Setiap kali datangnya bulan Ramadan, juadah bubur lambuk begitu sinonim dengan kita sekeluarga hingga ada yang merasakan tidak lengkap jika tidak berpeluang menikmati bubur lambuk. Paling tidak, dapat makan sekali pun sudah memadai!
Bercerita tentang bubur lambuk ini, ternyata banyak variasi mengikut negeri-negeri. Setiap satu punya rasa yang istimewa dan enak di mana ada yang manis, berempah dan sebagainya. Meskipun begitu, ada satu persamaan nyata di mana proses penyediaan bubur lambuk ini pasti dilakukan secara bergotong royong dan kemudian diagihkan secara percuma.
Begitu juga dengan Majalah RASA di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd, telah 5 tahun menganjurkan program RASA Bubur Lambuk Warisan 2023 secara bergotong royong di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam baru-baru ini.
Menariknya program ini, Majalah RASA bersama para penaja seperti BABA’S, Petron Gasul dan Saji bekerjasama menghimpunkan resipi-resipi bubur lambuk kegemaran Malaysia dari Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Bahru, Selangor, Pulau Pinang, Bukit Piatu, Kulai, Sarawak, Kuala Perlis dan Kubang Pasu di bawah satu lokasi yang sama, yang ditaja oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Turut menghadiri program tersebut Yang Berhormat Tuan Haji Azli Bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam menandakan perasmian beliau terhadap inisiatif ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim, “Malaysia sentiasa dikagumi kerana kepelbagaian budaya, kepelbagaian makanan dan kemurahan hati rakyatnya. Oleh itu, kami ingin meraikan para pengunjung dengan menyediakan hidangan wajib yang digemari ramai pada bulan Ramadan ini. Selain itu, saya melihat program ini sebagai satu platform untuk menghimpunkan pelbagai generasi atau unit kekeluargaan bersama-sama menghayati warisan peninggalan nenek moyang kita”.
Tambahnya lagi, “Selain dari mengimbau nostalgia warisan, program ini juga bertujuan untuk berkongsi rezeki kepada para wira barisan hadapan seperti anggota polis, bomba, hospital dan juga kepada masyarakat yang memerlukan.”
Ads
Manakala daripada pihak BABA’S pula meluahkan rasa syukur dengan penglibatan menjayakan program murni ini dalam mengimarahkan bulan Ramadan yang barakah ini.
“Selain mengeratkan ukhwah dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, pihak kami ingin juga berkongsi keberkatan Ramadan bersama golongan yang memerlukan dengan telah menjemput 70 orang anak yatim dengan usaha bersama Nu Ideaktiv.
“Pihak kami telah mendermakan duit raya, beg hadiah bersama barangan produk BABA’S ke rumah anak yatim tersebut dengan harapan ia dapat memberi keceriaan untuk menyambut sambutan Hari Raya yang akan datang nanti.
“Uniknya tentang program agihan bubur lambuk tahun ini, ia menampilkan 10 resipi bubur lambuk nostalgia dari seluruh negara, dan setiap resipi ada menggunakan produk BABA’S di mana sebanyak 50 kg rempah ratus BABA’S telah disumbangkan dan digunakan.
“Kesemua produk BABA’S diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi dari seluruh dunia dan bebas aditif, pengawet dan penambah rasa. Kami berharap program ini dapat diteruskan lagi dengan skala yang lebih besar lagi dan kami akan terus menyokong dan berkerjasama dengan Nu Ideaktiv untuk meneruskan tradisi agihan bubur lambuk ini di masa depan”, ujar Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA’S.
Ads
Pada hari yang sama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan busker, qasidah, tazkirah dan macam-macam lagi.
“Petron Malaysia amat berbesar hati menjadi penaja gas memasak rasmi untuk majlis RASA Bubur Lambuk Warisan. Saya sangat teruja melihat Chef Adu dan Chef Fendi bersama-sama sukarelawan menyediakan Bubur Lambuk menggunakan Petron Gasul kami. Perkataan Gasul berasal daripada perkataan “gas” dan “azul” yang membawa maksud biru dalam bahasa Filipina dan Sepanyol iaitu merujuk kepada Petron Gasul yang bersih dengan nyalaan api biru. Di Petron, kualiti produk, keselamatan serta kemudahan pelanggan merupakan keutamaan dan kami amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada majlis ini bagi meraikan serta menonjolkan ciri-ciri unik budaya Malaysia,” kata Mohd Asri Ibrahim, Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia.
Petron merupakan yang pertama menawarkan gas memasak LPG di stesen. Bermula hanya dengan 5 stesen pada 2018, Gasul yang berkonsepkan ‘tunai dan bawa’ kini boleh didapati di kira-kira 150 stesen Petron di seluruh negara.
