Perasan Ada Ketulan Awal Tahun Lalu, Nas Adila Diuji Kanser Payudara Tahap 3

Share

Penyanyi dan instruktur zumba, Nas Adila disahkan menghidap kanser payudara sejak awal Mac lalu dan memberitahu penyakit itu mula dikesan selepas dia menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang, Selangor.

Nas, 37, bagaimanapun kini hanya mahu kuatkan semangat seterusnya sentiasa positif dalam fasa berdepan ujian dariNya.

“Saya sebenarnya baru tahu (kanser) pada 1 Mac tempoh hari. Saya mulanya perasan ada ketulan (pada bahagian payudara) pada awal tahun, namun lama-kelamaan ia semakin membesar.

“Jadi saya ambil tindakan untuk pergi lakukan pemeriksaan dan dapat keputusan pada 1 hari bulan 3 memang pasti ia kanser payudara bermungkinan tahap tiga,” katanya.

Nas memaklumkan perkara tersebut menerusi sesi temu bual bersama Buletin FM, pada Khamis.

Ditanya sejauh mana dia kuat dalam melalui ujian berat ini, Nas menyifatkan apa yang berlaku sebagai hikmah untuknya lebih mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa.

“Bagi saya, apa yang pertama difikirkan ialah saya perlu reda. Saya pun tidak tahu dapat kekuatan ini daripada mana, mungkin Allah yang kurniakan.

“Saya fikir lagi bersyukur sebab bila kita diuji, maknanya Allah sayang. Allah nak saya lebih rapat lagi denganNya.

“Saya tak mahu fikir sangat mengenai penyakit yang dialami. Jadi saya positifkan diri selain banyak bertanya dengan mereka yang pulih daripada kanser katanya.

Nas pada masa sama menjelaskan dia akan melakukan ujian CT scan bagi mengetahui tahap sebenar kanser minggu hadapan sebelum memulakan rawatan kemoterapi.

Meninjau di ruangan komen, ramai mendoakan semoga urusan Nas dipermudahkan dan diberikan kesembuhan.

Terdahulu, rakan artis yang juga penyanyi Ismaliza Ismail berkongsi tentang perkembangan Nas Adila di Insta Stories.

“Salam semua. Post ini dibuat dengan izin tuan punya badan. Seorang lagi sahabat kita sedang diuji.

“Setelah melalui pelbagai saringan kesihatan, sahabat kita Nas Adila baru saja disahkan menghidap kanser payudara dan akan memulakan rawatan kemoterapi pada 20 Mac ini.

“Sama-sama kita doakan semoga Nas Adila kuat melalui ujian dan dugaan ini. Doa dan semangat.

Sahabat semua diperlukan untuk memberi kekuatan kepada beliau melalui ujian ini” titipnya.

Nas Adila yang berkahwin pada 12 Disember 2015 bersama peserta Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) Aliff Razali dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber : Nas_adila