
Sungguh istimewa, buat pertama kali dalam sejarah ketika Upacara Pembukaan PIALA DUNIA 2022 alunan merdu ayat suci al Quran di perdengarkan. Ini sekali gus menjadikan penonton di stadium Al Bayt, Qatar terpegun dan begitu juga dengan penonton seluruh dunia yang menyaksikan detik bersejarah itu di media sosial mahupun di kaca TV.
Bacaan merdu ayat al Quran itu telah disampaikan oleh Ghanim Al-Muftah, pemuda yang berusia 20 tahun diangkat sebagai duta Piala Dunia 2022 itu tampil dengan melantunkan potongan ayat suci al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, ayat 13.
Difahamkan juga Ghanim Al-Muftah dilahirkan dengan penyakit yang dikenali sebagai Caudal Regression Syndrome (CDS) yang mana lahir tanpa bahagian bawah badan pada 5 Mei 2022 ini sebagaimana memetik berita di Kosmo.
Biarpun dilanda dengan pelbagai ujian dan cabaran dek kerana kekurangan pada diri, Ghanim kekal positif dalam mengharungi liku-liku hidupnya sehingga menjadikan beliau sebagai entiti mithali dan idola kepada orang ramai yang seumur dengannya.
Sejurus penampilannya, dia telah menjadi topik hangat di media sosial, rata-rata orang ramai menzahirkan rasa kagum dan terinspirasi dengan kegigihan dan keazaman Ghanim yang tidak pernah menyerah berjuang untuk hidupnya biarpun tidak mempunyai badan ‘normal’ seperti orang lain.
“Ghanim al-Muftah sangat penuh dengan inspirasi, walaupun mempunyai kekurangan pada fizikalnya, dia adalah seorang perenang yang prolifik, juga mengambil bahagian dalam penyelaman skuba, mendaki dan bermain skate, anak muda yang berwibawa,” ciap @ShahZaib di Twitter.
“Pembukaan yang penuh bermakna, hanya dengan bacaan sepotong ayat suci al-Quran sudah mampu menyentuh hati orang rami ditambah lagi dengan pencapaiannya yang melebihi keupayaan orang biasa. Allahuakhbar,” ciap @MunasarAbdiAmudle.
Segmen ‘The Calling’
Selain itu juga pelakon veteran Amerika Syarikat, Morgan Freeman juga turut tampil ke atas pentas dan berbual dengan Ghanim sambil membawa mesej keamanan disamping menekankan isu kemanusiaan dan tolak ansur dalam kalangan manusia.
“Untuk Bahagia Kita Perlu Membahagiakan…” Cikgu Ni Kongsi Pengalaman Hidup, Jadikan Inspirasi.

Setiap kesenangan yang dikecapi hari ini tidak mustahil sebelum itu punya jalan ceritanya yang tersendiri. Mungkin orang melihat kehidupan kita sekeluarga nampak senang semua ada, namun kesusahan hidup tiada siapa pun tahu melainkan diri sendiri.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, semoga kisah pengalaman hidupnya ini dapat menyuntik inspirasi buat yang membaca.
Ini perkongsiannya.
“Cikgu tak apalah. Banyak duit, boleh la melancong sana sini bawa family. Kami yang biasa-biasa ni mana la mampu.”
Aku kahwin 11 Jun 2009. Dari hari pertama perkahwinan hingga Disember 2018, aku tak pernah bawa keluarga melancong ke mana-mana.
Hampir 10 tahun perkahwinan, kami hanya ke tempat yang dekat dengan rumah seperti pantai, air terjun, supermarket or pasar malam je.
Gitu je lah pusing-pusingnya dalam tempoh hampir 10 tahun perkahwinan. Pergi pasar malam bawa isteri dan anak-anak tu umpama bawa mereka menikmati sakura gugur di Jepun dah rasa masa tu.Kerana hanya itu kemampuan aku.
Kegembiraan Buat Keluarga
Aku cuma cikgu biasa. Gaji kecik, hidup pula dikota raya yang sangat menyesakkan dada. Namun aku ada satu semangat. Aku ada satu rasa tanggungjawab. Aku ada satu kemahuan yang tinggi.
