“Permintaan Terakhir Adik Nak Pakai Baju Putih.” Hajat Hadiri Majlis Graduasi Tak Kesampaian,Remaja Ini Meninggal Dunia Di Pangkuan Ibu Bapa.

Share

Tidak dapat dibayangkan betapa remuknya hati ibu dan bapa bila mana anak meninggal dunia dipangkuan sendiri. Kegembiraan tiga beranak ini dalam perjalanan untuk ke majlis konvokesyen akhirnya bertukar duka apabila si anak meninggal dunia selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan.

Lebih memilukan apabila melihat ibu dan ayah memangku arwah yang sudah tidak bernyawa lagi. Inilah yang dilalui oleh Abdul rahem, 65 dan isterinya, Homaidah Abdul Manaf, 60.

Arwah Muhammad Firdaus Abdul Rahem, 20, bersama bapa dan ibunya dalam perjalanan menghadiri konvokesyen GiatMARA di kompleks Belia dan Sukan Paroi di Seremban,sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal.

Dalam kejadian 7.10 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada rusuk kiri.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dipandu Abdul Rahem dari arah Seremban menghala ke Paroi membelok ke kanan untuk masuk ke Kompleks Belia dan Sukan.

Pada masa sama, sebuah motosikal Kawasaki ZR800 ditunggang Kamaruzaman Ismail, 36, yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh pintu hadapan bahagian penumpang.

Akibat kemalangan itu, arwah yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut, manakala penunggang motosikal parah di kepala dan badan.

Mengimbas perubahan pada adiknya, menurut Rozi Abdul Rahem arwah sebelum itu ada meminta memakai baju putih ketika membuat persiapan untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

“Adik mahu pakai baju putih dan tak sangka itulah permintaan terakhirnya. Saya dapat tahu kejadian tersebut daripada bapa yang menghubungi saya kira-kira jam 7.30 pagi. Ketika itu, saya tidak tahu keadaan adik dan segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, hanya emak dan bapa yang masih di lokasi manakala adik sudah dibawa ke hospital dengan ambulans. Ketika itu, baru saya tahu adik sudah tiada,” jelas Rozi lagi.

Menuri Rozzi lagi, adiknya itu seorang yang rajin dan tidak suka menyusahkan keluarga. Dia melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menampung yuran pengajian kerana tahu keluarganya bukan orang senang.

“Kami sekeluarga sangat terasa kehilangan arwah tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya jenazah Muhammad Firdaus dibawa pulang ke Ampang untuk dikebumikan selepas solat Zohor

Sumber: Harian Metro & FB Putera Karya