“PM Pesan Kalau Masak Bagi Jiran Rasa.” Youtuber Sugu Pavithtra Terharu Terima Hadiah Ketuhar & Tripod Daripada PM!

Share

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Daripada sekadar suka-suka masak dan memuat naik ke yioutube, siapa sangka pasangan ini meraih perhatian. Sugu Pavithra berjaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum melalui perkongsian video memasak pelbagai menu dan bertutur dalam bahasa Melayu di YouTube.

Terbaru, Sugu menerima hadiah yang tidak disangka-sangka oleh Perdana Menteri . Dalam satu perkongsian, Sugu dikatakan menerima kad ucapan dan tripod hadiah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sangat gembira kerana kami tidak menyangka dapat hadiah daripada pemimpin negara,” kata pasangan suami isteri yang menjadi viral di media sosial dengan video masakan mereka menerusi YouTube.

S Pavithra, 28, ketika dihubungi berkata, dia bersama suaminya M Sugu, 29, dikejutkan dengan bungkusan hadiah istimewa daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diterima baru-baru ini.


“Tiba-tiba (hadiah) datang, saya pada mulanya tidak percaya, pada kad pula tiada tandatangan jadi saya fikir mungkin bukan dari PM dan dihantar orang lain.
“Tetapi selepas itu mendapat panggilan dari Jabatan Perdana Menteri bertanyakan sama ada ‘parcel’ sudah sampai atau tidak, baru saya percaya hadiah memang daripada PM,” katanya.

Katanya, dia sememangnya tidak dimaklumkan lebih awal oleh Pejabat Perdana Menteri berkenaan hadiah istimewa itu.

“Kami mendapat hadiah tripod, ketuhar gelombang mikro, ketuhar dan barang masakan seperti beras, minyak dan rempah, dan PM juga ada memberi kad ucapan dengan tulisan ‘keep up the good work and stay at home’ (teruskan usaha baik dan duduk di rumah).
“Kalau boleh hendak berjumpa dengan PM untuk mengucapkan terima kasih secara berdepan tetapi sebab PKP mungkin tidak boleh,” katanya.


Menurutnya, dia masih belum menggunakan barang masakan yang dihadiahkan oleh Perdana Menteri itu.
“Barang masakan masih disimpan dan belum digunakan lagi, PM juga ada berkata (pesan) kalau boleh masak dan bagi jiran merasa,” katanya.

Berkenaan video masakannya pula, Pavithra berkata, dia tidak menyangka penduduk Jepun dan United Kingdom (UK) juga turut menonton video masakannya itu.


Pavithra dan Sugu yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama saluran ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai lebih 400,000 pengikut itu sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.

Sumber: Bernama TV & Berita Harian Online