Aku ada satu perasaan yang ingin memberi kegembiraan dan kebahagiaan seberapa banyak yang aku mampu kepada keluarga aku.
Tapi aku poket aku tak mampu. Memang tak sampai akhir bulan dah kekeringan. Aku takkan sesekali membuat pinjaman hanya untuk berjoli sakan dan enjoy sana sini. Bukan begitu caranya.
Keluar Pagi Balik Pagi
Tahun demi tahun, tanggungjawab makin bertambah dengan bilangan anak dan kos sara hidup. Bermula 2015 aku tidak lagi boleh mengharap gaji secara bulanan. Aku mula menjual air tin, menjual air mineral. Jam 2 pagi ke NSK mencari air.
2016 aku jual kasut bundle di downtown Cheras. Masa tu mengajar sesi petang. Balik saja sekolah, mandi, makan nasi, terus angkut kasut muat but buka meja di downtown.
Dari jam 8 malam keluar, pulangnya jam 5 pagi. Tidur sekejap bangun ke sekolah pula. Begitulah rutinnya. Jual air tetap jual juga.
Kerja macam kerbau. Aku dah kerja mengalahkan kerbau. Masa rehat kerbau lagi banyak dari masa rehat aku. Keluar pagi balik pagi. Dah macam zombie aku rasa. Masa dengan keluarga makin tiada. Sedangkan kewangan tak adalah berubah sakan. Ada la skit-sikit tambahan.
Masa ni aku duduk berfikir. Kenapa rezeki aku sempit. Kenapa susahnya nak tarik rezeki. Kenapa Tuhan bagai menjauhkan rezeki dengan aku. Aku duduk, aku fikir, aku muhasabah diri betul-betul. Di mana silapnya. Kenapa begitu kejam kehidupan pada aku.
Aku bukan meminta lebih. Aku tak minta Ferrari. Aku tak minta rumah agam. Aku tak minta gaji beratus ribu sebulan. Aku cuma mahu kehidupan yang lebih selesa buat keluarga aku.
Aku rasa loser gila. Simpanan langsung tak ada. Apa yang dicari, cepat sahaja habis entah ke mana. Sedangkan aku tak mencuri, segala modal kerja buat aku modal yang halal.
Abah dan ma perasan aku memang kacau masa ni. 2016 tahun betul-betul ujian buat aku. Hubungan dengan isteri jadi jauh. Selalu juga bermasam muka. Aku pula jenis tak pernah meluah apa-apa masalah kepada sesiapa. Tidak kepada isteri. Tidak juga kepada ma dan abah.
Namun naluri seorang ibu tu tinggi. Sangat tinggi. Dia tahu aku tengah sangat susah. Ma tahu aku sangat serabut. Ma dapat rasakan hidup aku penuh kekacauan. Ma telefon aku,
“Li. Kembali pada Tuhan. Kita hidup berTuhan. Solat kena jaga. Jauhi maksiat. Jauhi segala benda yang Tuhan haram. Li kena pergi Mekah sucikan diri. Buang segala kekotoran yang melekat tu. Minta sungguh-sungguh pada Tuhan. Menangis, mohon betul-betul.”
“Nak pergi macamana, Li tak ada duit. Langsung tiada simpanan ni. Tak apalah. Ma ada simpan duit yang anak-anak bagi. Yang abah bagi saban bulan. Pergilah.”
3 minggu sahaja dari tarikh ma call aku, aku sudah memijak tanah haram. Seorang diri aku pergi mencari diri yang hilang. Mencari tujuan hidup yang makin kelam. Mencari kebahagiaan yang makin terendam.
Aku hadap segala ujian sendiri di sana. Demam seorang diri. Menggigil seorang diri. Aku panjat Bukit Ajyad. Aku cari tok guru orang kita yang menetap di sana.
Aku minta mereka doakan aku. Setiap orang asing yang aku temui sepanjang jalan menuju Masjidilharam, aku minta mereka doakan kau.
“Doa ana.”
Itu je yang aku ucap setiap kali jumpa sesiapa yang mendekati aku.
