PKPB Di Seluruh Semenanjung Mulai Isnin Kecuali Perlis, Kelantan & Pahang. Ini Aktiviti Yang Dilarang!

Share

Berikutan peningkatan kes Covid-19 yang naik mendadak baru-baru ini memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB berkenan juga sama sebagaimana SOP PKPB terkini yang dikuatkuasakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jelasnya lagi, ia juga bermakna PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya berakhir pada 9 November ini dilanjutkan sehingga 6 Disember depan.

Sehubungan itu, semua institusi pendidikan di semua negeri terbabit akan ditutup sepanjang tempoh empat minggu berkenaan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai semua negeri berkenaan supaya tidak merentas negeri bagi mengelak penularan jangkitan pandemik berkenaan.

Ini merupakan aktiviti yang dilarang bagi penduduk yang terlibat dengan kawasan tersebut.

Aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti berikut:

• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat
kebenaran daripada majikan.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

• Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.

• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa. Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.