Bukan sukar untuk bahagikan masa sebagai seorang pekerja dan seorang surirumah tangga. Pengacara Jihan Muse, akui enggan terlepas setiap detik dua anaknya Ungku Arsalan Haq, 5, dan Ungku Altamis Barr yang berusia lapan bulan membesar di depan matanya.
Memetik laporan Harian Metro, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa berkata, dia dan suami Ungku Hariz Faizal, 38, mengambil pengajaran daripada rakan artis senior yang kerugian masa menjaga anak kerana terlalu sibuk.
“Ada artis-artis senior yang saya rapat pernah bercerita mereka rugi masa terlepas detik anak-anak membesar. Jadi, kami ambil perkara itu sebagai pengajaran.
“Saya terfikir, kalau saya terus-menerus sibuk akan macam itulah, tiba-tiba anak sudah besar. Zaman sekarang pula terlalu cepat. Anak saya depan mata pun, saya tertanya bila dia belajar sesuatu perkara.
“Saya risau budak-budak sekarang, kalau terlepas pandang jadi apa? Sekurang-kurangnya, suami saya cakap, kalau dia jadi buruk ke baik, dia depan mata,” katanya.
Menurut Jihan, dia juga ingin mencabar dirinya agar mampu menggalas tanggungjawab menguruskan rumah tangga sebagaimana dia cekap dalam kerjayanya.
“Sebenarnya pendorong utama adalah suami. Dia macam mencabar saya jugalah boleh bekerja tapi boleh tak selesaikan tanggungjawab (sebagai isteri). Bimbang itu satu perkara, tapi ia lebih kepada prinsip anak kita, kitalah jaga.
“Saya lebih kepada nak cabar diri. Saya boleh kerja depan beribu orang, tak ada masalah untuk saya. Tapi kalau kat rumah, saya tak berapa hebat. Saya rasa saya hebat dengan kerjaya tapi sebagai isteri dan ibu, tak berapa hebat.
“Jadi, saya rasa apa lagi cabaran yang boleh buat dengan diri saya. Kalau soal kerja, macam-macam kerja saya sudah buat. Kalau suami terluang, baru saya kerja. Sebab kami memang jaga anak sendiri tanpa pembantu. Memang begitu sejak anak yang pertama,” katanya.
Disebabkan itulah juga, Jihan memang akan jarak-jarakkan terima tawaran kerja dan pastikan tidak bertembung dengan jadual kerja suaminya.
“Kalau saya ‘hilang’ tiga bulan, maknanya suami saya ‘shooting’ (penggambaran) tiga bulan. Setakat ini, mungkin ada kurang juga pada kerja-kerja saya tapi secara peribadi berjaya buat.
“Klien yang puas hati dengan kerja saya. Tapi dengan klien sebenar, anak-anak ini yang Allah bagi ini. Boleh tak saya uruskan kalau kerja? Lebih kepada nak cabar diri sendirilah,” katanya.
Sumber : Harian Metro