
Cara yang dikongsikan ini nyata begitu mudah untuk dibuat bagi memastikan pokok yang ditanam banyak bercabang dan merimbun. Jadi tidaklah nampak melidi dan meninggi pokok tanaman kita.
Nak tahu caranya, jom baca perkongsian ini dan semoga bermanfaat.
Nak kongsi cara saya galakkan pokok cili banyak cabang dan merimbun.
Selalunya saya akan cubit pucuknya bila dah 6-8 daun, tapi kali ni terlupa pulak sampai pokoknya dah agak besar. Tapi masih boleh dipangkas.
Keadaan pokok sebelum dicubit. Menakala gambar di bawah adalah keadaan pokok seleps seminggu dipangkas pucuknya.
Terlihat pucuk-pucuk baru tumbuh banyaknya.
CARANYA
Caranya buang saja pucuk paling atas tu. Saya tak pakai peralatan professional, tolong abaikan jika tidak bersesuaian dengan kaedah tuan/puan.
Hasilnya selepas seminggu, anak² tunas baru muncul dengan banyak.
Puan Rosnah Ros juga mengiyakan cara yang dikongsikan oleh Nazura Jalil ini.
Katanya, “Betul. Saya pun buat buang pucuk atas sekali. Bukan pokok cabai saja. Pokok bunga Ati-ati. Pokok limau. Asalkan pokok yang kita rasa boleh dengan cara mcm ni. Saya buang ja pucuk.”
Begitu juga komen Al Az, “Sama saya pun buat macam ni da besar sikit buang daun yang besar bagi ruang pada pucuk baru”
Komen Lufieyunie Nawee, “Betoi..nanti jadi rimbun cantik”
Nyata ramai telah praktikkan cara pangkas pucuk tanaman untuk jadikan pokok lebih merimbun. Untuk itu boleh anda cuba pada tanaman anda pula.
Sumber : Nazura Jalil
Pengorbanan Isteri Terlalu Banyak, Tak Perlu Di Hitung, Tapi Tolong Hargai!

Bila mana melibatkan kes suami tidak ambil peduli kisah isteri, mengabaikan isteri dan memperlakukan sesuka hati kepada isteri, hal ini sebenarnya perlu difikirkan oleh lelaki bergelar suami.
Jangan mempersoalkan berapa banyak tugasan yang isteri harus lakukan sebaliknya cubalah memahami mereka setiap hari. Tulisan lelaki ini, Ahmad Affzan Abdullah banyak benarnya. Mohon suami buka mata!
Ada orang bagi gambar para suami berdiri menunggu isteri di luar kedai. Lihatlah pengorbanan suami katanya.
Ya, aku tahu itu melawak saja, tapi nak sebut tunggu isteri membeli-belah sebagai satu pengorbanan, malu rasanya.
Isteri di Malaysia ini, pengorbanannya tak boleh dihitung. Berkorban diri, emosi, impian, cita-cita, duit, hubungan kekeluargaan. Macam-macam, semata-mata untuk suami dan anak-anak.
Awal-awal perkahwinan, sudah berkorban ikut suami ke mana saja yang suami mahu. Tinggal di rumah mertua, tinggal di negeri orang. Satu pengalaman baru yang sukar namun digagahi juga.
Tentang mengandung dan bersalin, tak perlu ceritalah. Muntah, pening, sakit, itu semua kena hadap seorang diri. Kalau dapat suami yang baik, alhamdulillah, ada juga tolong ringankan kerja-kerja di rumah. Kalau tidak, dalam sarat mengandung itu jugalah kena masak, membasuh, sediakan kelengkapan suami serta jaga anak yang lain. Nak minta suami bawakan ke klinik untuk regular checkup pun belum tentu dapat. Terpaksalah bawa kereta sendiri dalam serba kepayahan.
Suami tak cukup duit nak tampung sara hidup, isteri gadai barang kemas. Tak cukup, isteri pergi cari kerja walaupun cita-cita asalnya mahu jadi surirumah. Anak pun terpaksa dihantar ke nurseri sebab tak ada orang nak jaga.
