Kalau hendak diikutkan menu ikan goreng jika dimakan bersama sambal belacan dan ulam-ulaman, ianya sudah cukup untuk membangkitkan selera. Rasanya sungguh padu!
Pun begitu untuk mendapatkan hasil gorengan ikan yang sedap, ada teknik yang betul dipatuhi supaya ikan yang digoreng tidak melekat pada kuali dan seterusnya isi ikan terasa juicy.
Seorang pensyarah kimia, Fatimah Salim berkongsi tip gorengan ikan yang betul dan juga penerangannya daripada sudut sains.
“Ramai pasti tahu yang rasa ikan goreng dipengaruhi oleh jenis ikan, kesegarannya dan bahan perapannya. Tahukah anda rasa ikan goreng juga disumbangkan oleh cara memasak serta kawalan suhu semasa memasak?
“Masalah yang sering timbul ialah untuk mendapatkan hasil gorengan yang cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam). Mari kita selamai sains disebalik menggoreng ikan,” ujarnya.
Menurut pensyarah ini ada sebab kenapa ikan melekat pada kuali apabila digoreng.
“Ikan melekat pada kuali kerana permukaan ikan basah yang bersentuhan dengan permukaan kuali. Semasa mengoreng, api akan memanaskan kuali dan minyak.
“Ikan yang bersentuhan dengan permukaan kuali lalu menyebabkan ikan terus mengering pada kuali dan menyebabkannya melekat. Keadaan ini akan menyukarkan proses menterbalikkan ikan dan sebahagian daripada isinya akan melekat pada kuali,” terangnya panjang lebar.
Turut dikongsikan tips untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali.
-Untuk mengelakkan perlekatan ikan dengan permukaan kuali, panaskan minyak secukupnya (agak2 sehingga SEDIKIT berasap) kemudian masukkan ikan.
-Disebabkan tidak larut bersama, perlanggaran antara molekul-molekul minyak dengan molekul-molekul air pada ikan akan menghasilkan bunyi gorengan yang kuat.
-Minyak yang cukup panas ini akan menyebabkan air pada permukaan ikan meruap dengan cepat dan menjadikannya kering dan rangup. Maka, permukaan ikan yang bersentuhan dengan kuali tidak akan melekat.
Tidak dengan itu turut dikongsikan rahsia untuk mendapatkan isi ikan yang juicy.
-Permukaan ikan yang rangup tadi akan menjadi selaput penghalang untuk air di dalam ikan daripada meruap seterusnya mengekalkan kelembapan (juiciness) dalam isi ikan.
-Ikan haruslah dimasak SEKEJAP sahaja kerana struktur kimia ikatan protein isi ikan adalah longgar jika dibandingkan dengan daging ayam dan lembu. Maka ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak.
-Memasak ikan terlalu lama akan menyebabkan lembapan dalam isi ikan meruap, seterusnya menjadikan isinya keras. Ini sesuai untuk mereka yang sukakan ikan yang rangup dan garing.
Nota: Mereka yang menggunakan kuali kali lekat tidak akan mengalami masalah perlekatan semasa menggoreng kerana teknologi selaput pelinciran telah membantu.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club