“FGV Holdings Berhad komited dalam mencari peluang untuk memberi khidmat sokongan terbaik kepada masyarakat dengan berkolaborasi bersama pihak kerajaan mahupun swasta. Menerusi jenama ulung, SAJI, kami sentiasa aktif menjalankan projek dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan”, kata En Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif DOPSB.
“Kami akan menyalurkan bantuan menerusi kempen “SAJI Sentiasa Di sisi”, di mana setiap jualan 1 karton Minyak Masak SAJI 5kg, RM SATU (1) ringgit akan diinfakkan ke tabung inisiatif SAJI Seikhlas Hati, dengan sasaran sumbangan bernilai RM 300,000 kepada rumah-rumah kebajikan masyarakat yang terpilih,” tambah beliau.
Ads
Selain itu, majalah tersebut turut menganjurkan sebuah rancangan masakan sebanyak 22 episod iaitu Rasa Nostalgia Kampung Style yang dibawakan oleh BABA’S – menampilkan chef-chef terkenal seperti Chef Adu Amran dan Chef Wan bersama beberapa artis tanah air seperti Ezzaty Abdullah Zizi Kirana, Namie Ubi, Sazzy Falak dan ramai lagi. Ketahui pelbagai resipi tradisional yang menarik, tonton rancangan ini setiap hari Rabu hingga Ahad, jam 7:00 malam di Astro Ria.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pejam celik hari ini genap seminggu umat Islam di Malaysia melaksanakan ibadah puasa bersempena bulan Ramadan.
Antara topik hangat yang saban tahun selalu diperkatakan adalah mengenai makanan di bazar Ramadan atau di manakah bazar Ramadan yang ‘best’?
Ini kerana ada sesetengah pengunjung yang suka pergi ke bazar-bazar yang meriah dengan jualan juadah berbuka puasa. Ianya hanya dapat dinikmati hanya sebulan pada setiap tahun.
Satu video yang dimuat naik di Twitter @hafizaquafiz telah mencuri perhatian netizen, di mana video itu menunjukkan pemandangan tapak Bazar Ramadan Taman Ria, Sungai Petani yang dirakam menggunakan drone.
Daripada video dirakam itu kelihatan sejumlah khemah yang tersusun panjang di belakang kawasan perumahan tersebut.
Panjangnya boleh dikatakan menghampiri 1 km dengan gerai-gerai dikiri dan kanan jalan.
Netizen memberikan pelbagai reaksi selepas menonton video pendek berdurasi lapan saat itu. Ada yang menyukainya kerana mempunyai pelbagai pilihan juadah yang boleh dipilih untuk dijadikan juadah berbuka.
Ramai juga yang teruja melihat suasana bazar ramadan sepanjang itu kerana langsung tidak menyangka ada lokasi yang boleh memuatkan khemah-khemah sepanjang jalan raya berkenaan.
Sebuah kehilangan pastinya sangat memeritkan. Apatah lagi jika kita terpaksa menghadapinya sewaktu masih belum bersedia.
Apatah lagi jika kehilangan itu dirasai oleh kanak-kanak yang masih belum mengerti apa-apa. Yang masih perlukan belaian manja. Itulah yang terjadi kepada seorang kanak-kanak bernama Mohamad Adiffiras berusia 11 tahun ini.
Dia yang kehilangan ayahnya pada tahun lepas berusaha untuk membina kepuk kubur untuk arwah ayahnya sebagaimana kubur-kubur yang lain.
Namun keadaan keluarganya yang serba kekurangan menyebabkan dia terpaksa membina kepuk kubur itu sendiri kerana tidak mahu kubur arwah ayahnya itu hilang dibawa arus banjir atau hujan lebat.
Menurut ibunya Siti Nurul Aini yang mempunyai 3 orang anak ini, namun anak sulungnya meninggal selepas 3 hari dilahirkan pada tahun 2010. Jenazahnya di kebumikan di kampung ibunya di Johor, manakala dia sekeluarga menetap di Felda Kechau 1, Kuala Lipis, Pahang.
Kubur arwah anaknya itu tiada kepuk dan nisan kerana banyak kali hilang selepas dihanyutkan air. Oleh kerana kekurangan wang dan tinggal jauh, mereka tidak membuatkan kepuk baru.
“Jadi selepas suami meninggal, Firas berkeras nak buat kepuk untuk kubur bapanya.”
“Dia tak mahu kubur arwah bapanya hilang macam kubur arwah kakak. Firas minta dengan bapa saudaranya untuk beli kepuk dan batu nisan, tapi pakcik dia mampu beli nisan je. Kepuk tak mampu.”