Suami bila nak berhibur atau nak release tension, boleh keluar main futsal, mengeteh dengan kawan-kawan sampai subuh. Isteri nak buat macam itu? Jangan harap. Kalau stress pun pendam sendiri. Nak berbual dengan suami pun, belum sempat cerita satu bab, suami dah berdengkur.
Kadang-kadang isteri berkorban hobi dan minat sebab nak dahulukan suami. Tengok keadaan ekonomi keluarga, tak apalah bagi suami layan hobi dia dulu. Nak sambung belajar, bagi suami habiskan sambung belajar dulu. Nak minta belikan baju baru pun segan, takut nanti suami tak cukup duit.
Awal pagi, isteri dah siap memasak untuk sarapan dan siapkan anak-anak untuk ke sekolah. Rutin mengemas rumah tak berhenti sampai ke malam. Dah malam nak layan suami pula. Anak terjaga pukul 3 pagi, isteri juga yang kena bangun untuk susukan.
Nak balik raya, isteri yang paling sibuk, tak kiralah balik ke kampung dia atau tidak. Pakaian suami, pakaian anak-anak, semuanya sedia tersusun. Baju raya pertama, baju raya kedua, dah diasingkan siap-siap dalam beg dan bergosok. Dapur dan seluruh rumah habis dikemaskan. Kadang-kadang tak tidur malam 2-3 hari sebelum bergerak balik sebab nak sudahkan kerja.
Pengorbanan isteri itu banyak. Setakat suami nak menunggu lama meneman isteri membeli-belah, aku rasa tak padan. Sakit dia beranak pun kau tak mampu nak balas.
“Alah, emo pula. Melawak sikit pun tak boleh.”
Yalah, melawaklah. Orang perempuan memang selalu jadi bahan lawak dan dilawakkan.
Buat lawak tentang orang perempuan tak pandai bawa kereta, tak pandai side parking, tak pandai isi minyak, bersolek berjam-jam, balik raya bawa satu almari baju, nak cari baju sampai pergi 50 kedai.
Yang paling selalu kena, melawak pasal nak kahwin lagi satu.
Sedarlah, selain isteri kau, ibu kau juga seorang wanita.
Apa perasaan kau kalau orang buat lawak pasal ibu kau tak pandai bawa kereta, tak pandai side parking, atau buat lawak pasal ayah kau nak kawin dua? Ada nampak mummy happy?
Dalam Quran kata, “Ar rijalu qawwamuuna ‘alannisaa'”
Orang lelaki itu pemimpin untuk orang wanita, bukannya bermaksud kau boleh perlakukan dia sesuka hati. Tapi pemimpin dalam erti kata penjaga, caretaker, protecter, pelindung.
Maka apa-apa kekurangan isteri, terima seadanya. Keaiban dan kelemahan dia, suami simpanlah, bukan dijadikan bahan lawak. Tampung mana yang kurang, bantu mana yang dia tak mampu.
Nak buat baik pada isteri bukan dengan belikan cincin, rantai, beg tangan, baju, bunga, coklat dan segala material semata-mata. Bahkan yang perlu suami buat setiap hari ialah jaga hati dan perasaan isteri.
Gembirakan isteri, jadi pendengar yang baik. Isteri ada masalah, suami sama-sama selesaikan. Isteri tengah stress, biar dia luahkan pada suami. Nanti dia meroyan dalam media sosial, kau juga yang bengang.
Apa yang isteri minat, asalkan patuh syariah, suami layankan. Paling tidak pun, jangan dihalang. Tunjuklah yang kau ambil berat. Ini bila dia cerita pasal minat dia, kau leka melayan telefon. Kecewa sungguh rasanya.
Dalam perkahwinan ini, suami isteri ada pengorbanan masing-masing. Apabila masing-masing sudah tunaikan tanggungjawab, hormatilah pasangan kita dan hargai jasa dia dalam memastikan rumahtangga kita harmoni dan kukuh.
