Seorang anggota tentera mengalami detik cemas apabila baju yang dipakai terbelit pada gegancu motosikal menyebabkan tangan kirinya hancur dan hampir putus dalam kejadian berhampiran Kem Syed Sirajuddin Gemas hari ini.
Dipetik dari akhbar Kosmo, pihak Polis Daerah Tampin telah menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 7.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata kemalangan itu melibatkan dua anggota tentera berusia 37 tahun dari Kem Syed Sirajuddin.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke Kem Syed Sirajuddin dan setibanya di lokasi kejadian, baju pembonceng tersangkut pada gegancu (spoket) motosikal Yamaha Y15.
“Ini menyebabkan baju itu terbelit dan pembonceng terjatuh. Tangan kiri mangsa termasuk dalam rim,” katanya.
Sementara itu, penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.
Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Kosmo
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini