Lihat bentuknya seakan-akan cucur sayur, bahan yang digunakan pun kebanyakkanya sayur. Namun namanya cukup unik.
Buat ibu-ibu yang buntu nak menyediakan sarapan atau minum petang sekeluarga, apa kata cuba resipi Bakwan ini. Selain bahan yang cukup ringkas, cara menyediakannya pun mudah sangat.
Satu kelegaan yang maha hebat bilamana disahkan oleh doktor bebas sepenuhnya daripada menghidap penyakit kanser yang pernah dihidapi sejak tahun 2014. Tenang dan bersyukur dengan ujian yang maha darsyat ini.
Tapi ketenangan bukan lagi miliknya kini. Semakin perit dan terhimpit kala diberitahu oleh doktor bahawa kanser yang menyerangnya dua tahun lalu kembali menyerang tubuhnya kini.
Bagi Wan Musfirah Aimi Wan Sufian, 34 tahun, yang juga merupakan ibu kepada dua model dan pelakon kanak-kanak, Nik Harraz Danish dan Nik Hadiff Dani, serangan kanser kali kedua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang malah dia tidak pernah menyalahkan takdir. Dia tahu Allah memilihnya untuk merasai semua ini dan pasrah dengan laluan yang dilaluinya ini.
“Menyebut kanser memang tidak mudah, namun itulah yang dilalui saya. Semuanya bermula selepas wujudnya ketulan di kedua-dua payudara saya setiap kali saya mengandung. Memang ketiga-tiga kandungan saya, saya mengalami masalah yang sama, adakalanya ketulan di sebelah kiri dan adakalanya di sebelah kanan payudara pula.
“Bila berdepan dengan masalah ini setiap kali mengandung, saya jangkakan ia tidaklah mendatangkan bahaya. Masa mula mengandung anak pertama, sebaik melahirkan anak saya menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut dan begitulah rutinnya sehingga anak ketiga.
Ia tidak sakit malah saya tak rasa apa-apa sehinggalah tahun 2014 bila mana saya rasakan seperti ada urat membengkak di bahagian ketiak kiri saya.
Tidak mahu terus bertanda tanya, saya rujuk masalah saya ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang. Saya menjalani ujian ultra sound dan hasilnya tidak ada apa yang merisaukan saya. Namun doktor menyarankan saya untuk mencuba ujian mammogram pula. Namun hasilnya tetap sama, tiada sebarang komplikasi yang tidak diingini kepada masalah urat di payudara kiri saya. Saya lega seketika.
Namun selepas dua minggu, saya kembali ke hospital semula dan menjalani ujian Core Needle Biopsy’ atas saranan doktor yang merawat saya. Empat hari selepas menjalani ujian, saya ke hospital semula dan ketika itulah saya diberitahu saya menghidap kanser payudara.
Semuanya telah terjawab. Saya ingat lagi tarikh itu, 24 Januari 2015. Saya redha dan pasrah,” ujar anak sulung daripada lima adik beradik ini lagi.
Tidak mudah bagi kita namun wanita ini menerimanya dengan tabah hati kerana sudah menjangkakan semua perkara sebegini sejak awal lagi.
Kanser Kali Kedua
Ibu tiga anak ini juga mengakui tidak mudah menerima keputusan doktor sekali lagi selepas bebas selama dua tahun daripada sel kanser.
“Disember 2017 akan menjadi tarikh keramat sekali lagi buat saya. Selepas mengadu sakit kaki iaitu pada bahagian pinggul, saya buat pemeriksaan seperti biasa. Saya buat rawatan fisiologi tetapi masih sakit. Akhirnya doktor sarankan untuk saya buat scan dan ketika itulah baru saya tahu kanser saya menyerang sekali lagi.
Hampir gugur jantung apabila doktor memberitahu sel kanser saya sudah merebak ke tulang kaki. Saya rasa kecewa yang teramat sangat. Tekanan akibat suami diberhentikan kerja pada akhir tahun lalu buat saya jadi tertekan. Tekanan yang saya alami buat sel kanser kembali merebak pada saya. Itu yang doktor nyatakan kepada saya.
Kata doktor sel kanser menyebabkan tumor dalam tulang pecah dan terkeluar. Itulah yang menyebabkan saya sakit pada bahagian pinggul. Saya perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 15 kali namun malangnya kesannya akan buat saya menapouse. Saya akur dengan kata-kata doktor walaupun pahit untuk menerima semuanya.
Pun begitu, walaupun selepas 15 kali menjalani rawatan, masih tiada sebarang tindak balas malah sel kanser mula menyerang tulang belakang saya. Doktor kemudiannya meneruskan rawatan kimoterapi sebanyak enam kali kepada saya,” luahnya lagi.
Mahu Teruskan Hidup Dengan Gembira
Bagi wanita yang berkhidmat dengan Maybank dan masih berada di dalam cutinya selama enam bulan ini lagi, bersedih dan mengenang nasib akan takdir hidupnya bukan lagi pilihan yang ada.
“Jujurnya saya mahu enjoy dan gembira dengan apa yang saya lalui setiap hari. Sebolehnya setiap kali bangun setiap pagi saya mahu gembirakan diri sendiri dan keluarga dan buat semua perkara yang menggembirakan hati saya.
Saya mahu terus bangkit dan bersemangat demi suami dan anak-anak yang saban hari menyokong kuat perjuangan saya. Merekalah tulang belakang sepenuhnya untuk saya terus kembali ceria.
Tak ada sebab untuk saya menyerah kalah pada takdir sedangkan suami dan anak-anak terus kuat menyokong saya.Setiap kali menjalani rawatan kimoterapi suami akan menguruskan anak-anak dan kesemua urusan rumah. Begitu juga dengan anak-anak yang akan behave dan sentiasa menjaga hati saya dalam segala hal. Sebolehnya mereka tidak mahu membebankan saya.
Jujurnya saya sudah penat untuk mengadu domba dengan sesiapa sahaja akan kesakitan yang saya alami. Saya hanya mahu lalui apa yang Allah sudah aturkan buat diri saya dengan sebaiknya.
Tak ada waktu untuk saya dari terus berfikir mengapa dan kenapa saya ditakdirnya untuk jadi begini. Makin bertambah stres dibuatnya. Saya redha dengan semuanya. Bagi saya kini hidup perlu lebih tenang dan gembira tanpa ada sekatan apa-apa,” ujarnya penuh semangat, positif dan yakin pada diri sendiri.
Sumber: Majalah Keluarga Isu Julai
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Delima seorang ibu yang membawa anak-anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan solat Tarawih adalah berdepan dengan ragam anak-anak. Maklumlah budak-budak, suka sangat berlari-lari tak kira tempat hatta dalam masjid sekali pun.
Tidak dengan itu, buat bising pula. Bimbang juga kita andai jemaah lain tidak selesa jadinya.
Bila ini ragamnya, pasti kita akan pulang awal tanpa sempat menghabiskan solat Tarawih.
Namun, berbeza situasinya andai ibu-ibu berkesempatan solat Tarawih di Masjid Sultan Idris Shah II atau dikenali sebagai Masjid Negeri di Ipoh.
Ruang bermain untuk kanak-kanak dikhususkan sehingga membuatkan anak-anak ini seronok bermain dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak masjid.
Ini sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian, menurut Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh berkata, tidak salah membawa anak-anak ke masjid malah ia satu perbuatan yang digalakkan.
Inisiatif untuk menyediakan zon kanak-kanak itu tercetus selepas mendapati ramai kalangan jemaah yang bertarawih datang membawa bersama anak-anak kecil berusia 7 tahun ke bawah.
Ditempatkan di tingkat atas bersebelahan ruang solat tarawih, zon kanak-kanak di Masjid Negeri ini bukan sahaja selamat, malah di dalamnya tersedia pelbagai jenis mainan dan buku aktiviti untuk dilakukan sepanjang solat berlangsung.
Terdapat pelbagai aktiviti disediakan termasuklah mewarna, membaca dan sebagainya sepanjang solat tarawih berlangsung.
Tambahan, Imam Besar Masjid Negeri mengalakkan ibu bapa membawa anak-anak ke masjid dan amalan ini perlu dididik sejak mereka kecil lagi.
