Membuat pilihan untuk anak-anak dalam hal persekolahan kadang-kadang boleh bertemu jalan buntu untuk ibubapa.
Apatah lagi, dengan pilihan tersebut kita sedar akan menjadi titik tolak dalam merancang masa depan anak, sebagai mana memilih untuk melanjutkan pelajaran di sekolah harian atau di sekolah asrama penuh.
Pastinya kita dahulu juga punya kisah tersendiri dalam zaman persekolahan. Oleh itu, hitunglah baik buruknya dan mungkin dengan membaca perkongsian ini dapat kita berfikir sejenak.
Jom semak posting Puan Hanie Spalie bertarikh 29 Oktober yang lalu.
Sekolah Asrama Penuh atau Sekolah Harian ?
Perkara ini sebenarnya dah lama jadi bualan ibu bapa di Malaysia. Tambahan lagi bila musim pasca UPSR dan juga PMR / PT3.
Saya paling takut nak paksa anak atau rancang tanpa pengetahuan anak dalam hal ini.
Sebab anak saya ada hak untuk mengatakan tidak.
Ramai juga yang cakap, anak tak mampu fikir dan susun masa depan sendiri, jadi ini jadi tanggungjawab mak dan ayah tentukan sama ada masuk SBP atau tidak.
Sekolah harian pun cukup baik bagi saya. Mungkin mudah nak pantau kehidupan harian anak.
Dan ada baiknya juga SBP kerana mendidik anak remaja berdikari seawal yang mungkin.
Cuma, ini pesanan ibu kepada seorang sahabat anak saya yang bernama Khai,
“Usah paksa anak sekolah SBP kalau dia tak mahu ”
“Minta anak telefon rumah selalu dan tanyakan apa cerita dia di sekolah ”
“Tanya juga jika dia menghadapi masalah gangguan seksual atau tidak ”
“Tolong dengar luahan anak. Elakkan nasi jadi bubur. Bubur tak boleh jadi nasi semula. Itu lah emosi anak kita.”
Itu antara pesanan yang ditulis setelah ibu Khai share satu cerita confession tinggal di asrama. (Rujuk post fb saya sebelum post yang ini. )
Saya cukup hairan. Kenapa sampai begitu sekali pesanan dia pada kami ibu-ibu yang lain?
Ternyata, anaknya, lelaki telah mengalami gangguan penderaan emosi dan fizikal.
Bukan setakat dibuli.
Bukan setakat dimaki.
Bukan setakat dihina.
Bukan setakat dipukul ditampar.
Dia telah di liwat oleh beberapa pelajar senior lelaki.
Ya Allah.
Saya yang baca luahan hati ibu Khai, terus meremang bulu roma.
Tambahan apabila ibu Khai beritahu, Khai hanya tahu dia diliwat setelah berkongsi cerita dengan rakan perempuan yang akrab di sekolah rendah dahulu.
Khai hanya ingat itu penderaan fizikal biasa.
Saya pun terfikir.
Bukan semua anak faham apa itu pencabulan seksual. Sebab yang sakit semua ditafsirkan sebagai penderaan fizikal secara umum.
Dan ibu Khai datang ambil dari sekolah pada bulan 8.Sekarang bulan 10. Baru di pindahkan ke sekolah harian biasa dari SBP.
Dari bulan 1 hingga bulan bulan 7, apa jadi pada dia?
Allahu. Allahu. Allahu.
Sampai sekarang, si pelaku masih lagi menghantar ugutan dan makian lucah pada Khai.
Laporan polis dah dibuat. Cuma saya tak mahu tanya lebih. Takut tercedera lagi emosi si ibu, anak dan keluarga.
Jadi, cukup lah saya berkongsi untuk kita fikirkan bersama.
Masa depan anak bukan di tangan ibubapa semata.
Bincang dan fahami apa yang anak kita mahukan.
Cari jalan akhir yang boleh buat semua rasa tenang.
Jadi apa yang ibu Khai minta saya buat adalah,
1 ) Bincang dengan anak tentang SBP dan sekolah harian.
2) Tanya khabar anak selalu.
3) Perlu didedahkan apa itu gangguan seksual seawal yang boleh. Pendidikan seksual itu sangat penting.
4) Tanya anak yang tinggal di asrama pernah kena liwat ( lelaki sama lelaki ) atau rogol ( perempuan sama perempuan ).
5) Siasat luahan hati dan tangisan anak yang tak mahu lagi tinggal di asrama.
6) Cuba didik anak supaya meluahkan masalah. Elakkan dari memendam. Kerana ia tak selesaikan masalah.
7) Tanyalah anak sebelum buat apa-apa keputusan.
8 ) Tanya anak kenapa dia sedih atau menangis setiap kali mahu kembali ke sekolah. Sama ada sekolah SBP atau sekolah harian.
Saya tahu, ada pengalaman orang yang manis tinggal di asrama, ada juga yang pahit sampai tak terluah.
Ada yang jadi kuat setelah pelbagai cubaan di asrama.
Tak kurang juga ada yang hilang nyawa kerana cubaan yang sama.
Ada juga yang hidup dalam trauma seumur hidup.
Semoga anak-anak kita sentiasa di bawah lindungan Tuhan di mana pun mereka berada.
Doakan supaya Khai boleh pulih dari penderaan fizikal dan penderaan psikologi akibat kejadian ini.
Kuat lah Khai. Aunty Hanie ada untuk pimpin tangan Khai. Kita lawan dunia yang tak adil buat kita Khai.
Khai bangkitlah untuk mereka yang mengalami perkara yang sama seperti Khai.
Tak kira lah mereka perempuan atau lelaki.
Pray for Khai.
Sumber : Hanie Spalie,