Bergelar seorang guru sememangnya mencabar di zaman ini. Justeru guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar dan menonjolkan teladan yang baik bagi mencorak pelajarnya menjadi manusia yang penuh kebaikan.
Begitu juga dengan pelajar yang nakal di sekolah. Bukan mudah untuk mendekati mereka terkenal dengan sikap ‘keras kepala’.
Namun bagi guru ini, menggunakan cara tersendiri untuk mendidik anak ini.
Ikuti perkongsian beliau.
__________________________
Cerita dibulan puasa 13 tahun yang lepas, Aku masih bujang, dan kecewa cinta. Maka, aku tak ambil kisah sangat bab berbuka dimana atau berbuka dengan siapa.
Macam biasa, aku berbuka disekolah je. Apa yang ada itulah yang aku makan. Kadang-kadang biskut dengan air masak, kadang-kadang roti dengan susu.
Cuma sekali tu, teringin nak makan ayam percik. Sebelah sekolah ni, ada lah bazar Ramadan. Tak besar mana, tapi adalah dalam 10 gerai. Aku start motor dan terus nak menuju ke sana, tapi sampai sahaja aku ke pintu pagar sekolah.
Sarjan tahan aku, oh ya Sarjan ni panggilan hormat kami pada Pak Noh, pengawal keselamatan kami.
“Cikgu! Ni ha, ada seorang budak tak balik lagi. Bapa dia tak ambil lagi, dah nak dekat berbuka ni”, terang Sarjan.
Aduh! Macam mana boleh bapa dia tak ambil lagi ni? Dah nak jam 7, magrib pun tak lama lagi.
MURID YANG NAKAL
Anak murid aku dari kelas 6 Raya, jenis yang ‘keras’ sikit budaknya hahaha kena ‘keras’ jugalah cara nak mengajarnya.
“Amirul, ayah awak biasa ambil jam berapa?”, soal aku pada sesusuk tubuh yang tunduk segan-segan dipondok menunggu.
“Selalu lewat, tapi taklah lewat macam ni. Ayah ambil mak dulu kot cikgu”, jelas Amirul.
“Oklah, macam ni. Kita cuba telefon ayah awak dulu”.
“Saya dah cuba telefon cikgu, tak dapat. Masuk voice mail”, sampuk Sarjan lagi sambil tunjukkan rekod panggilan yang telah dibuat kepada ku.
“Hmmm.. meh ikut cikgu pergi bazar. Kita beli juadah berbuka sementara menunggu ayah awak sampai. Mungkin telefon dia habis baterilah kot”.
Tanpa berlengah, aku bawa Amirul ke bazar. Pilih yang mana berkenan dan bayar. Kami belikan sekali Sarjan juadah berbuka, walaupun tahu dia dah siap-siap bawa bekal dari rumah.
Hari tu, kami bertiga berbuka di pondok menunggu bas. Sambil makan, sambil gelak-gelak mendengar lawak hambar aku dan Sarjan. Amirul cuma tersenggeh-senggeh mendengar apa yang dibualkan kami.
Tak lama lepas berbuka dan selesai solat magrib, barulah ayah Amirul tiba. Dia minta maaf sangat-sangat sebab lambat ambil anaknya itu. Katanya, dia masuk ke Singapura menghantar penumpang. Sesak bila nak masuk balik ke Johor. Oh, baru aku teringat yang ayah Amirul ni bekerja sebagai pemandu teksi.
SIKAP BERUBAH
Sejak dari hari tu, Amirul ni jadi segan dengan aku. Tak pandai melawan atau berani tak siapkan kerja Bahasa Inggeris yang aku beri dalam kelas.
Kau nampak kan? Walau sekeras-keras mana hati anak-anak ni. Bila diberi kasih dan sayang, bila dititip kata-kata yang lembut, Tuhan akan balikkan hati mereka.
Apa yang aku buat dahulu dan akan teruskan, adalah demi anak-anak aku. Semoga Tuhan kurniakan insan-insan yang boleh mendidik dan menjaga anak-anak aku, sama ada tika aku masih bernyawa atau pergi menemui Pencipta nanti.
Salam Aidil Fitri, dan Terima kasih cikgu!
*aku rindu murid sebenarnya ni.. rindu sekolah.. rindu nak mengajar.
Sumber: Firdauz Abdullah