Puasa Selama 15 jam Dalam Cuaca 40 Celcius, Pelajar Ini Kongsi Pengalaman 5 Tahun Beraya Di Perantauan

Share

Betullah kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri. Namun tidak semua kehidupan di negara orang itu meninggalkan kisah pahit. Di mana pun kita berada, setiap darinya ada keistimewaan tersendiri. Malah jika kita menghargainya pasti kita akan merasai kenikmatan itu. 

Bagi perantau-perantau terutamanya pelajar yang sedag menuntut ilmu di luar negara, pastinya setiap kali kedatangan Ramadan dan Syawal akan menggamit rasa sayu dalam hati mereka. 

Ini kerana kehadiran bulan yang penuh dengan kemuliaan ini pasti akan menggamit seribu satu memori lebih-lebih lagi bersama keluarga tercinta. Namun kenangan beraya diperantauan juga ada memori indah yang pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 

Walaupun kemeriahannya tidak seperti beraya di negara sendiri tapi tetap menusuk di sanubari. 

Seorang pelajar bernama Nur Athirah Faqihah Mohammad Shariff yang merupakan penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam jurusan Syariah Islamiyah meluahkan antara cabaran terbesar berpuasa di perantauan ialah berpuasa selama 15 hingga 16 jam adalah cuaca yang tidak menentu.

Ketika tahun pertama menjadi pelajar Mesir, agak susah untuk menyesuaikan diri kerana cuaca di sana yang begitu panas sehingga mencecah 40 celcius berbanding di Malaysia. Ini membuatkan dia pernah terfikir untuk berbuka puasa lebih awal namun hanyalah sekadar keinginan sahaja.

Berkongsi pengalaman mengenai  persiapan sahur pula, Nur Aisyatul Mardhiah Noor Idzwan yang merupakan pelajar jurusan bahasa Arab di universiti yang sama mengatakan mereka mula menyediakan makanan sahur selepas menunaikan solat tarawih yang selesai selepas jam 11.00 malam.

“Jadi, bermula jam 12.00 malam atau 1.00 pagi makanan sahur mula dimasak bersama rakan serumah dan bersahur sebelum azan Subuh iaitu pada jam 3.00 pagi.”

Menariknya, ketika berbuka puasa ada satu aktiviti di sini yang dinamakan maidaturrahman iaitu menyediakan makanan secara percuma. Bukan hanya ambil makanan secara percuma, mereka juga menyediakan kerusi dan meja untuk sesiapa sahaja duduk di tempat tersebut untuk berbuka puasa beramai-ramai.

Walaupun pelbagai pilihan makanan disediakan seperti ayam dan daging namun Mardhiah tetap merindui ikan patin tempoyak dan durian yang merupakan kegemarannya kerana tidak dijual di Mesir.

Mengenai persiapan raya , mereka perlu dilakukan dengan lebih awal kerana sekiranya lambat barang masakan akan habis.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika tahun pertama di Mesir, mereka terpaksa membuat rendang telur kerana ayam, daging dan ikan telah kehabisan.

Bergelar anak perantau bukanlah satu perkara mudah, pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Antara ujian paling berat adalah ketika Covid-19 melanda dunia kerana suasana perayaan tidak semeriah sebelum ini dan mereka terpaksa duduk di rumah sahaja.

Bagi mengubati kerinduan kepada masakan ibu, mereka akan memasak juadah seperti ketupat dan rendang pada malam raya supaya dapat merasai suasana seperti makan bersama keluarga ketika raya pertama.

Malah, dia juga tidak melepaskan peluang membuat panggilan video untuk merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Sanak saudara yang berkumpul turut bertanya khabar tentang dirinya yang sudah lima tahun tidak pulang ke pangkuan keluarga.

Nur Aisyatul Qani’ah Noor Idzwan memberitahu, ketika Hari Raya pertama pelajar Malaysia di Mesir akan berkumpul untuk menikmati juadah istimewa seperti rendang ayam, laksa, bihun sup dan lemang.

Hari Raya kedua pula mereka akan menziarahi rakan Nusantara dan begitu jugalah Hari Raya seterusnya di rumah rakan Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei untuk mengeratkan silaturrahim.

Sumber : Sirap Limau

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club