Cinta hingga hujung nyawa, begitulah yang boleh digambarkan buat pasangan suami isteri ini apabila menemui ajal selang 29 minit. Pun begitu, pemergian pasangan suami isteri ini meninggalkan kesedihan yang cukup berat untuk ditanggung oleh anak-anak, bilamana kedua orang tua yang amat dicintai ‘pergi’ kerana Covid-19.
Pastinya tiada apa yang mampu dilakukan oleh anak-anak melainkan terima dengan reda berita pemergian ibu dan bapa serentak pada hari yang sama, ini sebagaimana memetik berita yang dikongsikan di Harian Metro.
Berat untuk ditanggung namun itu hakikat perlu diterima pensyarah, Wan Su Emi Yusnita Wan Yusof, 39, dan empat adiknya apabila ibu, Aminah Yaakub, 59 serta bapa mereka, Wan Yusof Wan Abdullah, 63, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 29 Julai lalu.
Wan Yusof menghembuskan nafas terakhir pada 8.32 pagi di Hospital Jelebu diikuti Aminah di Hospital Tampin, Negeri Sembilan jam 9.01 pagi dengan hanya 29 minit memisahkan ajal mereka berdua.
Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berkongsi kisah memilukan itu, Wan Su Emi Yusnita yang menetap di Sungai Besi, di sini, berkata dia dan adik beradiknya sudah lama bersedia dengan kemungkinan bapanya akan meninggal dunia kerana penyakit kronik dialami namun terkejut apabila ibunya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) selepas kaki kanan dipotong akibat diabetes turut dijemput Ilahi pada hari sama.
“Abah memang mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan masalah buah pinggang akibat diabetes malah baru keluar daripada hospital pada 16 Julai lalu.
“Keesokan harinya (17 Julai), abah demam diikuti emak dan adik kedua, keempat serta bongsu.
“Melihat keadaan emak yang demam sehingga (badannya) menggigil, adik bawanya menjalani ujian saringan pada 20 Julai iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan disahkan positif keesokan harinya sebelum dimasukkan ke hospital hari sama.
“Sementara itu, abah pula dibawa menjalani ujian saringan pada 21 Julai, sah positif Covid-19 keesokannya (22 Julai) dan dimasukkan ke Hospital Jelebu pada 23 Julai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Wan Su Emi Yusnita, hanya dia dan adik ketiga, Wan Mohd Hanafiah, 33 saja yang berpeluang membuat pengecaman serta menatap jenazah ibu bapa mereka.
3 Adik Beradik Lain Positif Covid-19
Sementara itu, Wan Su Emi Yusnita berkata, tiga lagi adiknya iaitu Wan Nur Hashimah, 36; Wan Nur Ainshatun, 26 dan Wan Shafiqah Zaharah, 24, tidak dapat turut sama kerana masih menjalani kuarantin selepas positif Covid-19.
“Selepas dapat tahu emak meninggal dunia, saya hilang kata-kata dan bertambah terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian abah yang rupanya pergi lebih awal.
“Mujurlah urusan pergerakan rentas negeri berjalan lancar dan saya uruskan pengecaman jenazah abah manakala adik lelaki membantu urusan emak di hospital.
“Adik yang lain pula tidak dapat bersama jadi hanya berpeluang melihat wajah jenazah emak dan abah menerusi panggilan video. Detik itu yang membuatkan kami semua sukar mengawal emosi termasuk saya,” katanya.
Wan Su Emi Yusnita berkata, perasaan sedih itu bertambah kerana dia tidak dapat memeluk dan mencium jenazah ibu bapanya buat kali terakhir.
Abah ‘Pergi’ Bersama Mak
Bagaimanapun, dia dan adik beradik cuba memujuk diri serta bersangka baik dengan ketentuan Allah.
“Abah sudah lama tenat sebenarnya tetapi Allah panjangkan umurnya dan takdirkan arwah pergi bersama emak.
“Sebagai anak, saya tentunya sedih apabila hilang kedua-duanya tetapi reda kerana memikirkan bagaimana keadaan emak seandainya abah yang pergi meninggalkannya memandangkan mereka berdua rapat walaupun sudah 40 tahun berkahwin.
“Rezeki arwah emak dan abah juga apabila pusara mereka bersebelahan satu sama lain malah ini bukti cinta mereka sehingga hujung nyawa,” katanya.
Sumber : myMetro
Nak tahu, KELUARGA ada hadiah wang tunai RM500 nak beri kepada anak-anak anda! Caranya mudah sahaja, anda perlu kongsikan perasaan rasa bangga menjadi anak Malaysia.
Untuk maklumat lanjut layari je laman web https://toko.ideaktiv.com/product/virtual-himpunan-saya-anak-malaysia/ , baca syarat kelayakan dan jangan lupa untuk berdaftar di sana ya!
Sebarang soalan boleh di http://www.wasap.my/60169647520
Bersempena bulan kemerdekaan, jom sertai Pertandingan Berbalas Pantun Anak Merdeka dengan daftar segera https://toko.ideaktiv.com/product/pertandingan-berbalas-pantun/ di Whatsapp di http://www.wasap.my/60169647520
Jom sertai E-Keluargagader BELAJAR ONLINE BERKEBUN DI HALAMAN RUMAH dengan daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/berkebun-cili-di-laman-rumah/ Whatsapp di http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club