Cium suami gugur dosa, cium isteri bahagia selamanya dan cium anak dapat pahala, betapa beruntungnya hidup kan. Sebab itu dalam rumah tangga jika mahu aman kena mencipta bahagia seperti mana yang dituntut Islam. Itulah rahsia kasih sayang lebih padu antara suami isteri dan anak-anak.
Namun, tak ramai yang berbuat demikian, dengan alasan sibuk tak punya masa dan segan kononnya anak-anak sudah besar, malu dilihat oleh rakan-rakan. Tetapi percayalah, jika ia diamalkan banyak manfaat yang anda peroleh. Salah satunya hubungan kekeluargaan semakin erat dan anak-anak serta pasangan lebih hormat dan menghargai kita.
Bukan sahaja bahagia dalam rumah tangga, bahkan dalam satu kajian dilakukan oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubung kait antara sentuhan dan tahap kesihatan, seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap hari akan panjang umurnya lima tahun.
Kajian mendapati, seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah S.A.W.
Terdapat kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Oleh itu suami yang ingin isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap.
Hubungan seks dengan penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk kekal awet muda dan berketerampilan menarik. Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri.
Fadhilat mencium suami
Apabila isteri bersalaman dan mencium tangan suami, maka gugurlah dosa-dosa kecil si isteri. Restu seorang suami tu penting dalam rumahtangga. Lagipun isteri juga akan dapat pahala. Suami pun mendapat pahala juga jika dia kucup dahi isteri. Satu lagi perkara yang ramai isteri tidak sedar ialah tabiat tidur berbantalkan lengan suami. Hanya sedikit sahaja isteri yang tahu bahawa tidur berbantalkan lengan suami atau dalam dakapan suami, boleh membuatkan hati suaminya luluh.
Fadhilat mencium isteri
Mencium isteri juga merupakan ibadah. Islam memandang tindakan tersebut sebagai satu perkara yang baik, bahkan dapat memberikan pahala kepada suami. Isteri pasti akan gembira apabila mereka selalu dicium oleh suami mereka. Hati yang gundah, bisa menjadi bahagia. Gelap kesedihan, bisa menjadi cerah dengan keriangan. Dilihat kepada Nabi, siri tauladan ini menjadi amalan harian Nabi SAW dikala bersama Isteri.