Sejuk perut ibu yang mengandung. Demikian ungkapan yang sesuai digambarkan kepada wanita yang bertuah ini. Memiliki anak ramai namun kesemuanya berjaya adalah satu pencapaian yang cukup hebat.
Enam dari 8 anak wanita ini berjaya bergelar hafiz dan menghafaz 30 juzuk al-Quran. Hebatnya cara didikan ibu bapa anak-anak ini.
Berkongsi tip dan rahsia anak-anaknya berjaya, akui Nor Latifah Abdul Rahman, 50, dari Teluk Kalong, Kemaman, selain menjadikan bacaan al-Quran amalan harian, pemakanan anak-anaknya juga dijaga dengan rapi.
“Saya mula perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan, selain jaga makan bagi menguatkan daya ingatan,” demikian kata ibu kepada lapan anak ketika diminta berkongsi amalan dilakukan sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran.
“Saya akan pastikan mereka ambil susu kambing dan madu. Badam pun baik untuk daya ingatan anak-anak.
“Saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi mana-mana, memang saya bawa bekal dari rumah,” katanya lagi.
Nor Latifah berkata demikian dalam satu majlis sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.
Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25; Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17; Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.
Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam Engku Abd Aziz, 57, tidak kisah berbelanja besar demi pendidikan anak-anak.
“Disebabkan memilih hantar anak-anak ke pusat pengajian swasta, secara kasar, belanja sekolah kelima-lima mereka dalam RM3,000 setiap bulan.
“Suami saya tak kisah anak-anak nak ambil jurusan apa sekalipun, asalkan ayat-ayat al-Quran tersemat di dada,” katanya yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.
Sumber: Sinar Harian & Gps Bestari