Untuk Bahagia Perlu Membahagiakan
Sebaik pulang dari umrah, aku merenung lebih dalam. Aku membaca perkongsian positif yang ada. Aku cari di mana punca keberkatan rezeki. Aku mencari bagaimana untuk hidup bahagia.
Dan apa yang aku jumpa, untuk bahagia kita perlu membahagiakan.
Dari situ aku turun padang membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Walau masa tu aku sendiri tak berduit, namun aku bantu sekadar yang mampu.
Setiap kali ziarah, aku minta mereka doakan aku dan para penyumbang.
“Doakan saya. Doakan saya. Doakan saya.”
Itu yang aku duduk ulang-ulang dari dulu. Benarlah, bila kita bantu orang, Tuhan akan hantar orang baik-baik mendekati kita. Yang percaya pada kita. Yang sudi mengirim duit sampai puluhan ribu pada aku untuk disalurkan kepada orang miskin dan anak yatim.
Betapa mereka percaya pada aku yang bil letrik tertunggak, yang bank call nak tarik kereta. Mereka serah bulat-bulat tanpa minta bukti, tanpa usul periksa.
Dan inilah ujian yang besar. Ujian keikhlasan dan ujian amanah orang.
Aku sampaikan 100% kiriman orang. Tidak ada seringgit aku ambil untuk diri waima untuk mengisi minyak motor. Tiada seringgit aku ambil untuk buat makan nasi walau aku tak berduit sesen untuk membeli makanan tika itu.
Itu amanah orang. Abah pesan, jaga amanah lebih dari jaga nyawa sendiri. Aku pegang itu ketat-ketat dalam hati.
2017 aku mula menulis buku. Walau keuntungan kecil, aku terus saja. Senaskah buku yang dijual, royalti aku sekitar RM1 sahaja. Kalau aku jual sendiri, dapat la dalam RM5 untung senaskah.
Walau senaskah orang nak COD, aku tunggu tepi jalan kadang sampai sejam. Hanya untuk RM5 tuan tuan.
Apa yang aku dapat, aku simpan sebahagian, sebahagian yang lain aku bagi kat ma abah, sebahagian yang lain aku belanja isteri dan anak-anak, sebahagian yang lain aku sedekahkan yang aku sendiri sampaikan dengan tangan ini.
Dari situ bermula perubahan dalam ekonomi aku. Tuhan kirim puluhan ribu netizen follow aku. Tuhan kirim orang baik-baik mendekati aku. Tuhan kirim orang-orang berjaya mendekati aku.
Mereka dengan rela, mereka dengan ikhlas mengheret tangan aku membuka peluang aku bekerjasama dengan mereka. Mereka ajar satu persatu dengan rela tanpa caj apa-apa.
Mereka hanya ingin berkawan dengan seorang cikgu biasa yang tiada apa-apa ini.
Mereka tidak kisah duduk semeja dengan orang yang bil letriknya dah sampai surat merah, yang saban bulan makan berhutang di kantin.
Sedikit demi sedikit aku mula menyimpan. Aku main kutu, aku potong tabung haji. Dan aku perbanyakkan sedekah dan zakat. Nafkah untuk isteri, duit bulanan untuk ma dan abah aku naikkan dari masa ke semasa bila income bertambah.
Aku tidam enjoy untuk diri sendiri. Tidak.
Aku masih naik Ex-5 buruk yang dibeli second hand sahaja. Telefon aku telefon second hand juga. Ada lebih, aku simpan sebahagian, beri pada keluarga sebahagian, dan sebahagian wajib untuk sedekah dan zakat.
Dan buat kali pertama aku bawa isteri, anak-anak, mak dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah pada 10 Disember 2018.
Itulah kali pertama kami melancong setelah simpanan dan kewangan aku makin kukuh. Ya tuan tuan. Kalian yang baru follow aku, inilah antara kisah kehidupan aku. Aku bukan kaya asal.
Aku bukan lahir atas dulang emas. Aku makan tidak disuap oleh dayang. Aku usaha. Aku usaha. Aku usaha. Dan yang pasti, kembalilah pada Yang Maha Esa. Kunci segala bahagia, kunci segala rezeki, kunci segala rahsia ada ditanganNya.
