“Percutian Singkat Tapi Bermakna, Peluk Cium Anak Sendiri.” 2 Biji Kek Jadi Perhatian, Ibu Dr Amalina Syukur Kejutan Menjadi!

Share

Pakar bedah kelahiran Malaysia yang bertugas di London, Dr Nur Amalina Che Bakri akhirnya pulang ke kampung halamannya di Johor selepas seminggu tiba di tanah air menerusi

Dia yang pulang menerusi program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LTIB) turut ditemani suami tersayang, Alexander Charles.

Lebih mengujakan, kepulangan Dr Amalina disambut ibu tercinta di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru.

Pertemuan ibu dan anak itu dikongsikan menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik sekeping gambar bersama ibunya di meja makan dengan pelbagai juadah.

Dalam pada itu, dua biji kek Happy Birthday dan Happy Anniversary yang  dihidangkan di meja menjadi perhatian wargamaya.

Menerusi perkongsian bersama mStar, Sabariah Hassan, 61,  mengucapkan rasa syukur dan gembira kerana akhirnya dipertemukan dengan anak tunggalnya selepas lebih dua tahun terpisah berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

“Sudah tentu saya seronok akhirnya dapat juga bertemu depan mata, peluk cium anak sendiri. Alhamdulillah di atas kesempatan yang diberikan, bersyukur sangat.

“Pelbagai juadah bersama dua kek, blueberry cheesecake dan biscoff cheesecake itu saya buat sendiri untuk kejutan buat Amalina.

“Benar, Amalina sebelum ini ada request minta saya masak macam-macam tapi bukan dua kek tu. Itu yang Amalina sendiri terkejut sebab tak sangka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Sabariah lagi, kek harijadi itu dibuat sempena ulang tahun Dr Amalina ke-34 pada 7 Disember 2021.

“Amalina baru balik, jadi saya sambut birthday dia dengan blueberry cheesecake. Kek biscoff cheesecake pula saya buat sempena ulang tahun perkahwinan Amalina pada 31 Mac ni.

“Amalina nak balik semula ke London dah, jadi saya sambut lebih awal anniversary dia, termasuk birthday. Tak rancang pun pada awalnya, saya spontan buat kejutan,” katanya.

Menurut pesara guru dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram di Johor itu, percutian singkat anaknya di Johor dihabiskan sebaik-baiknya.

“Seperti yang Amalina request, setiap hari saya masak macam-macam termasuk nasi carrot dan ayam masak merah serta menu barat iaitu chicken lasagna,” katanya yang turut menyediakan nasi minyak, nasi beriani dan nasi hujan panas sepanjang kepulangan anaknya.

Bukan itu sahaja,mereka bercuti bersama yang turut disertai menantunya yang lebih mesra disapa Alex di Desaru baru-baru ini.

“Alhamdulillah, percutian singkat tapi amat bermakna buat saya dan Amalina. Saya dan Amalina sangat gembira.

“Amalina tak sangka inisiatif kerajaan menerusi program gelembung pelancongan memudahkannya dan suami yang merupakan warga asing pulang ke Malaysia,” katanya.

Sumber: dramalinabakri