Sekarang musim raja buah iaitu durian kembali mewarnai hidup kita. Ceria kalau seisi rumah dapat makan durian hingga kekenyangan. Betapa makanan dapat menggembirakan semua orang. Itulah penangan buah yang satu ini.
Makan memang sedap tetapi bila baunya, ada diantara kita yang kurang tahan pada baunya. Boleh pening seharian dek penangan baunya yang cukup kuat. Macam mana nak hilangkan bau durian yang kuat ini?
1.Bau Dalam Rumah
Pening bila satu rumah berbau durian yang kuat ni. Ada bermacam cara nak hilangkan baunya. Pastikan kesemua tingkap dibuka supaya adanya aliran udara dan lakukan beberapa petua ini.
Kopi
Kopi mampu menyerap segala bau yang kurang menyenangkan di persekitarannya. Bancuh segelas kopi dengan air panas kemudian biarkan di atas meja dapur rumah anda. Bau durian tersebut akan hilang serta merta selepas itu.
Arang
Terbukti berkesan apabila anda meletakkan beberapa ketul arang ke dalam peti sejuk. Ia bukan hanya mampu menyerap bau durian, malah juga bau-bau lain yang kurang enak.
Daun Pandan
Ikat daun pandan dan letakkan di dalam peti ais serta di dapur anda. Bukan hanya bau hilang, rumah juga makin harum.
2. Bau Dalam Kereta
Kalau balik kampung pasti adakalanya kita teruja untuk membeli durian untuk dibawa pulang tanpa memikirkan baunya sepanjang perjalanan. Malah baunya hingga dua tiga hari juga masih tidak hilang.
Cara pantas menghilangkan bau ini adalah dengan meletakkan beberapa keping roti di dalam kereta. Ambil sedikit kopi dan biarkan ia terdedah di dalam kereta anda. Bau akan semakin berkurangan.
3. Mulut Bau Durian
Tentu anda pernah dengar untuk berkumur dengan air yang dituang di bahagian dalam kulit durian untuk menghilangkan panas badan. Ya memang benar, inilah yang disarankan oleh orang tua-tua kita. Bagi menghilangkan bau mulut, lakukan perkara yang sama. Mudah sahaja!
Anda juga disarankan untuk minum air kosong dengan banyak untuk meneutralkan kembali kandungan durian dalam usus. Selain itu, buah manggis juga dikatakan bagus untuk mengelakkan bau durian pada pernafasan.
4.Bau Pada Tangan
Ambil kulit durian, letakkan air di dalamnya dan basuh tangan menggunakan kulit ini. Selain itu cubalah gunakan sabun jenis beraroma seperti limau atau lemon.