Tambah Imam Masjid Negeri lagi, bagi menitikberatkan aspek keselamatan ibu bapa perlu mengisi borang pendaftaran dan mendapatkan kad khas untuk diserahkan semula semasa mengambil anak mereka.
Setiap malam akan ada dua kakitangan dari Pejabat Pentadbiran Masjid Negeri dan pasukan sukarelawan secara bergilir membantu memantau kanak-kanak yang diletakkan di zon ini.
Sepanjang empat hari puasa ini, lebih 40 keluarga telah mendaftar, ada juga sebahagian kanak-kanak ini terlalu leka bermain hinggakan tidak mahu pulang.
Katanya, buat masa ini, hanya kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun dibenarkan ditempatkan di situ bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam sementara tujuh tahun ke atas digalakkan solat bersama ibu bapa masing-masing.
Sumber : Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mungkin ada di antara anda yang pernah mengalami situasi anak kecil menangis dengan kuat. Bukan itu sahaja, kelakuannya berubah, matanya terbeliak/meliar ke atas pada tempat yang sama terutamanya waktu maghrib?Pasti membuatkan anda cemas dan bingung apakah yang berlaku bukan?
Ini berlaku disebabkan oleh rumah anda mungkin dimasuki jin. Menurut Ustaz Azhar Idrus, 10 minit sebelum maghrib pastikan pintu rumah dan tingkap telah ditutup untuk elak rumah dimasuki oleh Jin bernama Ummu Sibyan. Ummu Sibyan ini hanya akan masuk ke dalam rumah yang mana pintu dan tingkap terbuka luas.
Mengulas mengenai isu tersebut, Dr Taufiq Razif berkongsi mengenai anak perempuannya yang mengalami situasi yang sama.
Mungkin panduan yang diberikan oleh doktor ini dapat membantu ibu bapa di luar sana yang mungkin mengalami situasi yang sama.
Maryam Soolihah pernah menangis dengan memandang siling rumah. Tangisan dia masa tu memang dasyat!
Dengan mata bulat memandang ke atas memang buat saya rasa tak sedap hati. Saya tahu tangisan bayi ni kebanyakannya normal kecuali tangisan yang disertai :
– demam tinggi – jadi taknak menyusu langsung – muntah-muntah – penafasan laju – sawan – perut kembung – tak berak dan tak kencing – cirit birit yang cair ataupun beserta darah
Kalau yang ni memang sebaiknya kena bawa bayi jumpa doktor tapi si Maryam ni normal je cuma tangisan dia tu melampau-lampau dan mata dia selalu pandang ke atas.
Saya jenis tak percaya bab syaitan, jin dan alam ghaib ni kecuali yang ada dalam Al Quran dan Hadis. Rupanya memang ada sejenis jin pengganggu anak kecil yang disebut dalam Hadis. Namanya Ummu Sibyan.
Hadis Ummu Sibyan tu Hadis daif tapi larangan untuk tak bagi anak-anak keluar waktu senja, tutup pintu waktu senja dan tak digalakkan buka pintu pada waktu senja ni memang ada dalam Hadis Sahih.
Nak tahu anak kita kena gangguan ‘luar’ waktu senja ni senang je. Kalau ada tanda ni mungkin dia tengah diganggu :
1. Menangis pada waktu senja 2. Ada pintu yang terlupa nak ditutup 3. Anak normal dan takde sakit apa-apa 4. Cuba gerakkan badan dan kepala anak kita masa dia menangis. Kalau dia tetap pandang pada satu tempat, ada kemungkinan kena gangguan la tu.
Kalau dah jadi camtu cepat-cepat cari pintu atau tingkap yang tak tertutup tu dan tutup segera dengan baca Bismillah. Amik air, baca Ayat Kursi 3x dan hembus pada air. Sapu air tu sambil usap pada wajah anak kita. Kalau tak reda jugak cuba azan dalam rumah ye.
p/s : Jangan pulak ingat semua tangisan bayi ni sebab gangguan. Kebanyakannya normal je insyaAllah. Biasa la budak-budak nak membesar tapi ilmu tentang tangisan bayi ni semua mak ayah wajib tahu. Tolong bagitahu mak ayah yang belum tahu sebab sangat ramai mak ayah yang tahu tentang info ni.