Sematkan azam baru. Buat yang terbaik untuk pasangan kau. Segala apa usaha yang kau buat, yakinlah Tuhan nampak dan Tuhan akan balas. Insya-Allah takkan sia-sia. Tak perlulah kau mengadu letih di media sosial sebab lama berdiri teman isteri membeli-belah.
Kredit: Ahmad Affzan Abdullah
Jika Bimbang Anak Tidak Hormat Guru, Ibu Bapa Wajib Lakukan 13 Perkara Ini!

Setiap ibu bapa mengimpikan dan mengharapkan anak-anak mereka, mempunyai akhlak yang baik, mendengar kata, tidak melawan ibu bapa dan taat akan suruhan agama. Manakala tugas guru pula bukan untuk mengajar sahaja, tapi juga untuk mendidik supaya murid-murid menggunakan akal dengan bermoral.
Cara guru dan kita mungkin berbeza. Tapi pengalaman mereka mendidik memang kita tak mampu menandinginya. Paling hebat kita didik 6-7 orang anak kita sendiri. Mereka dah didik 6 -7 orang anak sendiri dan beratus malahan beribu anak-anak orang lain yang mereka didik seperti anak-anak mereka sendiri. Justeru, kena terima dengan hati terbuka apabila anak kita dihukum.
Mudah-mudahan kita dapat membantu membentuk anak-anak dalam masyarakat yang perihatin.
Tanamkan dalam hati kita bahawa;
1. Anak kita bukan baik sangat.
Walau kat rumah dia taat, dia mungkin nakal di belakang kita. Jadi dia mungkin lawan cakap cikgu, pukul kawan dia, dan buat pelbagai perkara yang kita tidak jangka.
2. Bukan anak kita sorang je kat dalam kelas tu.
Kita kat rumah paling banyak anak 6- 7 orang. Itu pun kita tak mampu nak beri perhatian pada semua. Anak cakap banyak sikit kita dah suruh diam. Bayangkan kita ada anak kembar seramai 40 orang. Macam itulah apa yang cikgu alami sewaktu mengajar anak-anak kita.
3. Anak kita juga pandai menipu.
Jangan percaya sangat dengan cerita-cerita anak kita. Dia mungkin menipu. Tidak kiralah seyakin mana kita dengan kesolehan dia, dia mungkin menipu. Siasat dan jangan cepat melatah. Nanti kita yang malu.
4. Anak kita layak dimarah.
Anak kita bukan malaikat. Dia tidak sempurna. Dia pasti melakukan banyak silap. Dia perlu dididik. Karakter dia di rumah dan di sekolah tidak sama. Dia mungkin sangat annoying waktu di dalam kelas dan kita takkan tahu itu. Jika dia dimarah, itu tandanya gurunya sedang mendidiknya.
5. Ingat semula kenapa kita hantar dia ke sekolah.
Untuk dia jadi diva kah? Sampai tidak boleh diusik.
Untuk dia jadi samseng? Sampai tidak boleh dijentik.
Untuk dia jadi biadap? Sampai tidak boleh dididik.
6. Dia sedang dididik. Dengan cara yang kita suka, mahupun tidak suka
Jika tidak boleh terima orang lain didik dia dengan cara yang tidak sama dengan didikan kita, jangan hantar dia ke sekolah. Kita tidak boleh harapkan orang ikut cara kita. Cara kita tidak semestinya betul.
7. Kita tak mampu berikan semua ilmu yang diperlukannya.
Kita perlukan guru-guru. Kita mungkin pakar kimia, tapi kita tak tahu matematik, geografi, biologi dan sebagainya. Kita mengharapkan guru mencurahkan ilmu kepada anak kita. Hormati mereka.
8. Duit bukan segalanya.
Kita mungkin kaya. Tapi duit tidak mampu jadikan anak kita sempurna. Duit tidak boleh membentuk akhlaknya. Dia perlu didik, diajar, dibentuk. Baru dia mampu menjadi manusia.
