Epal hijau bukan hanya tinggi serat bahkan ia mengandungi mineral lain seperti zat besi, zink, manganese dan potassium. Siapa yang menggemari si hijau ini pastinya beruntung kerana dari sebiji epal yang kita makan bukan hanya sedap bahkan ada banyak rahsia dan khasiat yang tersembunyi.

Ia dikatakan sebagai buah yang memiliki kalori rendah, ia amat disyorkan untuk menurunkan berat badan.

Bukan itu sahaja, malah mengambil epal hijau juga baik untuk penghidap asma malah mampu mengawal masalah diabetes.

Menariknya bukan hanya sihat, epal hijau juga baik untuk mencantikan kulit kerana mengandungi vitamin C. Hebat bukan!


Selain makan sebiji epal, ada banyak cara lain iaitu dengan menggabungkan beberapa makanan berkhasiat lain. Sihat berganda malah kulit pun cantik gebu. Nak cantik dan sihat? Ikuti cara membuat jus dan air rebusan ini.

Kredit: Fauziahsamad.com

1. Epal Serai
Gabungan dua bahan ini dikatakan baik untuk merawat masalah sakit lutut. Banyak perkongsian di media sosial mampu membantu mereka yang mengalami masalah lutut.

Bahan diperlukan hanya dua biji epal hijau dan empat batang serai sahaja. Mudah.

Bahan-bahan:
2 biji epal
4 batang serai
1 liter air

1. Epal dipotong kecil-kecil dan serai diketuk.

2. Masukkan ke dalam periuk bersama 1 litre air dan biarkan mendidih.

3. Rebus guna api sederhana lebih kurang 30 minit.

4. Lenyek-lenyekkan epal dan tapis airnya. Sejukkan dan boleh diminum.

2. Air Rebusan Epal Kayu Manis
Air rebusan ini juga merupakan salah satu cara untuk menurunkan berat badan dalam masa yang pantas, jika diamalkan dengan cara yang betul.

Cara untuk menyediakan air rebusan epal ini sangatlah mudah. Malah bahannya juga tidak banyak.

Bahan-bahan:
1 biji epal
1 batang kulit kayu manis
1.5 liter air

1. Rebus kesemua bahan.

2. Biarkan selama satu jam.

3. Amalkan air rebusan ini bila-bila masa sahaja terutama ketika mengambil makanan berat seperti nasi dan sebagainya.

3. Jus Epal, Tomato dan Lobak
Bagi memastikan kulit sentiasa cantik dan gebu, mengamalkan jus daripada tiga gabungan ini amat disarankan.

Hasilnya kulit lembut, selembut kulit bayi. Bukan hanya untuk kulit malah ia juga sebagai detoks terbaik untuk tubuh kita.

Bahan-bahan:
1 biji epal hijau
1/2 biji tomato
1/2 biji lobak merah

1. Kisar hingga sebati.

2. Tapiskan dan minum jusnya.

3. Amalkan minum jus ini empat kali seminggu dan jadikan ianya sebagai rutin.


4. Epal & Daun Saderi
Ini pula merupakan petua untuk membuang toksin dalam tubuh. Ia dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksin dengan pantas menerusi sistem pencernaan.

Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik. Sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman.

Bahan-bahan:
2 biji epal
Daun saderi

1. Kisarkan sebiji epal hijau dengan daun saleri.

2. Amalkan minum jus ini setiap pagi sebelum memulakan sarapan.