Ramai Keluar Rumah, Buat Hati Dr. Ni Tak Tenang. Tup-Tup 41 Kes Covid-19 Diterimanya!

Share

Semenjak dua tiga hari ini, apa yang dapat kita lihat sudah ramai orang keluar rumah dan ini dibuktikan apabila jalan raya tidak lagi selengang sebelumnya. Mungkin ada yang beranggapan, arahan PKP seakan sudah dilonggarkan.

Namun hakikatnya, semua ini terjadi adalah kerana sikap pentingkan diri sendiri yang akhirnya menyusahkan orang lain.

Ini sebagaimana perkongsian daripada Dr Ahmad Luqman Bukhari apabila menerima 41 kes Covid-19 dalam sehari di Seremban.

Satu angka yang pasti bertambah jika masih ramai lagi engkar arahan PKP.

Lantaran itu, Dr Ahmad Luqman Bukhari berpesan dan merayu agar warga Seremban patuh arahan PKP di akaun fbnya.

Ini perkongsiannya.


​​​​​​Saya perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar.

Mulalah seharian hati ni rasa tak sedap. Serba serbi tak kena.

Tup-tup sekejap tadi dapat berita 41 kes baru positif dikesan kat Seremban ni!

Bukan 4 kes. 41 woih!

Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat Hospital Seremban sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.

Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri.

Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata.

Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.

Kawan-kawan yang bertugas di wad pun ramai yang mengadu dah terlampau letih dengan ujian wabak kali ini.

Dan mereka ni nak tak nak kena terus bekerja dan bekerja untuk lawan virus yang kita semua tak nampak ni.

Sebahagiannya terpaksa dapatkan bantuan kaunseling disebabkan terlampau stress.

Siapa yang tak stress bila terus berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut dalam tempoh yang panjang.

Siapa yang tak stress bila saban hari ada yang diarah untuk jalani kuarantin.

Siapa yang tak stress bila anak dan isteri turut berisiko untuk dijangkiti.

Paling malang, stress tu timbul bila berterusan terpaksa berhadapan dengan sejumlah manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!

Kawan-kawan,

Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif.

2 kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga.

Lain-lain lokasi hampir kesemuanya termasuk dalam kategori zon kuning.

Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.

Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.

Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan,tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.

sumber : Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Seremban.