Pernah Ada Ketumbuhan Di Ovari & Kini Diduga Dengan Penyakit Kanser, Namun Ibu Ini Mahu Terus Kuat Dan Positif!

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dari pandangan kasar, hanya nampak dia biasa sahaja. Apatah lagi, empunya diri seorang yang ceria dan suka mengukir senyuman.

Namun, siapa sangka di sebalik senyuman itu, ibu bernama Azlina Aziz, 44 tahun ini rupanya bertarung dengan penyakit yang digeruni kaum wanita iaitu kanser payudara . Kansernya kini berada di tahap dua.

Dugaan tidak terhenti setakat itu sahaja bila mana anak keduanya juga kemungkinan turut menghidap kanser.

Ditemui ketika dalam majlis ‘Styling Series Warriors Makeover Cancer Awarness’ anjuran @hashtagsrihartamas di Styleannexe dan Coffe Bay baru-baru ini, Azlina bersama 20 ‘cancer survivor’ lain hadir untuk sama-sama menjayakan sesi yang cukup bemakna buat mereka

Menceritakan detik awal disahkan menghidap kanser, Dia awalnya menyedari ada kelenjar bengkak di bahagian payudara. Selepas ke hospital dan membuangnya. Namun, tidak sampai sebulan kelenjar berkenaan muncul semula tetapi kali ini di bawah ketiak.

Azlina (tengah baju hijau), ketika dalam majlis ‘Styling Series Warriors Makeover Cancer Awarness’ anjuran @hashtagsrihartamas di Styleannexe dan Coffe Bay baru-baru ini, Azlina bersama 20 ‘cancer survivor’ lain.

 

“Lepas buat biopsi, doktor sahkan hidap kanser tahap 2. Jadi, saya terus terus sahaja buat prosedur mammogram dan scan tetapi tidak kelihatan tanda mencurigakan.

“Saya kemudiannya membuat rawatan pembedahan bagi membuang kelenjar berkenaan dan setelah melakukan biopsi, barulah doktor mengesahkan yang saya penghidap kanser tahap dua.

“Mula dikesan ada kanser pada tahun 2016 dan telah menjalani enam kali rawatan kimoterapi sebanyak enam kali. Dan sekali lagi pada tahun 2018 ini dikesan ada pula ketulan lain yang tumbuh. Bagaimanapun doktor beritahu jika ketumbuhan itu kecut tak payah buat apa-apa,” ujar Azlina memulakan perbualan bersama penulis.

“Walaupun begitu, saya tidaklah sampai membuang payudara kerana ia bukan dari sel yang aktif. Buat masa ini saya hanya menjalani rawatan di hospital dan makan ubat mengikut prosedur ditetapkan.

“Saya tidak pasti bagaimana boleh menghidap penyakit ini tetapi salah satu sebabnya mungkin juga disebabkan keturunan. Arwah nenek saya ada menhidap kanser payu dara dan sepupu sebelah ayah pula menghidap kanser hidung.

“Selain itu mungkin juga disebabkan saya dulu pernah mengambil suplemen berbentuk jeli sebagai minuman harian,” ceritanya lagi.

Reda dengan ujian Tuhan, menurut Azlina lagi, ketika bekerja di sebuah syarikat mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan diri, dia mencuba produk daripada kolagen sebagai suplemen kesihatan.

“Hampir dua tahun  bekerja di situ dan saya jadikannya sebagai minuman harian. Kiranya saya ini dianggap macam testimoni kepada produk berkenaan. Mungkin itu salah satu faktor Tetapi saya tahu ini semua kuasa Tuhan. Cuma saya nak beritahu pada semua wanita agar berhati-hati dengan pengambilan produk suplemen babitkan kesihatan.

“Kita tidak tahu apa kesannya masa sekarang (ketika minum) dan hanya nampak dalam jangka masa panjang,” ceritanya lagi.

Mengulas mengenai anaknya bernama Nadia yang kemungkinan menghidap kanser, akui Azlina mungkin itu disebabkan pemakaian produk pemutih wajah.

Bersama anaknya, Nadia yang disyaki menghidap kanser kulit.

“Anak saya memang ada guna sabun pencuci wajah yang juga bertindak untuk memutihkan wajah seseorang. Mula-mula ada bintik kecil tumbuh di bahagian pipi kanannya. Apabila dia menjalani ujian biopsi, Doktor cakap kemungkinan dia menghidap kanser kulit.

“Walaupun begitu, anak saya seorang yang positif dan kuat seperti saya. Semangatnya tidak pernah jatuh dan kami sama-sama memilih untuk bersikap positif. Insya-Allah akan akan penyembuhnya dan selagi itu saya tidak henti putus berdoa pada Tuhan,” Jelas Azlina yang cukup positif berdepan dugaan maha hebat ini.

Biarpun dirinya menghidap kanser, namun itu tidak mematahkan semangat Azlina untuk meneruskan kehidupan. Malah rutin hariannya tetap berjalan seperti biasa.

Azlina dengan anak (nombor tiga dari kiri) dan anak dua orang anak buahnya.

“Saya pergi kerja macam biasa dan meneruskan kehidupan macam orang lain juga. Saya tidak mahu orang lain tahu yang saya sedang sakit, termasuklah anak-anak. Saya tidak bagi tahu secara direct penyakit ini kepada mereka, tetapi anak-anak tahu jika saya masuk wad untuk menerima rawatan kimoterapi.

“Cuma saya tak benarkan mereka datang menjaga saya. Sebab saya tak mahu mereka nampak ‘down’ bila melihat keadaan saya ketika itu. Dalam hal ini, saya berterima kasih pada suami yang sentiasa bagi sokongan tidak berbelah bagi,” tambahnya yang mempunyai empat orang anak dari usia 7 tahun hingga 23 tahun. Malah dia juga sudah mempunyai tiga orang cucu hasil perkahwinan anak pertamanya.

Bercerita kisah lampaunya, Azlina memberitahu ketika usianya 17 tahun, dia juga pernah berhadapan dengan masalah ketumbuhan tumor di bahagian ovarinya. Keadaan ini menyebabkan periodnya jadi keterlaluan.

“Saya pergi mendapatkan rawatan di hospital dan juga telah menjalani kimoterapi sebanyak enam kali. Tetapi itu ketika sebelum kahwin dan tidak sangka lepas sudah berkahwin dan ada cucu, saya disahkan pulak menghidap kanser payudara.

“Saya juga sudah  6 kali buat rawatan kimoterapi dan kesan dialami sangat meletihkan. Selain rasa nak muntah, demam, ada ulser di mulut, rambut jadi gugur, saya juga pernah tidur seharian dengan memakai baju yang sama ketika buat rawatan kimoterapi di hospital.

“Sepanjang tempoh itu, saya memang tidak menjalani sebarang rawatan alternatif dan juga pengambilan mana-mana suplemen. Hanya menjalani rawatan di hospital mengikut prosedur di tetapkan.

“Walaupun sudah dua tahun penghidapnya, saya tidak pernah merasakan diri ini kekurangan. Saya menjalani rutin harian seperti biasa, saya pergi kerja dan aktif dlam bersukan terutama bermain bola jatring. Saya reda dengan dugaan Tuhan dan menerimanya dengan hati yang tabah,” tambahnya lagi yang turut mengingatkan kaum wanita segera pergi menjalani rawatan jika ada timbul tanda mencurigakan pada tubuh badan.

Sumber gambar: IG celina_aziz