Semoga sedikit perkongsian ini tidak membuat aku rasa lebih dari sesiapa. Aku cuma seorang hamba. Aku cuma seorang bapa. Aku cuma seorang suami. Aku cuma seorang lelaki yang gigih mengubah nasib diri demi keluarga.
Aku sentiasa berdoa agar aku sentiasa menunduk. Tidak sombong tidak ujub.
“Tuhan jangan kau izin aku lupa. Jangan kau biarkan aku mendepang dada. Pasakkan hatiku pada kaki. Paksakan ku tunduk sehingga mati.”
– Terbang Tunduk –
sumber : Mohd Fadli Salleh
Tinggal Rumah Flat, Lantai Simen, Tiada Perabot Tapi Itulah Detik Paling Bahagia Kami Suami Isteri-Imam Muda Asyraf

Disebalik kejayaan seorang suami, pasti berdirinya seorang isteri yang hebat, memberi sokongan tidak berbelah bahagi di kala susah dan senang.
Melalui perkongsian di Facebook Imam Muda Asyraf, beliau berkongsi luahan hati, pengalaman kehidupan susah senang bersama isteri tersayang.
“Teringat sewaktu saya mula berkahwin dulu. Masih belajar di UM. Tiada pekerjaan tetap. Apapun Terima kasih kepada mertua yang sudi menerima insan yang serba daif ini menjadi menantu.
“Walaupun ketika itu mereka tahu saya tak mempunyai sumber kewangan yang utuh. Saya buat partime sebagai imam rawatib di masjid sebab nak sara anak orang sebagai isteri.
“Dengan gaji RM350 sebulan di Kuala Lumpur apalah sangat yang mampu dinikmati. Sedangkan sewa rumah ketika itu RM450 sebulan. Terpaksa berniaga cari duit tambahan jual kitab. Buat home tuition. Basah kuyup bersama isteri menaiki motorsikal EX5. Menunggu bas di Pudu bersama untuk pulang ke kampung.
“Apa yang saya kagum dan saya akan ingat selamanya ialah pesanan dari seorang isteri : “Abang.. Ayang tak minta abang bawa balik kemewahan. Tapi cukuplah dengan bawa pulang kepada keluarga rezeki yang barakah…”
“Beliau langsung tak pernah minta wang untuk beli pakaian melainkan apa yang saya belikan. Beg tangan dan kasut seadanya. Kadang terusik di dalam hati seorang suami untuk membeli sesuatu untuk menggembirakan isteri. Tapi si suami tak mampu.
“Rumah flat yang tiada katilnya beralas toto. Lantai simen tanpa tikar getah. Tiada meja makan, Kotak sebagai alas pinggan. Almari zip yang terkoyak di sisinya. Tapi saat itulah saat yang paling bahagia. Detik itulah yang paling sakinah. Payah namun indah. Rumah sempit namun hati lapang.
“Perit dahulu menekan keangkuhan. Sakit dahulu mengingatkan kesombongan. Semua yang kita dapat sekarang adalah pemberian Tuhan. Dia beri pinjam hari ini, maka tak sukar untuk Dia ambil semula esok hari. Beringat wahai si tuan badan.
“Saya kongsi kisah ini bukan untuk khabarkan sejarah diri semata. Kerana saya tahu rasa saya ini pernah juga dirasai kebanyakan pasangan. Saya tidak berseorangan dalam merasai pengalaman ini. Ramai yang turut melalui. Bersyukurlah apa yg ada. Sebelum menangis bila dah tiada.
“Mereka menerima kita saat kita bukan siapa-siapa. Mereka terima kita saat kita tiada apa-apa. Mereka di sisi saat tiada siapa mengenali. Mereka bangga dengan kita walau kita tiada nama. Mereka sudi disisi kita walau kita tidak berharta.
Semoga Allah mengabadikan bahagia ini hingga ke syurga.”
Sumber Facebook: Imam Muda Asyraf
Semoga kita sama-sama mengambil pengajaran daripada pengalaman kisah hidup ini untuk dijadikan pemangkin dalam membentuk keluarga bahagia.
“Dulu Nak Give Up Tengok Akademik Anak, Tapi Kini Tak Lagi.” Ketabahan Ibu Ini Mendidik 2 Orang Anak Istimewanya Sangat Memberi Inspirasi!

