbulnya ilham memelihara haiwan eksotik ini, Mirza menjelaskan ia berlaku setelah membawa anaknya ke taman haiwan ketika anaknya kecil lagi. Bermulanya dari situlah anaknya mula menunjukkan minat dan memintanya untuk memelihara haiwan berkenaan.
“Saya sejak kecil memang tidak pernah ada haiwan peliharaan jadi tidak pernah terfikir untuk ada, sehinggalah dapat anak pertama pada 2007, Mirza yang menunjukkan minat terhadap haiwan. Bermula dengan membawa dia ke tempat haiwan seperti Zoo, Petting Zoo dan Taman Haiwan, lama kelamaan makin bertambah minat dan suami mula beri anak pelihara ayam katik ketika umur lima tahun. Memang sejak kecil dia sangat natural bersama haiwan.
“Ketika usia sembilan tahun, Mirza mula meminta untuk pelihara haiwan eksotik iaitu Hedgehog sehingga mampu membiakkannya dan menjual hedgehog tersebut. Dengan hasil jualan itu pula Mirza mula menambah haiwan peliharaannya dari jenis reptilia seperti Bearded Dragon, Leopard Gecko dan juga berbagai jenis ular.
“Dan sehingga kini dia sudah ada lebih 30 jenis koleksi haiwan peliharaan. Haiwan-haiwan ini kami beli dari penjual yang mengimport atau membiakkan sendiri haiwan tersebut. Anak kedua, bernama Misha juga menunjukkan minat sama mengikut jejak langkah abangnya.”
Dalam pada itu, tambahnya lagi, anaknya mahu memiliki pelbagai jenis haiwan atas keinginan untuk memelihara haiwan berkenaan.
“Saya rasa kerana minat terlalu mendalam terhadap haiwan menyebabkan anak saya, Mirza ingin memiliki sebanyak mungkin haiwan yang boleh dipelihara.
“Dia suka membaca terutama buku berkaitan haiwan dan timbul keinginan untuk memiliki dan mengalami sendiri bagaimana memelihara haiwan tersebut. Mirza bercita-cita ingin menjadi seorang Doktor Haiwan, jadi pengalaman memelihara sendiri haiwan tersebut diharap dapat membantunya kelak,” jelasnya.
Ruang tamu jadi penempatan haiwan
Sebagaimana yang dilakukan oleh sebuah keluarga penyayang ini yang sanggup mengorbankan separuh ruang tamunya menjadi ruang penempatan lebih 30 haiwan kesayangan keluarganya.
“Oleh kerana banyak masa anak-anak dihabiskan bersama haiwan, saya mengambil keputusan untuk mengorbankan bahagian ruang tamu rumah untuk dijadikan ruangan khas haiwan peliharaannya. Ini untuk memastikan kami sekeluarga sentiasa melakukan aktiviti bersama dan saya dapat pantau aktiviti anak-anak. Ia juga bagi memastikan keselamatan haiwan-haiwan tersebut, jadi perlu ada di dalam rumah. Ia juga menjadi tarikan utama apabila tetamu datang ke rumah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hamiza bersyukur suami menyokong minat beliau dan anaknya. “Pada permulaannya, suami agak membantah untuk memelihara haiwan eksotik, apatah lagi reptilia seperti ular. Tetapi lama-kelamaan dia sendiri nampak kesungguhan anak saya dalam menjaga haiwan-haiwannya, mempunyai ilmu mengenai haiwan tersebut dan juga menjana pendapatan dari hobinya itu.”
Kebersihan
Mengakui kebersihan memainkan peranan utama dalam memastikan persekitaran dalam keadaan baik agar kediaman tersebut selesa dihuni dan sekali gus turut tidak mengganggu jiran-jiran.
“Rumah saya adalah jenis corner lot, jadi terdapat bahagian laman tepi rumah yang bertanah lapang di mana haiwan seperti ayam, itik, kucing dan arnab di letak di bahagian luar rumah dalam kawasan sangkar masing-masing. Lain-lain haiwan adalah dari jenis haiwan kecil dan ditempatkan di dalam ruang tamu, juga dalam sangkar atau akuarium masing-masing.
“Setakat ini tiada masalah kebersihan atau bau kerana kawasan laman rumah saya luas dan terbuka dan setiap hari akan di pantau. Kami pastikan kolam itik dicuci dan ditukar air baru serta kandang arnab di sapu bersih setiap hari.
“Manakala sangkar dan akuarium haiwan kecil perlukan cucian sekali seminggu. Tidak semua haiwan perlu mandi, kami hanya mandikan kucing, hedgehog dan guinea pig sekali sebulan. Haiwan lain seperti arnab, sugar glider, burung dan hamster hanya perlu mandian spray syampoo yang khusus.
“Haiwan reptilia seperti bearded dragon, ular dan lain-lain hanya perlu disediakan bekas air untuk mereka berendam atau melembapkan badan bagi memudahkan apabila proses salin kulit. Sememangnya tugas menjaga semua haiwan ini dilakukan oleh semua ahli keluarga termasuk, suami dan anak-anak. Jika tidak, putus asa juga saya kalau seorang saja yang uruskan. Lagipun haiwan-haiwan reptilia contohnya, hanya Mirza sahaja yang berani memegang dan beri makan,” jelasnya yang menetap di Taman Pelangi Semenyih, Semenyih, Selangor
Peruntukkan bulanan
Memelihara haiwan yang banyak memerlukan sejumlah peruntukkan bagi memastikan haiwan-haiwan peliharaan dalam keadaan baik dan sihat. Keluarga penyayang ini tidak lokek menanggung kos bulanan bagi haiwan-haiwannya.
“Haiwan-haiwan eksotik dan reptilia ini memang diketahui bernilai tinggi, kos untuk membeli pun sudah bernilai ratusan hingga ribuan ringgit. Oleh itu penjagaan haruslah bersungguh-sungguh juga. Setiap haiwan memerlukan habitat berlainan, ada yang berasal dari kawasan panas jadi memerlukan lampu dipasang 12 jam setiap hari, ada kawasan lembap dan berair, begitu juga pelbagai jenis diet makanan berbeza untuk reptilia, mamalia, burung dan amfibia.
“Oleh itu kos penjagaan agak tinggi pada permulaan kerana perlu sediakan habitat yang sesuai, sangkar atau akuarium dan aksesori yang sesuai, manakala kos bulanan pula lebih kurang RM500,” jelasnya.
Sumber: Majalah Keluarga Isu Januari 2019