Bila ibu ayah terlepas cakap perkara yang buruk tentang anak, ia seakan suatu doa.
Begitu yang dikongsi oleh saudara Redza Zainol mengenai perihal anak-anak.
Ikuti perkongsian ini.
Dari meja sebelah, saya terdengar kawan saya sedang bercakap dengan seorang ibu.
“Anak dah pandai lukis apa?”
“Macam mana saya nak cakap ya doktor. Anak saya ni pemalas. Suruh dia pegang pensel malas. Suruh dia mewarna pun malas.”
Panas muka saya mendengarnya. Bukan sekali dua saya jumpa mak ayah begini.
Tanpa sedar mak ayah dah terkutuk anak sendiri depan muka anak.
Tanpa sedar kita dah buka aib anak pada orang luar. Anak kita yang mendengar, sedihlah hati dia. Kalau diulang-ulang, rasa sedih tu membukit.
Lama-lama berubah menjadi marah dan dendam. Jadilah dia seorang anak yang berdendam dengan mak ayah sendiri.
Pernah seorang pakcik saya bertanya, siapa yang paling banyak beri kata galakan semasa saya kecil.
Saya jawab mak saya. Setiap hari, tak putus-putus dia sebut kata-kata yang baik pada saya.
Abang anak yang soleh.
Abang solat awal waktu.
Abang belajar rajin-rajin.
Abang jaga adik-adik.
Abang budak pandai.
Dari pagi sampai ke malam, itulah yang sentiasa disebut. Sampai sebati dalam diri ni.
Tak pernah mak sebut perkara yang buruk. Dan setiap kata-kata tu saya ingat sampai ke hari ni. Sungguh.
Suara mak tu masih terngiang-ngiang setiap masa. Agaknya antara beribu doa mak, mungkin ada yang diangkat terus ke langit. Syukur.
Sampai ke hari ni setiap kali telefon mak, dia tetap berdoa untuk saya.
Sambil mak ayah cakap yang baik pasal anak, cuba pegang tangan dia atau peluk bahu dia. Mesti sejuk dan damai hati anak.
Rasa dihargai dan disayangi tu akan datang mencurah-curah. Memori ni lah yang anak akan teringat-ingat sampai ke alam dewasa.
Hari ni kita cakap yang baik-baik pasal anak, esok lusa mereka akan cakap yang baik-baik pasal kita.
Sumber: Redza Zainol