
Isi Kandungan
ToggleMusim raya ni, selain biskut dan kek, pencuci mulut sejuk-sejuk pun mesti ada kan? Lagi-lagi kalau ada budak-budak kat rumah confirm mereka suka yang manis, lembut dan sejuk!
Jom cuba resepi Puding Kastard simple guna sukatan cawan ni. Sesuai sangat nak hidang masa open house atau waktu santai lepas ziarah-menziarahi.
Nak buat pun senang sangat, bahan pun tak banyak. Yang penting, kuah kastard dia memang padu!
Resepi Puding Kastard (Sukatan Cawan)
Bahan-bahan untuk Puding:
2 ½ cawan air
4 camca besar tepung kastard
5 camca besar gula
1 tin susu cair (apa-apa brand pun boleh)
Secubit garam (bagi rasa lemak sikit)
Cara-caranya:
Satukan semua bahan dalam periuk. Kacau sampai sebati dulu sebelum buka api.
Guna api sederhana dan kacau tanpa henti sampai pekat dan mendidih. Wajib bagi dia “meletup-letup” sikit baru tutup api.
Tuang dalam bekas pilihan, biar sejuk suam-suam dalam 20 minit baru masuk peti ais ya.
Kuah Kastard:
Bahan-bahan:
2 cawan air
1 tin susu cair
2 camca besar tepung kastard
4 camca besar gula
Secubit garam
Cara-caranya:
Kacau semua bahan hingga sebati dulu, baru buka api.
Masak atas api sampai keluar wap dan mendidih. Ni penting supaya kuah tak cepat basi.
Sejukkan di luar dulu, baru simpan dalam peti sejuk.
Cara Hidang: Bila puding dah sejuk dan keras, boleh hiaskan dengan buah segar – macam anggur, kiwi, strawberi atau buah tin. Masa nak makan baru tuang kuah kastard atasnya. Makan sejuk-sejuk… memang heaven!
Tips: Sentiasa simpan puding dan kuah kastard dalam peti sejuk ya.
Lufya Hantar Anak Perempuan Belajar Taekwondo Sebab Selalu Kena Buli

Lufya hantar anak perempuan belajar taekwondo sebab selalu kena buli. Berasa marah apabila anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah, pelakon dan penyanyi Lufya mengambil keputusan untuk mendaftarkan anaknya ke kelas taekwondo.
Lufya Hantar Anak Perempuan Belajar Taekwondo Sebab Selalu Kena Buli
Menerusi satu hantaran di Instagram, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 40, mendedahkan bahawa anaknya, Laana Haura, 8, sering mengadu dipukul oleh rakan sekolah.
“Saya mahu meluahkan apa yang terbuku di hati. Sebelum ini, saya sudah ke sekolah dan berjumpa dengan ibu bapa seorang pelajar lelaki yang telah menendang serta menumbuk Haura.
“Namun, setiap kali pulang dari sekolah, dia tetap mengadu perkara yang sama. Pelajar yang sama masih mengganggunya.
“Saya juga telah bertemu dengan ibu pelajar berkenaan, dan dia telah meminta maaf walaupun cara penerimaannya kurang meyakinkan. Tapi saya terima juga. Malangnya, kejadian tersebut terus berulang.
“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk mendaftarkan Haura ke kelas taekwondo. Kalau selepas ini anak saya yang lembut dan manja ini bertindak balas, tanggunglah akibatnya,” tulisnya.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu juga berharap tiada ibu bapa yang akan membuat aduan sekiranya Haura terpaksa mempertahankan diri daripada dibuli selepas ini.
Sumber: Instagram Lufya
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Anak Tertinggal Duit Belanja, Jangan Terus Mesej Cikgu, Ajar Anak Lebih Bertanggungjawab

Kadang-kadang, bila anak tertinggal duit belanja atau bekal, ibu bapa cenderung panik dan terus cari jalan mudah mesej cikgu suruh pinjamkan duit atau belikan makanan.
Niatnya mungkin untuk memastikan anak tidak lapar, tapi tanpa sedar, kita sedang membentuk satu tabiat yang kurang baik. Anak jadi terlalu bergantung dan tak belajar dari kesilapan sendiri.
Perkongsian dari FB Dr. Kamilin Jamilin ini mengajak kita sebagai ibu bapa untuk berfikir semula tentang cara kita mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab dan berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.

