
Zakat fitrah merupakan kewajiban bagi setiap individu Muslim yang berkemampuan untuk membayarnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Ia bertujuan untuk menyucikan jiwa serta membantu golongan fakir miskin agar mereka dapat turut merayakan hari yang mulia ini.
Kefarduan zakat fitrah ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar yang bermaksud, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, iaitu segantang kurma atau segantang gandum (pada bulan Ramadan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.” (Riwayat al-Bukhari, hadis no 1443 dan Muslim, hadis no 984)
Hukum membayar zakat fitrah adalah wajib bagi setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Bagi tahun ini, Pusat Pungutan Zakat, PPZ MAIWP telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi pembayar zakat di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan iaitu RM7, RM15 dan RM 22 seorang.
Ketiga-tiga katgori ini boleh dibezakan menerusi jenis beras yang dimakan setiap hari. Ini panduan untuk semua.
Pilihan kemampun untuk semua:
RM7 – Kadar wajib berdasarkan beras tempatan (5% kandungan beras hancur)
RM15 – Galakan kadar bayaran zakat fitrah mengikut jenis beras di makan iaitu Beras Putih Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi.
RM22 – Galakan kadar bayaran zakat fitrah mengikut jenis beras di makan iaitu Beras Merah, Beras Jepun dan Beras Basmathi
Menerusi perkongsian dari laman web Pusat Pungutan Zakat, PPZ MAIWP, anda boleh mengira sendiri menerusi kalkulator zakat berapa jumlah zakat yang perlu dibayar tahun ini.
Hanya masukkan jenis beras yang dimakan serta jumlah tanggungan anda termasuk diri sendiri, isteri, anak dan tanggungan lain.
Bayaran zakat fitrah boleh ditunaikan secara atas talian melalui Portal Zakat Fitrah – https://fitrah.zakat.com.my/ atau di saluran-saluran bayaran zakat yang disediakan oleh PPZ-MAIWP serta amil-amil yang dilantik.
Kenapa perlu bayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan?
Kita digalakkan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan kerana ianya merupakan kebajikan bagi golongan yang berkemampuan dan lebihan daripada zakat fitrah tersebut akan disalurkan kepada golongan fakir dan miskin.
Zakat fitrah adalah kewajiban yang perlu ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Ia bukan sekadar satu bentuk bantuan kepada golongan miskin, tetapi juga satu cara untuk membersihkan jiwa serta menyempurnakan ibadah puasa. Oleh itu, setiap Muslim perlu menunaikan zakat fitrah mengikut kadar dan waktu yang telah ditetapkan agar ibadah ini diterima oleh Allah SWT.