“Pernah ‘Curi’ Masa Tanya Apa Mereka Perlu.” Ajak Orang Ramai Bantu ‘Rider’, Zara Zya Kumpul Dana, Agih Pek Makanan!

Share

Musibah pandemik Covid-19 menyaksikan pelbagai ujian dan dugaan terpaksa dilalui bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Namun, ada hikmah disebalik ujian yang hebat ini.

Selain barisan petugas barisan hadapan berjuang memerangi Covid-19, masyarakat juga turut berganding bahu membantu sedaya yang mampu kepada mereka yang memerlukan. Bahkan rakan selebriti juga tidak ketinggalan berbuat demikian.

Terpanggil untuk menyuntik keceriaan kepada ‘rider’ atau penghantar makanan, Zara Zya yang aktif melakukan kerja kebajikan merancang mahu menyediakan pek bungkusan istimewa kepada golongan berkenaan.

Bagaimanapun aktres yang menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan memerlukan sejumlah dana bagi merealisasikan niat berkenaan

“Kalau ikut kemampuan diri saya boleh sediakan pek makanan, minuman beserta pelitup muka dan sanitasi tangan, namun terbatas untuk bantuan skop kecil.

“Namun saya berasakan lebih baik niat baik ini dilakukan bersama mereka yang sama sama sudi menyumbang. Lagi ramai yang beri sumbangan, insya-Allah lagi luas skala bantuan ini boleh dianjurkan,” kata Zara

Menurut Zara, golongan penghantar makanan juga menjadi ‘frontliners’ atau pekerja barisan hadapan selama ini demi perut pelanggan ketika zaman pandemik COVID-19.

“Mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko, jadi saya rasa mahu menyumbang sesuatu untuk golongan ini. Kecil atau besar bantuan itu, pastinya tetap memberi makna tersendiri kepada golongan berkenaan.

“Saya sendiri antara yang turut menggunakan khidmat mereka. Pernah saya curi masa golongan itu dengan bertanyakan apa yang mereka perlukan sebenarnya. Kebanyakan memberi jawapan mereka perlukan pelitup muka dan sanitasi tangan.

“Daripada situ saya terfikir untuk menganjurkan bantuan ini. Pastinya ada di antara mereka pun tak sempat menjamu selera kerana terkejar kejar masa penghantaran. Jadi makanan dan minuman juga boleh membahagiakan mereka. Bahagian makanan yang akan diagihkan saya sendiri akan memasaknya di rumah seperti menu nasi ayam atau beriani,” katanya.

Sebagai permulaan, dia akan meletakkan pek sumbangan itu di beberapa lokasi stesen minyak di Setia Alam.

“Saya mensasarkan untuk meletakkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan di setiap stesen minyak.

“Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan,” katanya

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan ke Instagram @malaysia.prihatin. Atau terus ke akaun bernombor 8010356849
CIMB Bank di bawah nama Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan atau WhatsApp ke talian 017-8218385