Ini pandangan saya sebagai salah seorang ayah. Saya pun ada anak-anak yang tahun ni baru masuk darjah 1, abang dia darjah 4 dan yang sulung sudah tingkatan 3.
Kalau anak-anak tertinggal duit ke, bekal ke, jangan susahkan cikgu, atau mesej cikgu untuk pinjamkan dulu duit atau minta cikgu belikan makanan ke itu ini, melainkan memang kes-kes kecemasan macam anak ada gastrik ke dan seumpama.
Yang pertama, kita kena hormat cikgu sebagai guru yang mendidik anak-anak kita. Hormat kerjaya mereka dan hormat masa mereka. Mereka bukan pekerja kita atau khadam kita.
Mereka pun ada banyak tugas; mendidik, mengajar, tugasan pejabat dan macam-macam lagi. Bayangkan kalau ada 10 ibu bapa yang mesej cikgu suruh cikgu buat itu ini untuk anak-anak mereka.
Kedua, ajar anak-anak kita untuk perbaiki kesilapan dan uruskan diri sendiri.
Kalau mereka tertinggal duit atau bekal, ajar mereka akibatnya mereka akan berlapar, esok jangan tinggal lagi.
Kalau tertinggal buku atau tak buat kerja rumah, kena tanggung sendiri kalau cikgu denda, lain kali jangan buat lagi.
Kalau hilangkan barang kawan, bagi mereka tugas sapu sampah ke kemas rumah ke misalnya dan upah untuk gantikan balik, belajar untuk bertanggungjawab. Jangan ‘simply’ bagi duit yang buat mereka ambil mudah dan lepas tangan.
Kalau bergaduh kena rotan, biar mereka rasa sakit sebagai pengajaran.
Jangan sentiasa bersikap memenangkan anak kita. “Aku kenal anak aku!”, “Anak aku baik la kat rumah, aku tau siapa dia!”. Itu bukan sikap yang bagus. Itu narsisistik dan akan membentuk anak kita menjadi sedemikian rupa juga.
Jangan terlalu manjakan anak-anak dengan kesempurnaan. Ajar anak-anak untuk berdikari. Masalah hanya menjadi masalah kalau kita tak pandai selesaikan masalah. Suatu hari nanti kita semua akan buat silap, akan tersadung jatuh.
Itu lumrah kehidupan. Belajar untuk bangkit 1001 kali dan selesaikan masalah sendiri. Ibu bapa bukan penyelesai masalah, tapi sekadar pembimbing dan penunjuk jalan untuk terus melangkah.
.
Anak-anak yang berjaya di masa depan adalah anak-anak yang mampu untuk membina diri mereka sendiri hasil kekuatan yang terbina daripada pengalaman jatuh bangun dan salah silap.
Ketika mereka kecil, kita sangka kita mampu untuk memilih atau buat segalanya untuk mereka, tapi apabila mereka semakin meningkat remaja dan dewasa, akhirnya mereka akan ada pilihan mereka sendiri dan pikul tanggungjawab sendiri.
Ketika itu, kita nak mereka tahu untuk buat pilihan yang sewajarnya dan bersedia menghadapi implikasi tindakan mereka…Sebab kita takkan selamanya berada di sisi mereka.
Sumber: FB Dr. Kamilin Jamilin
Perfume Paradise Mengharumi Kongsi Kasih Jejak Jalanan Musim Baharu, Lebih Menginspirasi!

Kongsi Kasih, rancangan yang menyentuh hati rakyat Malaysia, kini kembali dengan musim baharu bertajuk “Kongsi Kasih Jejak Jalanan”. Dengan kerjasama Perfume Paradise, musim ini membawa makna yang lebih mendalam dalam berkongsi cerita-cerita inspirasi dan keprihatinan, khususnya sempena bulan Ramadan.
Pelancaran rasmi musim baharu ini disambut dengan penuh meriah melalui aktiviti istimewa, Kongsi Kasih Jejak Jalanan, bertempat di Astro Bukit Jalil dan Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan. Acara ini menyaksikan kehadiran rakan media, selebriti, dan pasukan pengurusan daripada Nu Ideaktiv serta Perfume Paradise, bersatu untuk melancarkan musim baharu yang penuh keindahan kasih sayang.
Bermula Di Astro Bukit Jalil Ke Anjung Kembara
Acara bermula dengan majlis perasmian di Astro Bukit Jalil, di mana para VIP termasuk pengurusan tertinggi Perfume Paradise dan Nu Ideaktiv secara simbolik menyembur pewangi Perfume Paradise ke arah kereta rasmi – melambangkan misi menyebarkan “kasih” dan memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan.
Konvoi Kongsi Kasih Jejak Jalanan kemudiannya bergerak ke Anjung Kembara, di mana aktiviti utama melibatkan pengagihan pek makanan tengah hari dan kit kebersihan kepada komuniti gelandangan.

