Botol makanan seperti sos spageti memang adakalanya susah nak dibuka. Puas cuba buka dengan kain pengelap atau sekuat hati dengan tangan tapi penutup botol masih juga susah nak dibuka.
Kadang-kadang kalau nak cepat rasa sakit hati juga. Tambah lagi kalau dalam bulan puasa, pulang daripada kerja dan masa yang singkat itulah buat kita rasa nak marah. Melambatkan proses memasak.
Jangan marah-marah kerana ada caranya untuk buat penutup botol ini cukup mudah nak dibuka. Cuba petua ini.
Rendam Air Panas
Sebelum merancang hendak masak, kenalah set kan minda lebih awal sebab kena ambil masa untuk buka penutup ini dengan mudah. Begini caranya. Tuangkan air panas ke dalam mangkuk dan terbalikkan botol sos ini ke dalam air panas. Sementara itu bolehlah menghiris bawang atau bahan-bahan memasak yang lain. Bila dah siap semua bahan, cubalah buka penutup botol dan lihat hasilnya. Botol boleh dibuka dengan mudahnya.
Guna Sudu Besi
Jangan tak tahu sudu besi juga banyak kegunannya dalam mengamalkan pelbagai petua. Untuk membuka penutup botol ini, ambil sudu besi dan ketuk di sekeliling penutup botol. Jika boleh ambillah sudu yang bersaiz besar dan berat. Lakukan langkah ini beberapa kali diseluruh kawasan penutup botol. Sesekali cubalah membukanya.
Ketuk Pada Dinding
Ini bukan kelakar tapi petua yang sangat berkesan. Ketuk penutup botol pada dinding yang agak keras, dengan cara menegakkan botol. Pegang botol seperti biasa dan ketuklah pada dinding. Menggunakan kayu pintu dapur yang keras adalah pilihan paling tepat.
Selamat mencuba!