Pillow Talk Dengan Pasangan, Jadikan Kebiasaan Agar Tak Berperang Dengan Perasaan Sendiri!

Share

Menjadi seorang isteri dan ibu, kalau boleh kita ingin lakukan semuanya dengan sebaik mungkin di mata keluarga. Pun begitu, sama ada sedar atau tidak bila kita hanya mahu menjadi yang terbaik, hakikatnya kita menampakkan ego diri sendiri yang akhirnya boleh menyebabkan emosi kita ‘berperang’ dan akhirnya merugikan diri sendiri.

Sewajarnya keikhlasan melakukan tanggungjawab itu lebih penting untuk dicapai berbanding hanya mahu menjadi yang terbaik. Ini kerana mencapai tahap terbaik, pastinya akan menjadikan diri kita terasa lelah melakukan tanggungjawab berbanding jika jujur dan ikhlas melaksanakan tanggungjawab, rasa nikmat dan pahala yang akan kita perolehi. Ini lebih bermakna dan menguntungkan untuk diri dan keluarga.

Untuk itu, ikuti perkongsian ini dan diharapkan dapat menjentik hati kita untuk lebih ikhlas dan bukannya paling baik.

“Jadilah isteri dan ibu yang paling ikhlas, bukan yang paling baik.”

Lama saya berhenti pada ayat ni.

Entahlah. Ada rasa sesak yang penuh di dada. Rasa terpukul. Rasa kerdilnya diri.

Betapa setiap hari, kita berusaha keras menjadi isteri yang baik. Sediakan semua kelengkapan dan keperluan suami. Untuk isteri yang juga bekerja, bantu pula mencukupkan kewangan suami.

Kita mahu jadi isteri yang baik, malah berusaha keras untuk jadi isteri yang baik.

Tapi banyaknya kita bersungut bila suami buat tak tahu. Tak mahu membantu. Anak menangis pun suami masih tetap jadi tugu.

Nak tak nak, urusan rumah tetap perlu dibereskan, perut suami, perut anak-anak tetap perlu diisi.

Kita jadi penat. Emosi juga penat. Berperang dengan perasaan sakit hati dengan suami sendiri. Berperang juga dengan banyaknya karenah anak-anak.

Akhirnya, anak-anak jadi tempat lepas marah. Nak marah pada suami, rasa tak sampai hati. Rumah yang sepatutnya jadi syurga kecil kita, berubah jadi sebuah neraka tanpa kita sangka.

Akhirnya, cuma penat saje yang kita dapat. Kita baik, tapi ikhlasnya hilang. Mungkinkah Allah pandang?

Ibu-ibu,Ikhlas ni, sangat susah untuk kita dapat, untuk kita buat. Pagi tadi, kita berusaha untuk ikhlas, menjelang ke lelap mata, ikhlas tu semakin nipis dan menghilang.

Sebab tu, kita perlu sentiasa bercakap dengan suami. Ambil 30 minit masa sebelum tidur untuk ‘pillow talk’ dengan pasangan. Reflek diri masing-masing. Kita kan nak bersama sampai syurga, kenapa biarkan pasangan kita menderita? Kenapa biarkan ikhlasnya hilang?

Sri A’jilah Samsir,
Kadang-kadang, kita mahu terlihat baik di mata manusia. Kita bertungkus lumus buat semua. Bila manusia puji, kita bersorak gembira. Bila ada yang mengeji, kita terus melenting.Maka, cuma penat yang kita dapat. Ikhlasnya hilang. Pahalanya terbang.

sumber : Sri A’jilah Samsir