Malaysia kini mempunyai kereta elektrik pertama! Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kereta elektrik pertama Proton e.Mas 7 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Memetik laporan Bernama, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara iaitu Proton e.MAS 7 yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800 dengan tawaran rebat sebanyak RM4,000 bagi 3,000 pembeli pertama.
Model berkenaan dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam ucapannya mengumumkan bahawa ia akan menjadi kenderaan rasmi ASEAN 2025 sebagai sokongan kepada kenderaan sifar emisi dan teknologi kenderaan mesra alam di Malaysia.
3000 pembeli pertama dapat harga istimewa
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C itu ditawarkan menerusi dua varian iaitu e.MAS 7 Premium pada harga RM123,800 dan e.MAS 7 Prime (RM109,800).
Ads
Bagaimanapun, bagi 3,000 pembeli pertama, e.MAS 7 Premium ditawarkan pada harga RM119,800 manakala e.MAS 7 Prime (RM105,800).
Untuk makluman, e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik bersepadu “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.
Ads
Menerusi bateri Aegis ‘short blade’ ia mempunyai kemampatan tenaga lebih tinggi, selamat dan tahan lebih lama.
Varian Prime dilengkapi versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km dan Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km (WLTP).
Ads
Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30 peratus hingga 80 peratus.
Sumber: Bernama
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Wanita 36 Tahun Meninggal Dunia
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Doktor Pakar Tinggalkan Pesakit Lepas Bersalin
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Siapa sangka, masuk je usia 30-an, badan dah mula ‘beri signal’ macam orang berumur 50-an. Itulah yang dialami oleh Faiz, seorang lelaki yang tak pernah terfikir akan berdepan dengan masalah kesihatan di usia muda.
Dari slip-disc akibat gaya hidup dan kerja, hinggalah ke ulser perut berpunca daripada tabiat pemakanan, semuanya datang tanpa amaran.
Dalam perkongsiannya, Faiz Zainal menceritakan pengalaman perit menghadapi sakit yang tidak dijangka dan bagaimana dia mula sedar betapa pentingnya menjaga kesihatan sebelum terlambat.
USIA 30 AN DAH HIDAP SLIP- DISC DAN ULSER PERUT
Setahun ni banyak diuji dengan macam-macam sakit. Masuk je 30-an, ada je sakit yang tak terjangka.
Paling pedih sekali kena slip-disc & ulser perut sampai najis keluar banyak darah tiap kali membuang.
Punca slip-disc, sebab aku banyak travel long flight, posture duduk masa kerja & banyak angkat barang berat.
Punca ulser pula, sebab pemakanan. Kurang serat sampai najis keras, suka skip makan & suka makan pedas. Asal makan pedas, mesti perut triggered.
Sarankan, buat la medical check-up setahun sekali untuk kenali badan kita. Paling kena tahu, tahap kolestrol, buah pinggang & tahap gula dalam darah kita macam mana.
Rasa something wrong dengan badan, pergi je buat check-up. Jangan tunggu makin teruk. Ingat, organ tubuh badan kita makin tua & ada limit.
Ubah gaya hidup lebih sihat, dari segi rutin harian mahupun pemakanan. Selain masa, kesihatan adalah perkara yang tak ternilai. Ada harta & duit banyak, tapi kalau sakit tak guna.
Pilu hati apabila disahkan mengidap dua kanser. Berdamai dengan takdi menjadikan wanita ini terus cekal untuk meneruskan kehidupan walaupun pahit untuk ditelan.
Dua jenis kanser yang mengubah hidupnya 360 darjah. Bayangkan betapa beratnya ujian yang dilalui oleh Rosliza, 54, apabila di saat dirinya masih berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dikesan pada 2020, dia disahkan pula menghidap barah tulang pada awal tahun ini. Dalam keadaan tubuh yang sudah lemah, dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi berita yang meruntun jiwa.
Memetik laporan Berita Harian,didiagnos menghidap kanser payudara pada 2020 dan sudah sembilan kali menjalani rawatan kemoterapi dan 15 kali radioterapi bagi mematikan sel barah itu. Selepas 4 tahun, tahun ini doktor sahkan pula dia menghidap kanser tulang.
“Saya berdamai dengan takdir meskipun disahkan menghidap dua jenis penyakit kanser. Ini semua kuasa Allah SWT,” kata ibu tunggal, Rosliza Muhamad Amin.
“Namun, penderitaan itu tidak terhenti di situ apabila pada awal tahun ini, doktor mengesahkan saya menghidap kanser tulang pula. Ketika itu, saya terasa dunia gelap sekejap sehingga longlai seluruh badan.”
Berikutan itu, Rosliza berkata, beliau sekali lagi perlu menjalani sesi rawatan kemoterapi tetapi secara oral di rumah saja dengan mengambil pil bagi mematikan sel kanser berkenaan.
“Pada Mei lalu, saya mengalami sakit amat teruk pada tulang kaki kiri apabila berdiri atau berjalan atau duduk terlalu lama,” katanya yang telah menjalani pembedahan membuang payudara kiri, dua tahun lalu.
TERIMA BANTUAN
Selepas berpisah dengan bekas suami empat tahun lalu, dia berusaha menguruskan diri sendiri kerana tidak mahu menyusahkan dua anak yang turut berdepan kekangan kehidupan di luar Kelantan.
Rosliza yang tidak bekerja dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, bagaimanapun bersyukur kerana segala kos rawatan penyakit kanser ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Selain itu, beliau turut menerima faedah elaun keuzuran sebanyak RM300 sebulan melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Rosliza merupakan pencarum SKSSR melalui tajaan kerajaan.
“Alhamdulillah dengan inisiatif bantuan yang diterima, saya dapat meneruskan hidup walaupun tanpa suami dan menghidap dua jenis penyakit kanser… RM300 sebulan sangat besar maknanya buat saya.”
“Saya juga bersyukur kerana pada saat ujian datang bertimpa-timpa, masih ada individu di sekeliling yang prihatin dan sering bertanya khabar serta berdoa supaya penyakit saya sembuh.”
Terdahulu Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, menyampaikan sumbangan makanan, keperluan asas serta kerusi roda kepada Rosliza di kediamannya di Kampung Manek Urai Baru, di sini, dengan turut dihadiri Pengurus Pejabat PERKESO Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri. Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban Rosliza, boleh menghubungi beliau melalui talian 019-3416536.
Bila kita dipukul, apa tindakan yang perlu kita buat. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.