Berita

Percutian Keluarga Ke Cameron Highlands Berakhir Tragedi

Share

“Beberapa kali menghubungi Shazwani dan Farhan namun tidak berjawab sehingga kami membuat keputusan untuk patah balik.” ujar kakak arwah Shazwani Ismail dan Farhan Ismail,41 tahun.

Lemah seluruh anggota badan apabila ahli keluarga terlibat kemalangan dihadapan mata.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu empat sekeluarga, Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39; Farhana Ismail, 35, dan Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 18 maut di lokasi kejadian dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Jalan Gua Musang-Lojing, hari ini.

Menurut kakak arwah Shazwani beriya-iya nak bercuti ke Cameron Highlands hari ini.

“Kata arwah kalau minggu depan orang ramai sebab cuti umum,” kata Najdiah.

 

Kejadian berlaku apabila sebuah lori dari arah Cameron Highlands terbabas dan merempuh kereta Perodua Myvi yang dinaiki keluarga terbabit.

Menurut Najdiah, sebelum kejadian mereka dengan tiga kenderaan berkonvoi ke Tanah Tinggi Cameron Highlands untuk bercuti dan akan pulang esok.

Katanya, dia menyedari kejadian yang menimpa adiknya selepas berpatah balik apabila tidak dapat menghubungi ahli keluarganya yang menaiki kereta berkenaan.

“Apabila sampai di R&R Lojing kami sempat berhenti rehat dan kereta yang dinaiki arwah bersama adik (Farhana) berada di belakang sekali.

“Beberapa kali kami menghubungi Shazwani dan Farhana namun tidak berjawab sehinggalah kami membuat keputusan untuk berpatah balik.

“Sebaik tiba di lokasi kami nampak ada serpihan kereta milik Farhana, luluh hati kami apabila polis memaklumkan keretanya jatuh ke dalam gaung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini, hari ini.

Najdiah berkata, mereka bertolak dari Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Terengganu kira-kira jam 8 pagi dan akan bermalam di Tanah Tinggi Cameron Highlands.

Katanya, arwah adiknya Farhana belum berkahwin, manakala Shazwani mempunyai tiga anak termasuk Muhammad Fakrul Danish yang turut maut dalam kemalangan itu.

Menurutnya, anak bongsunya Nur Anis Zahra Nazihah, 12, menaiki kereta ibu saudara yang turut serta dalam konvoi terbabit, manakala Nur Jihan Irdina, 13, tidak mengikuti percutian keluarga itu kerana berada di asrama.

Terdahulu media melaporkan lima maut termasuk tiga lelaki dan dua wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Jalan Gua Musang-Lojing.

Lima yang maut ialah Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39; Farhana Ismail, 35; Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 20; kesemuanya menaiki kereta Perodua Myvi dan pemandu lori G.Mageswara, 53.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.25 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas.

“Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber: Harian Metro & Bernama