“Hari tu, tanah kubur arwah suami saya mendap sebab hujan lebat. Firas menangis, dia takut kubur tu hilang. Sebab itulah dia bersungguh nak buat kepuk sendiri.”
Pada awal bulan yang lalu, Firas telah memunggah batu-bata dari rumah mereka dan mengangkutnya menggunakan basikal untuk membina sendiri kepuk di kubur bapanya yang meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus.
Apa yang menyedihkan adalah, waktu itu Firas menggunakan tanah merah di sekitar kubur untuk menggantikan simen dalam pembinaan kepuk berkenaan.
“Dia minta izin dengan saya nak buat kepuk. Dia bawa batu-bata dari rumah dengan menggunakan basikal. Bila hujan turun, batu-bata tu tergolek. Dia menangis kutip batu tu balik. Dalam hujan lebat dia menagis.”
“Jadi saya pun beli simen dalam 3 kilogram (kg) secara atas talian untuk membina kepuk tersebut.”
“Bila dah siap, Firas peluk batu nisan ayahnya.”
“Dia kata, ini je dia mampu bagi untuk arwah. Saya ingat dia main-main je masa dia lukis kat rumah, rupanya dia buat betul-betul.”
Untuk makluman, Siti adalah seorang suri rumah. dia tidak bekerja danmengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak zakat untuk perbelanjaan dia dan anak-anak.
“Saya hanya suri rumah. Semua anak dilahirkan secara pembedahan sebab itu arwah tak bagi saya kerja. Anak bongsu pula mengalami semput, sering keluar masuk hospital.”
Kisah firas ini tular selepas seorang pemuda bernama Akhmar Salehudin berkongsi video Firas yang ketika itu berada di sisi pusara ayahnya.
Dalam video tersebut turut menemubual Firas yang telah membina kepuk kubur ayahnya itu.
Rata-rata komen yang diterima, kagum dengan kesungguhan Firas dan ramai yang mendoakannya.
Isu poligami sememangnya adalah isu yang sangat sensitif dan objektif kerana lain orang, lain pandangannya dan penerimaan mengenai isu ini.
Namun sejak kebelakang ini, isu ini menjadi lebih sensitif apabila terpalit dengan isu yang tular membabitkan rumah tangga pengarah dan pelakon terkenal. Di media sosial, ramai yang menjadikan isu ini sebagai content.
Tidak terkecuali isteri kepada penyanyi rap Caprice, Farra Inalis turut memberi pendapat peribadinya di akaun Instagram miliknya baru-baru ini. Farra yang tenang menyuarakan pendapatnya mengenai perkara ini telah mendapat pelbagai komen yang menyokong pendapatnya.
Salah satu pendapat yang berani disuarakan adalah apabila Farra memohon kepada kaum lelaki yang bergelar suami untuk tidak menggunakan agama sebagai alasan untuk berpoligami jika hak isteri masih belum sempurna ditunaikan.
“Please, please, please wahai lelaki diluar sana, tolonglah sedar diri sikit. Jangan kau bagi alasan sebab kau nak ikut jejak Nabi sedangkan nafkah isteri kau tak ikut sunnah.
“Kalau Nabi tu dia berlaku adil kepada isteri-isteri tak apa. Kalau kau betul-betul layak, kau mampu kau buatlah.
Tapi, kalau setakat nak bagitahu dekat bini pertama pun kau takut, kau tipu dia selama bertahun-tahun… agak-agaklah, bini mana yang tak gila, tak maki,” luahnya.
Tambahnya lagi, seseorang itu tidak perlu untuk menyalahkan takdir atas kesalahan diri kerana baginya berlaku curang itu adalah pilihan sendiri.
“Bagi aku, kau jangan salahkan takdir. Tak payah cakap ini takdir Allah kerana curang itu adalah pilihan. Engkau yang nak curang.
“Satu lagi, si penyondol kalau kau tak buka hati dekat si penyondol benda itu takkan jadi. So, masalah sekarang ini masalah lelaki dengan perempuan ini memang bermasalah. Memang dua-dua bodoh,” tutur Farra.
Tegasnya, dia bukanlah jenis seorang yang gemar untuk memberikan komen mengenai isu yang hangat berlaku tetapi berasa terpanggil apabila isu yang sama tular di semua laman sosial.
Ada betulnya pendapat Farra ini kerana memang ramai lelaki yang tidak mampu namun menjadikan pelbagai alasan berkaitan takdir dan agama sebagai alasan yang kuat untuk menyokong tindakan poligami mereka itu.
Siapa yang tak kenal dengan Khairul Aming atau KA pempengaruh terkenal yang sering berkongsi resipi menarik dan mudah diikuti. Setiap kali beliau memuat naik...