Racun Organik Buatan Sendiri, Mudah Sangat Nak Buat. Berkesan Kawal Serangga Pada Tanaman!

Share

Memastikan pokok yang ditanam hidup subur selain perlu dibaja, tidak dinafikan penggunaan racun kawalan serangga perosak juga perlu digunakan.

Pun begitu, selain boleh dibeli di pasaran anda juga boleh hasilkan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan sedia ada di dapur yang juga terbukti berkesan melawan serangga perosak tanaman.

Cara ini bukan sahaja lebih selamat dan mesra alam malah ia juga menjimatkan kos!

Baiklah, buat yang ingin mencuba membuatnya di sini dikongsikan untuk info bersama.


Cara Mudah Buat Racun Organik Buatan Sendiri Yang Selamat Dan Mesra Alam

Di sini kami sertakan cara mudah dan menjimatkan untuk membuat racun organik.

Bahan A (kisar):

Bawang putih – 1 labu

Cili padi – 5-6 biji ( bergatung pada jenis, lagi pedas kurangkan dan boleh juga dibuat tanpa menggunakan cili)

Air – 300 mL (satu cawan biasa)

Setelah kisar semua bahan A, peram selama 24 jam.

Bahan B:

Minyak masak (apa-apa jenis minyak masak pun boleh) – 1 sudu makan

Sabun pencuci pinggan (tak kisah jenama apa pun) – 1 sudu teh

Alat:

Penapis

Penyembur – 1.5 L

Cara:

Tapis bahan A dan ambil patinya. Hampas kisaran boleh dibuang pada pangkal pokok untuk dijadikan baja

Simpan pati di dalam bekas dan masukkan ke dalam peti ais untuk tahan lama

Masuk 100 mL pati dan bahan B ke dalam penyembur

Isi air penuh botol penyembur (1.5 L)

Goncang sehingga semua bahan sebati

Sembur sampai basah daun terutama bawah daun dengan kadar tiga hari sekali pada pokok bermasalah.

Jika pokok tiada masalah serangga, sembur juga sebagai kawalan.

Sedikit peringatan. Sembur sikit dahulu pada satu pokok. Ini kerana ada yang sembur ramuan racun organik ini pokoknya menjadi layu (ada juga pokok yang tidak Sesuai dengan racun ini) .

Jika pokok layu, terus basuh dengan air biasa sehingga hilang cecair racun organik ini pada pokok.

Tambahkan sedikit air didalan pati racunnya untuk kurangkan kepekatan.

Sumber : Kedai Pertanian Malaysia