Lima tahun bergelar suami isteri, pelbagai onak duri dan dugaan ditempuhi Datin Alyah dan suami, Dato Ramli M S. Jujur mengakui, kapal mana yang tidak dilambung dek ombak, namun yang penting kepercayaan dan saling bertolak ansur.
“Ada masanya kapal di laut akan dilambung ombak, begitu juga dengan perkahwinan kami. Ada masa tenang, ada masa bergelora. Itu lumrah. Gaduh tetap ada tetapi kami bukan jenis yang cepat terasa sebaliknya kami mengambil pendekatan ‘melupakan’.
“Kalau saya merajuk sekali pun, akan ‘sejuk’ sendiri sebab tiada yang nak pujuk,”seloroh pelantun lagu Kisah Hati tatkala bercerita mengenai kehidupan rumah tangganya.
Ditanya mengenai karekter Datuk Ramli MS di rumah , akui Datin Alyah suaminya itu orang yang paling rajin memasak juadah untuk mereka sekeluarga seperti menu ikan bakar, asam pedas dan sebagainya.
“Dato jenis simple orangnya, tapi dia agak cerewet kalau bab makan sebab dia nak makanan yang masak di rumah dan dia memang rajin memasak.
“Kalau makanan yang kita beli di kedai apatah lagi bazaar, dia tidak suka. Kalau beli sekali pun, dia akan pergi tempat yang dia suka sahaja. Jadi, memang selalunya dia ambil tugas masak untuk kami sekeluarga. Cuma Dato dia ada sejenis perangai pelik apabila memasak.
“Selain tak suka orang ada di dapur ketika dia memasak, dia juga akan sukat terlebih dahulu setiap bahan yang akan di masak. Dah macam gaya chef memasak di dapur. Cerewetnya sampaikan saya tak larat nak melayan. Jadi saya biarkan dia masak sendiri. Yang penting saya dapat makan.
“Biasanya saya akan sediakan bahan-bahan dan suami akan memasak. Kalau suami jenis masak ikut sukatan, saya pula main campak-campak sahaja. Dato juga jenis pembersih orangnya dan tak boleh lihat ada sampah di dapur,”ujar Datin Alyah lagi.