9. Kita tak mampu membentuknya seorang diri.
Anak kita perlu dilatih hidup dengan masyarakat. Dia perlu diajar bagaimana menghadapi dunia yang ganas di luar sana. Dia perlukan sekolah sebagai langkah pertama untuk memahamkan dia bagaimana untuk survive di dunia ini. Guru lah yang akan membantu kita membuatnya melihat dunia. Beri guru-guru itu ruang untuk membantu kita.
10. Kita bukanlah orang yang paling betul dalam dunia.
Cara guru dan kita mungkin berbeza. Tapi pengalaman mereka mendidik memang kita tak mampu menandinginya. Paling hebat kita didik 6 -7 orang anak kita sendiri. Mereka dah didik 6 -7 orang anak sendiri dan beratus malahan beribu anak-anak orang lain yang mereka didik seperti anak-anak mereka sendiri.
11. Jangan sombong dengan guru-guru. Allah sebut darjat mereka tinggi di dalam al-Quran.
Mereka bukan sahaja bekerja kerana gaji, tapi mereka melakukan amal jariah dengan memberi ilmu yang bermanfaat kepada ribuan manusia, dan amal ini allah kira sahamnya walaupun setelah mereka meninggal dunia. Amal kita?
12. Ilmu anak kita takkan berkat tanpa redha gurunya.
Tanamkan itu dalam peribadi anak-anak kita. Yang 11A tapi jika biadap dengan guru belum tentu berkat ilmunya, belum pasti tenang hidupnya. A kurang tidak apa. Asalkan tidak kurang adabnya. Biar berkat ilmunya. Kejayaan akan datang dalam pelbagai cara.
13. Guru-guru sentiasa mengingatkan anak kita agar hormat ibu bapanya.
Ibu bapa sentiasa menjadi sentimen utama yang digunakan oleh guru-guru untuk menasihati anak-anak kita. Mengapa kita tak boleh buat perkara yang sama? Satu sahaja, kerana kita rasa kita lebih bagus dari segenap segi daripada guru-guru anak-anak kita.
Justeru itu, Berlapang dadalah. Ilmu itu bukan bilangan “A”. Tapi apa yang anak kita dapat untuk dia jadikan panduan untuk jalani kehidupan di dunia dan diakhirat.
Terima kasih.
Sumber: Sekolah Rendah Islam Alor Setar (Facebook)
“Satu Dalam Sejuta” Kena ‘Pecat’ Sebagai Isteri, Tetapi Layanan Mentua Masih Kekal Seperti Menantu

Setiap orang mengimpikan hubungan yang berkekalan bersama pasangan hingga ke Syurga. Namun, siapalah kita nak menidakkan takdir jika hubungan yang dibina rupanya terputus di tengah jalan.
Bila putusnya hubungan suami isteri, maka berpecahlah juga hubungan kekeluargaan yang dibina bagi kedua-dua pihak. Tetapi tidak bagi individu ini dikurniakan ibu mentua yang baik dan menerimanya seadanya meskipun sudah berpisah hubungan dengan suami.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh individu tersebut di akaun Tiktoknya yang dikenali sebagai Sha pernah diuji rumah tangga yang dibina dengan bekas suami tidak bertahan lama.
Meskipun gelaran isterinya sudah lenyap, namun tetap disayangi sebagai menantu. Paling menyentuh hati, dia bahkan turut ditemani oleh ibu mentua semasa hadir ke mahkamah syariah bagi selesaikan urusan perpisahan.
Walaupun jodoh dengan bekas suami terhenti setakat di situ saja, namun jalinan hubungan antara Sha dengan keluarga mentuanya tetap akrab. Bukan setakat terus bercuti di Genting Highlands untuk pulihkan kembali semangatnya, malah sehingga kini dia sering diajak untuk pergi berjalan serta raikan perayaan bersama-sama.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terinspirasi dengan ikatan silaturahim antara mentua dan menantu yang tak pernah terlerai khususnya demi anak-anak kecil. Bukan setakat susah ingin jumpa keluarga yang sangat baik dan penyayang seperti ini, mereka turut akui kisah Sha seakan hampir sama dengan artis Puteri Sarah Liyana.
Sumber : @shashushen
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini