Menanti kelahiran zuriat pastinya debaran di hati hanya Tuhan yang tahu. Biarpun pengalaman dua kelahiran sebelum ini, namun Sari Yanti mengakui 8 tahun tidak menimang cahaya mata memang terasa sedikit perbezaan.
“Kalau dulu saya mengandung usia masih muda, ini dah masuk 34 tahun memang sangat terasa perbezaannya. Memang cepat letih dan banyak duduk di rumah sahaja. Malah, kalau bercakap lama sikit pun sudah termengah-mengah.
“Banyak benda tidak boleh buat kerana sikit-sikit pening, dan kena banyak rehat. Walaupun begitu, saya anggap ini normal untuk ibu mengandung. Lagipun ini bukan kali pertama saya mengandung. Jadi sudah faham situasi tersebut.
“Kalau mengandung dulu saya boleh outsation dan shooting kerana stamina masih kuat tetapi yang ni kena banyak duduk di rumah. Sejak awal kahwin saya memang memasak dan apabila mengandung ni walaupun penat tetapi saya tetap buat rutin ini kerana Jep rajin makan di rumah.
Akui Sari lagi, ini merupakan kandungan kedua selepas berkahwin dengan Jep.
“Yang pertama dulu saya mengandung luar rahim selepas sebulan berkahwin. Mungkin tiada rezeki lagi waktu itu . Lagipun memang saya tidak tahu mengandung luar rahim. Cuma asyik berlaku pendarahan setiap hari dan kerap keluar masuk hospital.
“Doktor memang dah agak dan selepas itu gugur. Satu tiub pecah dan doktor terpaksa buang. Sedih juga waktu itu kerana takut saya susah nak mengandung lagi. Saya sudah ada dua anak, jadi kesian pada Jep kerana ini kali pertama dia bakal menimang cahaya mata.
“Namun Alhamdulillah tak lama selepas itu saya mengandung lagi dan dipermudahkan tanpa sebarang masalah. Alahan ada juga tetapi tidaklah teruk sangat. Yang kelakarnya bukan saya yang mengidam tetapi Jep yang lebih-lebih.
“Soal jantina kami tidak kisah yang penting sihat dan selamat semuanya. Jepp pun tak nampak keterujaan yang melampau, dia selalu tenang sahaja. Begitu juga soal membeli barang keperluan bayi, saya lebih banyak beli online kecuali barang-barang yang besar barulah akan beli bersama Jepp. Cuma anak-anak saya yang excited dan mahukan baby boy. Soal lokasi bersalin, belum putuskan lagi, tunggulah bila nak melahirkan nanti saya akan ke hospital yang terdekat,”seloroh Sari.
Jarang melihat kelibat mahupun cerita ibu comel ini di kaca tv mahupun media cetak, akui Sari dia memang suka low profile sejak dahulu lagi.
“Lagipun tak ada benda yang boleh dikongsikan kerana sudah lama tak berlakon. Jadi saya lebih selesa low profile. Selepas bersalin nanti pun mungkin saya akan lebih banyak berada di rumah menumpukan perhatian kepada anak dan suami.