Lama beliau menantikan kehadiran si comel bernama anak dalam rumah tangganya bersama suami. 11 tahun berusaha dan berdoa, akhirnya apa yang dihajati dimakbulkan Yang Maha Esa.
Dato Sri Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tokti akhirnya dikurniakan cahaya mata diberi nama Siti Aafiyah. Dalam satu program bersama Neelofa baru-baru ini, Dato Sri Siti berkongsi kisah yang sama bagaimana susahnya beliau memperoleh Siti Aafiyah.
Dalam pada itu, pekerjanya, Siti Fairuz juga turut berkongsi kenangan dengan Tokti.
Kehadiran si comel bernama Siti Aafiyah melengkapi kehidupan penyanyi nombor satu negara, Dato Sri Siti Nurhaliza bersama suaminya tersayang, Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Kasih sayang semakin bersemarak dan bahagia dikecapi sangat disyukuri oleh penyanyi kelahiran Kuala Lipis ini.
“Bila menonton #NextToNeelofa ni, teringat moment masa drive dengan Kak Iti dari airport.
“CF (Siti Fairuz) jam 12.45, Kak Iti kena masukkan ubat ya. Haa apa lagi tepat pada jam tersebut, CF terus cari port untuk park tepi jalan untuk memudahkan Kak Iti memasukkan ubat ‘injection’.
“Masa tu rasa sebak sangat sebab saya melihat sendiri betapa berusahanya dia untuk mendapatkan zuriat.
“Insya-Allah semoga selepas ini rezeki CF pula untuk mendapatkan cahaya mata.
“Amin. Thanks Kak Iti kerana banyak mengajar erti bersyukur dan tidak berputus asa,” katanya.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar Siti Fairuz juga mendapatkan cahaya mata.
Untuk rekod, Tokti sebelum ini pernah mengalami keguguran pada November 2015.
Dia kemudian berkongsi berita kehamilan pada 2017 sebelum selamat melahirkan Aafiyah pada 2018.
Selain itu, Februari lalu, Siti dikatakan menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta untuk persediaan hamil.