Memiliki anak istimewa bukanlah semudah yang dilihat pada pandangan mata kasar. Pelbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi untuk membesarkan anak-anak. Yang ingin hanya satu iaitu memberikan pendidikan yang sempurna untuk masa depan yang lebih cerah. Kekurangan anak-anak tidak mahu dijadikan batu penghalang untuk kejayaan anak-anak.
Usaha dan doa ibu cekal bernama Norhayati ini didengari bila mana anak sulungnya berjaya melanjutkan pelajaran di Sekolah Tahfiz usai melepasi temu duga yang dijalankan oleh sekolah berkenaan.
Manakala anak keduanya pula didaftarkan mengikuti Program Pendidikan Khas (PPKI). Menariknya, anaknya yang kedua ini sangat suka memasak dan menonton rancangan masakan di televisyen telah menjadi hobi buat dirinya.
Jom ikuti kisah suka-duka yang ditempuh oleh Puan Mcnor Norhayati untuk membesarkan anak-anak beliau yang sangat istimewa itu. Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi pengajaran kepada pembaca dan membuka mata masyarakat tentang anak-anak autisme ini.
Salam dan selamat sejahtera. Just nak share dua orang anak saya yang ASD+ADHD..kedua-duanya ada kad oku..kedua-duanya tiada fasa merangkak semasa bayi…duduk terus jalan. Mungkin coretan ini yang paling panjang di dalam page ini. Sebab sebenarnya saya memang tiada masa nak menulis panjang-panjang macam ni. Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk kawan-kawan yang lain dalam grup ini. Walaupun keduanya ada ASD dan ADHD, banyak behaviour yang tak sama.
Semasa mereka masih kecil, saya juga pernah melalui fasa yang sukar, tak boleh makan kat kedai sebab anak akan berjalan atas meja makan, menjerit-jerit dan macam-macam lagi, kenduri kawen pun terpaksa bergilir-gilir pergi, sorang lagi kena jaga dalam kereta, 3 kali hampir hilang mencari merata-rata tempat, pernah kena bersihkan dinding dan perabot rumah sebab habis dinding dan perabot kena sapu najis (time tu tengah masak kat dapur, tak sedar anak dah berak dalam pampers dia korek), telur habis sepapan kena pecah dan berguling-guling dengan telur pecah tu, tuang sunlight sebotol dan siap main luncur ski(time tu umi dia terlena…haha), pernah jatuh tergolek kat jalan raya kejar anak, tantrum kat mall dan banyak lagi peristiwa yang mencabar kesabaran kami sekeluarga.
Saya pernah juga give-up dan pasrah dengan akademik anak yang 1st sebab bila dia di aliran perdana, banyak tertinggal dan tak dapat follow lesson kerana ADHD yang dia alami menyebabkan dia tak dapat fokus sepenuhnya dan pernah masukkan dia di PPKI (sebelum tu di kelas perdana kerana sekolah masih belum ada aliran PPKI)…dia juga pernah makan kertas exam bila terpaksa menghabiskan exam tersebut(banyak helaian dia stress penat tulis).
Alhamdulillah, selepas beberapa tahun mengalami kesukaran handle 2 anak ASD ni…semakin besar anak-anak dah semakin ok. Anak-anak memang tak pernah consume sebarang ubat or medication dan suppliments..sebab memang refuse makan ubat…kalau demam pun memang tak pernah bagi ubat…mujur mereka berdua ni sangat jarang demam. Alhamdulillah, just lalui kehidupan macam biasa tapi memang perlukan kesabaran yang tinggi, cuma bagi aktiviti yang mana bersesuaian dengan minat anak.
Anak yang kedua amat minat memasak. Channel tv kegemaran pun semua yang berkaitan memasak dan boleh statik tengak rancangan memasak. Yang ini ada speech delay dan mula bercakap dan keluarkan perkataan pertama mama umi ayah ketika berumur hampir 5 tahun. Juga ada sensory problem…jalan jengket-jengket, tak suka kotor, dan tak boleh pijak tikar getah sebab melekit-lekit…tutup telinga bila dengar blender, vakuum…namun terus boleh membaca Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris tanpa di ajar ketika mula bercakap pada umur 5 tahun.
