“Rajin Bersihkan Surau & Mengaji Iqra.” Lelaki Ni Kongsi Kisah Rakan Mualaf Yang Maut Kemalangan

Share

Kisah pemuda ini cukup istimewa sekali. Walaupun bukan beragama Islam, namun pemuda berusia 28 tahun itu sering membantu apabila ada aktiviti di surau seperti gotong royong, membersihkan surau dan sebagainya.
Siapa sangka, akhirnya pemuda ini
memperoleh hidayah Allah dengan mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam.
Kisah Dono atau nama Islamnya Muhammad Omar Arumugam dikongsi oleh seorang kenalan Allahyarham, Syahril A. Kadir menerusi laman Facebook sejurus kehilangan pemuda tersebut. Dono meninggal dunia tengah malam semalam akibat kemalangan jalan raya di Damansara Damai, Selangor.


Menurut Syahril A. Kadir, beliau mengenali Dono ketika arwah masih belasan tahun dan mereka tinggal berdekatan kawasan kejiranan.
KISAH DONO DAN BUKU IQRA’NYA… NAMANYA Muhammad Omar Arumugam. Baru berusia 28 tahun. Kami memanggilnya Dono. Saya mengenalinya ketika dia masih remaja lagi. Tinggal di kawasan kejiranan kami.
Walaupun bukan beragama Islam pada awalnya, Dono sering datang ke surau kalau ada aktiviti seperti gotong royong, membersihkan surau dan sebagainya.
Dari situ pintu hatinya terbuka untuk lebih mengenali agama suci ini dan kemuncaknya beliau memeluk agama Islam. Pun begitu, seperti mana dituntut oleh Islam, Dono tidak pernah ‘membuang’ keluarganya walaupun berbeza fahaman dan pendirian. Dia tetap bersama keluarga bukan Islamnya.

Menyedari ilmu agamanya belum cukup, bila ada kelapangan, Dono akan tetap mencuri sedikit masa untuk belajar mengaji dengan rakan-rakan. Malah buku Iqranya tetap tersimpan rapi untuk kegunaannya bila dia datang.
Malam tadi seperti kelazimannya, selepas pulang dari kerja, Dono datang dan bergurau senda dengan rakan-rakan setaman kami.
Kira-kira jam 12.30 malam, beliau pergi ke kedai serbaneka Damansara Damai yang cuma kira-kira 300 meter dari kawasan perumahan kami untuk membeli sedikit barangan.
Tetapi dia tidak pulang-pulang sehinggalah kami menerima Whatsapp daripada rakan-rakan yang Dono ditemui terbaring dengan luka parah di kepala. Motor yang ditungganginya rosak teruk.
Tiada versi yang jelas sama ada dia terbabas atau pun dilanggar, yang pasti ketika ditemui Dono sudah tidak bernyawa lagi. Tak sampai setengah jam bergelak ketawa dengan rakan-rakan, Dono pergi buat selama-lamanya.

Ketika saya menulis berita ini, jenazahnya masih di PPUM menunggu untuk dibedah siasat pagi nanti.
Kini yang tinggal adalah buku Iqra’ Dono dan kenangan bersamanya. Semoga Allah mengampunkan dosanya dan menempatkannya di syurga tanpa hisab.
Saya hilang kata-kata.
Selamat jalan adikku.

Sumber: FB Syahril A. Kadir