Sebuah program realiti pencarian ikon wanita moden, Ratu Hijabista buat julung kalinya diadakan bagi mencungkil serta membuka peluang kepada semua wanita berhijab tanpa mengira status untuk mencuba nasib dan sekaligus mempertaruhkan bakat, rupa dan personaliti menarik untuk dijadikan contoh pada kepada masyarakat.
Program dengan kerjasama antara saluran Astro Prima dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd ini menerima hampir 550 penyertaan secara online semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Seramai 12 finalis telah disenarai pendek menerusi sesi saringan yang ketat untuk diserap masuk bagi penyertaan penganjuran musim pertama ini. Puan Sri Normala Samsudin telah diumumkan sebagai juri tetap Ratu Hijabista 2020. Manakala pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim pula diberi kepercayaan sebagai hos program untuk mengendalikan pencarian kali ini.
Menurut pengurus saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pihak mereka menyambut baik penganjuran program ini bagi mengiktiraf potensi bakat luar biasa wanita di luar sana.
“Platform pencarian seumpama ini berupaya mewujudkan persekitaran positif sekaligus meningkatkan keyakinan setiap wanita,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media Ratu Hijabista semalam.
Juara Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara dan selempang. Program ini akan bersiaran selama lapan episod di saluran Astro Prima (saluran 105) pada setiap Rabu bermula 12 Ogos ini pada jam 9 malam.
Sementara itu, Puan Sri Normala ketika di minta mengulas mengakui, program ini mengingatkannya pada awal kemunculan ketika menyertai program pencariaan bakat pengacaraan Nona di TV3. Katanya lagi, program pencarian bakat sebegini masih relevan.
" Ratu Hijabista ini menuntut wanita tampil lasak dan serba boleh dalam banyak perkara. Sebagai juri tetap, pastinya cabaran pada saya adalah apabila memberi markah kepada peserta. Lebih-lebih lagi bila membabitkan proses penyingkiran. Pasti ini sukar untuk saya lakukan.
Ditanya juga mengenai dirinya yang hingga kini menjadi inspirasi pengacara baharu, Normala berkata, selama 16 tahun beliau berusaha menimba pengalaman untuk mengukuhkan nama.
"Tidak mudah juga untuk saya membina kerjaya dalam pengacaraan. Kena tahan cabaran dan sabar untuk sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Apapun, setiap pengacara itu ada kelebihan masing- masing,"