Para selebriti dan rakan media turut serta dalam sesi makan bersama komuniti, mendengar kisah-kisah mereka yang penuh perjuangan dan harapan – selari dengan tema rancangan ini untuk menyebarkan kasih dan kebaikan.
Bersiaran Bermula 14 Februari Bersama Hos Hazeman Huzir
Musim terbaharu Kongsi Kasih Jejak Jalanan akan bersiaran di Astro Prima, bermula 14 Februari 2025 jam 7 malam dengan jumlah 7 episod berdurasi 30 minit setiap satu dan 1 episod berdurasi 60 minit bagi menutup musim dengan pengisian istimewa sempena bulan Syawal dan perayaan Aidilfitri.

Diterajui oleh hos popular Hazeman Huzir dan disertai oleh Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan, rancangan ini membawa cerita-cerita inspirasi daripada komuniti yang pelbagai di seluruh Malaysia. Fokus musim ini termasuk membantu gelandangan, ibu tunggal, warga emas, serta keluarga yang terjejas akibat bencana. Setiap episod menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai nilai empati, kebaikan, dan berkongsi kasih, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv berkata, “Sebagai penerbit kandungan dan juara suara komuniti, kami di Nu Ideaktiv berasa bertanggungjawab untuk membawa kisah-kisah mereka yang memerlukan ke ruang yang boleh dilihat dan didengari oleh rakyat Malaysia. Kisah-kisah ini datang daripada pelbagai komuniti yang kami dengar setiap hari melalui interaksi dengan masyarakat. Harapan kami adalah agar cerita-cerita ini membuka mata dan hati rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan”.

“Kehadiran Perfume Paradise sebagai rakan kongsi dalam Kongsi Kasih Jejak Jalanan memberi kami lebih kegembiraan kerana ia melambangkan bagaimana sebuah jenama boleh turut serta mengangkat kisah-kisah ini dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan Perfume Paradise, kami melihat harapan baharu untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti ini.”
Menurut Nur Afiqah Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, “Bagi Perfume Paradise, adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada program Kongsi Kasih Jejak Jalanan. Melalui program ini, kami berpeluang menyebarkan mesej kasih dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai sebuah jenama yang berinspirasikan wangian, kami percaya seperti mana pewangi memberikan kesegaran dan keyakinan kepada kehidupan, kasih sayang juga boleh memberikan harapan baharu kepada mereka yang terpinggir.

Program ini selaras dengan misi kami untuk tidak hanya menjadi sebuah jenama, tetapi juga sebagai pencetus perubahan yang membawa kegembiraan kepada masyarakat. Kami berharap melalui program ini, lebih banyak pihak akan terinspirasi untuk menyebarkan kasih dan kebaikan kepada yang memerlukan.”
Spray Sekali, Wangi 3 Hari!
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh bapa kepada Nur Afiqah Binti Amran, Perfume Paradise bermula sebagai perniagaan keluarga dengan matlamat menghasilkan wangian berkualiti mewah pada harga mampu milik. Selepas beberapa tahun, jenama ini mencapai satu titik perubahan penting apabila Nur Afiqah Binti Amran mengambil alih pengurusan.
Di bawah kepimpinannya, Perfume Paradise berkembang pesat dan berjaya membina reputasi sebagai jenama yang dipercayai di Malaysia. Kini, Perfume Paradise telah menjadi pilihan utama pengguna dengan dua rangkaian produk utama berharga RM10 dan RM40. Dikenali dengan lebih 70 wangian unik yang tahan lama, Perfume Paradise turut dikenali dengan slogan “Spray Sekali, Wangi 3 Hari,” yang terhasil daripada maklum balas pelanggan setia.

Jenama ini memberi tumpuan kepada 80% pengguna wanita dan turut menawarkan pilihan wangian untuk lelaki. Perfume Paradise juga aktif dalam kolaborasi bersama influencer, kempen pengiklanan holistik, dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti Kongsi Kasih, sejajar dengan misi untuk menyebarkan kebahagiaan dan kebaikan melalui wangian.
Bagi Raqim Ahmad, Ketua Kandungan Saluran Astro, program Kongsi kasih adalah usaha Astro untuk menyebarkan kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. “Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik sambil menyemarakkan semangat kemasyarakatan.
“Kami amat berharap program ini mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat dan mampu memberi manfaat yang sedikit sebanyak menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus menyebarkan kebaikan.”
Saksikan tayangan perdana Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima, setiap Jumaat jam 7 malam bermula 14 Februari ini, dan hayati kisah-kisah penuh inspirasi yang menyentuh hati. Mari bersama kami menyebarkan kasih dan kebaikan kepada komuniti yang memerlukan.