Penyakit Tak Dapat Dikenal Pasti , Penyanyi Legend Rohana Jalil Kritikal Di ICU

Share

Di saat kita sedang bergembira untuk menyambut Hari Raya yang kian menjelang, ada juga yang sedang berduka kerana hari ini dikejutkan dengan berita penyanyi Rohana Jalil yang sedang tenat di ICU.

Memetik laporan Berita Harian, rakan baik kepada penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman mengesahkan bahawa Rohana telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sejak semalam tanpa mengetahui penyakit.

Menurut Datin Salwa juga, doktor  masih menjalankan pemeriksaan serta pemantauan rapi terhadap penyakit yang dihadapi penyanyi itu sedangkan dia tidak pernah mengalami penyakit yang serius sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Datin Salwa turut memberitahu tentang kronologi insiden yang berlaku terhadap Rohana Jalil sebelum dimasukkan di ICU.

“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu. Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit. Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” ujarnya.

Meskipun dalam keadaan terkejut, Datin Salwa juga menjelaskan tentang keadaan Rohana yang lemah dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen untuk bernafas. Dalam keadaan ini, anak-anak Rohana dikatakan cuba untuk merahsiakan perkara ini namun, mula berkongsi apabila keadaan ibunya semakin kritikal.

“Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.

“Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen. Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Datin Salwa sempat berkongsi tentang perubahan fizikal Rohana yang kelihatan ketara namun tidak mengesyaki sebarang penyakit kerana aksinya yang masih aktif dan sentiasa cergas.

“Beberapa bulan lalu, saya dan Rohana berada di Brunei hampir sebulan. Saya tidak nampak Rohana alami apa-apa sakit sepanjang di sana. Saya percaya Rohana mengawal pemakanan demi menjaga kesihatan.

“Saya tidak bertanya kerana melihatnya sentiasa sihat dan cerdas, cuma fizikal kurus. Jadi, saya mohon kita sama-sama mendoakan Rohana kembali sembuh. Saya berhasrat melawat Rohana, cuma menunggu maklum balas anak-anaknya,” katanya.

Untuk rekod, Rohana Jalil atau nama sebenar Dara Abdul Jalil yang merupakan penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor ini memulakan kerjayanya sejak usia 17 tahun pada tahun 1979. Selain itu, Rohana juga dikenali sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

Sumber: Berita Harian