Hari-hari baca buku resepi…tengok youtube resepi…. sekarang ni kat rumah hanya melayan dia memasak sajalah(kena ready stok bahan baking). Banyak juga hasil masakan yang dah berjaya buat seperti kek, muffin, pizza. Nampaknya kelebihannya di situ sebab kadang-kadang dia yang ajar kita macam mana nak buat. Alhamdulillah, peperiksaan baru-baru ni dia dpt nombor 1 dlm keseluruhan aliran…ada 2klas ppki…dia no.1. Dia bersekolah di Sekolah Berprestasi Tinggi.
anak yang sulung pula, sepanjang persekolahannya dari tahun 1-4(aliran perdana) memang sangat mencabar….buku tulisnya tak pernah siap dia salin dari sekolah….setiap tahun, setiap subjek memang takkan lebih dari 10 pages yang berjaya salin…tahun 1-2 tulisan memang tak boleh baca langsung (ada masalah psikomotor), tak boleh lompat, urus diri memang sangat teruk.
Alat tulis memang bukan kata hari-hari hilang, tapi setiap kali lepas rehat dah kosong pencil box, bila hilang, satu kelas kena stop belajar sebab tantrum nak jugak cari even pemadam tu dah besar kuku jari kelingking….hahaha.
So di rumah memang macam kedai stationery buat stok alat tulis. Saya tak hantar tuisyen tapi mula buat 1 to 1 dengan dia.
Selalu pesan kat dia is ok kita lambat, janji kita usaha..selalu beri kata-kata semangat disamping doa yang tidak putus-putus….ujian awal tahun 6 masih dapat result 3D3E…jika org lain buat 10 latihan, anak saya hanya mampu buat 3 sahaja…memang dia tak boleh dan takkan buat lebih dan akan stress..so memang kena pasrah…bagi saya janji dia konsisten buat..
Alhamdulillah sehingga trial dia berjaya dapat 1A, ada B dan gred paling rendah C…sehingga UPSR keluar, walaupun resultnya biasa-biasa sahaja lebih kurang trial, semua interview dia dapat…ada yang lulus, ada yang tak…cuma kami sangat bersyukur sebab dia lulus dan di terima msuk di sekolah sekarang…walaupun dengarnya ada yang 3A dan 6A pun tak dapat masuk sebab tak lulus temuduga…(saya ada tulis catatan anak autisme masa apply sekolah tersebut).
Apabila sudah masuk 2 minggu dia di asrama penuh tersebut, walaupun minggu pertamanya 5 pasang stokin tinggal 1.5 pasang, bantal hilang, baju seluar semua tak tau kat mana, dia masih kuat semangat tak minta nak balik..katanya seronok belajar kat situ…yang tak seronok barang dia hilang…haha(padahal salah letak aje…lepas tu jumpa balik…) tapi seminggu 4x kami ulang alik tengok uruskan baju-baju dia sementara nak biasa…mujur dekat dengan rumah…hehe..lega hati umi bila baru-baru ni kawan-kawan dia cakap ustaz kat situ sayang pada anak ni selalu letak dia di sebelah ustaz yang mengajarnya supaya tak hilang fokus.
Lupa yang sorang ni memang kuat bercakap…tak ada speech delay. Sedikit asperger, so saya memang pernah beberapa kali libatkan dia ke pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa…alhamdulillah memang tak menghampakan walaupun pernah mengalami saat-saat sukar dia tantrum tak nak present dekat-dekat nak bertanding tu gara-gara bertukar bilik hotel bajet yang aircond dan tv brand qonda..mujur dah ok lepas tu.
Rasanya sudah panjang sangat perkongsian saya kali ini. Saya mohon kawan-kawan tolong doakan anak-anak saya mudah-mudahan mereka istiqomah dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Masih jauh lagi perjalanan mereka. Saya juga doakan semoga kawan-kawan semua tabah hadapi cabaran dan rintangan. Semoga anak-anak kita semua berjaya di dunia dan akhirat. Hanya kepada Allah kita berserah…Semoga ada sinar pada anak-anak kita semua. Salam Sayang semua.