Menjadi ibu bapa ini besar cabarannya dalam mendidik anak-anak. Begitu dengan hal memarahi anak. Jika salah, caranya, akan buat hati anak terguris.
Ikuti perkongsian oleh lelaki ini, Ammar Kamillin yang mengikuti kuliah ilmu oleh ustaz Wan Akashah.
Jaga emosi kita, ibu bapa, tanpa disedari, anak dihinggapi 3 ‘sindrom’.
Ustaz Wan Akasyah pesan dalam ceramah beliau yang saya dengar semalam.
Dengan anak-anak kecil, umur bawah sekolah rendah, elakkan marah menengking-nengking. Jerit sampai hilang suara. Menghempas, menghempuk barang segala. Menghentak, menumbuk dinding dan meja bagai.
Big NO.
Sebabnya, perlakuan ibu bapa yang amal begitu akan menyebabkan anak-anak dihinggapi 3 ‘sindrom’ yang susah nak diubati apabila mereka remaja dan dewasa.
Dia namakan sindrom 3F.
F pertama,
FRIGHT.
Anak akan jadi penakut. Dia akan mudah terkejut-kejut. Hati dia jadi menikus. Keyakinan diri dia akan menipis. Dia takkan berani bercakap terbuka dengan kita. Esok dah besar, masa remaja, kalau anak malas nak ‘open discussion’ dengan kita, jangan hairan. Semak balik.
F kedua,
FIGHT
Anak akan kuat melawan! Dia mungkin tak melawan ‘direct’. Dia tak ‘fast to fast’ dengan kita (patut face to face, entah dak wechat mana cipta istilah baharu ni). Orang tua kata, keras kepala. Ada batu duduk dalam. Anak sentiasa tak ngam dengan kehendak kita. ‘Ignore’ apa kita suruh. Itu tanda melawan.
Dan,
F ketiga,
FREEZE
Anak akan jadi pendiam dan kaku. Dia susah nak berdikari. Perkembangan minda kreatif dia terbantut. Dah macam robot. Tak berani nak mencuba sesuatu yang baharu.
Saya tambah sikit daripada apa ustaz Wan pesan.
Keywordnya, TENGKING.
Bukan tak boleh marah anak. Kalau tak, marah tu nak guna kat mana? Takkan pada suami/isteri je kan.
Maksudnya, nak marah, boleh. Marah dengan nada tegas dan fokus kepada membetulkan kesalahan.
Bukan marah yang seperti orang histeria, habis terbalik rumah dan mengutuk-ngutuk anak bodoh, bebal, pemalas dan sebagainya.
Seperkara yang kita mungkin terlepas pandang, perkara silap yang anak buat, mungkin dia sendiri tak tahu itu adalah silap.
Anak tertumpah air. Siapa pun pernah. Tak perlu melempang anak. Ajarkan ambil kain buruk atau tisu, minta dia lapkan. Ingatkan untuk lebih hati-hati. Selesai.
Terjatuh cawan sampai pecah berderai.
Segera ambil penyapu dan minta dia sapu dan hati-hati menjaga langkah supaya tidak terpijak kaca tajam. Ingatkan untuk hati-hati. Selesai. Tak perlu jerit-jerit beritahu jiran sebelah, ‘anak saya baru saja pecahkan gelas beli dari europe’.
Jaga emosi kita semasa marah.
Insya Allah, anak akan membesar sebagai remaja dan dewasa yang tenang dan waras.